-->
Memaparkan catatan dengan label Pemergiaan..... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pemergiaan..... Papar semua catatan

Jumaat, Oktober 07, 2011

Rumah ini...


Rumah ini rumah ibu
Bapa dirikan pada tahun 1971
mengganti pondok usang
yang pernah disamakan oleh jiran
bagaikan reban ayam buruan musang

Rumah ini rumah bapa
yang dibina daripada wang persaraan awalnya
tidak bersiling tidak juga berkerawang dindingnya
namun di sinilah kami sekeluarga membina bahagia

Rumah ini rumah kami
meski tidak seindah istana menanti
di sinilah kami membina jati diri
dalam perit kehidupan yang kurang serba serbi

Rumah ini rumah kita
tidak peduli sejauh mana atau selama mana kita mengembara
di sini jugalah berkumpul segala kenangan tak terlupa
samada bahagia mahupun derita

Rumah ini rumah saya
kerana setiap ruang dan sudut tepatnya
saya yang paling arif susun atur sana dan sini
hafal setiap habuk yang lekat di hujung penyapu jerami

Rumah ini rumah pusaka
kita berhak mengaku milik bersama
di sinilah emak dan bapa menggeluti nasib mereka
penuh duri ranjau demi menghidupkan kita!

Karya milik peribadi: rafikasastras

Nota: Al-Fatehah untuk kedua ibu bapa saya yang kasih-sayang mereka sentiasa harum merantai sukma...

Ahad, Ogos 28, 2011

28 Ogos...



SSelamat Hari Lahir anakku yang telah lena bersemadi...
Doa bonda...tenang dan damailah rohmu di sana...
Amin...

Sabtu, Julai 16, 2011

44 hari...



Sungguh pantas masa berlalu...berlari laju membawa pergi kesayangan, meninggalkan sayup segala kenangan yang pedih dan lukanya, rindu dan sendunya bagai baru semalam hadir menitis atas renda-renda duka dan airmata. Anakku... dikau masih segar dalam doa dan ingatan bonda..

~Matahari bersembunyi di balik awan
Pulanglah orang membawa usungan
Air di kendi kekeringan
Terkejut gadis dari menungan

Melangkah gadis menahan denyutan
Pandangan terakhir terlempar ke nisan
Setangkai kemboja gugur perlahan
Merangkak senja menutup pandangan.~ Petikan Puisi Usman Awang "Gadis Di Kuburan"

Ahad, Jun 05, 2011

Telah Hilang...Takkan Pulang...

Kemboja berguguran memutih
Menemanimu ke jalan akhir
Persada hati yang kau terangi kini sepi

Suara jenaka dan gurauan
Di sebaliknya kau kesepian
Mimpi-mimpimu retak seribu
Tak siapa yang tahu

Al...
Tuhan lebih menyayangi
Dari kami temanmu yang tak pernah mengerti

Al...
Hanya setelah kau pergi
Kehilangan amat dirasai

Suara jenaka dan gurauan
Di sebaliknya kau kesepian
Mimpi-mimpimu retak seribu
Tak siapa yang tahu...


Catatan: Saya kehilangan kata-kata... Saya merasa amat pedih dan terluka. Anakku, semoga tenang bersemadi di sisi yang abadi... maafkan mama kerana menangisi pemergianmu...

Rabu, Januari 12, 2011

1/1/11... Innalillah...

Ttarikh yang cantik ini membuka tirai kepada satu lagi kehilangan dalam keluarga kami. Kali ini giliran bapa saudara saya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah kegagalan jantung, paru-paru dan buah pinggang. Saya masih ingat...beberapa hari selepas arwah abang ipar saya meninggal dunia dua tahun lalu, arwah bapa saudara saya berada di icu. Dia pulih. Allah memberikan dia tempoh sehinggalah ke tarikh ini. Hampir dua tahun masa berlalu. Serangan yang datang tiba-tiba sekaligus meragutnya nyawanya. Beliau tidak merokok... berbanding arwah abang saya yang meninggal dunia tujuh bulan yang lepas yang memang merupakan perokok tegar. Namun...begitulah...maut menjemput tidak kira siapa kita dan bagaimana cara hidup kita. Tidak lewat juga tidak cepat walaupun sesaat. Pabila denting jam tepat pada takal usia...berakhirlah riwayat manusia.

Tiga kucupan di dahi ketika saya menatap wajahnya buat kali terakhir pada malam itu menutup rasa hampa saya yang agak  lewat tiba siangnya ketika menghadiri  pengkebumian. Ketika sampai, jenazah sudah di bawa turun untuk di masukkan ke dalam van jenazah sebelum dibawa ke masjid untuk disembahyangkan kemudian dibawa ke kawasan perkuburan.Kebetulan pada hari yang sama, paginya saya adik beradik ada janji temu dan angkat sumpah di Pejabat Tanah. Selesai saja urusan tanpa berlengah kami terus bertolak ke sana.

Entah mengapa airmata saya kali ini agak mahal harganya. Meskipun masih berlinang namun tidaklah selebat kehilangan yang lalu. Saya percaya bukan kerana hati sudah keras tetapi mungkin kerana saya sudah letih menangisi pemergian seorang demi seorang saudara terdekat. Saban tahun saya pasti kehilangan beberapa orang ahli keluarga terdekat. Keredhaan itu barangkali sudah semakin tebal lalu mampu mengilas sebak di dada.

Semoga Allah mengurniakan cahaya terang serta meluaskan 'rumah' arwah di alam sana. Kita juga akan ke sana. Bila di mana dan bagaimana....hanya Allah yang ada menyimpan jawapannya.

Catitan: Dari Allah kita datang kepadaNyalah juga kita kembali...

Rabu, Disember 22, 2010

Selamat Jalan Abangku...

Antara kita memang tidak sejalan. Sewaktu kecil kita sering bercakaran. Saya selalu berfikir bahawa abang bencikan saya. Saya selalu berkata dalam hati saya, betapa meyampahnya saya pada abang. Komunikasi antara kita tidak pernah jelas. Seperti ada jurang yang memisahkan kita berdua. Sentiasa tidak sehaluan. Sejak kecil begitulah kita adanya. Setelah sama-sama dewasa, hubungan kita berdua tetap begitu-begitu saja. Tidak terlalu akrab, tidak pula begitu jauh.Namun sejujurnya walaupun ada sebahagian sikap dan sifat dalam diri abang yang kurang saya senangi, namun ia tidaklah sampai  saya menobatkan rasa benci saya pada abang. Perasaan saya pada abang umpama benci tapi rindu. Marah macam mana pun geram macam mana pun, bila abang memerlukan pertolongan saya, bila saya mampu saya tidak akan ragu-ragu membantu. Marah saya pada abang cumalah marah-marah sayang.

Saya tidak pernah membenci abang...saya sayang abang. Cuma sikap kita yang amat bertentangan  itulah agaknya penyebab garisan persaudaraan kita sering tak bertemu jalan selari...berbelok ke sana sini. Barangkali perasaan tidak puas hati dan kecil hati yang saya bawa sejak kecil menjadikan kita begini hari ini.
Memang ada beberapa peristiwa yang berlaku antara kita yang membuat saya amat berkecil hati...Peristiwa kecil tetapi amat mengguris hati adik bongsu abang ini ketika itu. Yang membuat saya terasa hati lalu membuat tanggapan...betapa hodoh, bodoh dan tidak berharganya saya di mata abang. Pada mata adik beradik kita yang lain.

Memang...antara kita tujuh beradik, memang saya yang paling kurang. Kurang paras, kurang bentuk, kurang rupa, kurang diberi perhatian. Hidup menyendiri dan tersendiri ketika mak dan bapak sibuk menoreh getah dan ke sawah. Hidup yang sunyi sehingga saya berangan-angan tinggi untuk menjadi bidadari.



Namun semua itu telah berlalu abang.Saya telah ikhlaskan segalanya antara kita. Abang tidak berhutang apapun dengan saya lagi. Saya maafkan luka perasaan saya pada abang. Hutang apapun telah saya ikhlaskan. Hampir setahun kita tidak berjumpa. Saya tidak menyangka abang akan meninggalkan suatu kenangan paling hebat dalam hidup saya.

Tanggal 21 Jun 2010... pukul sebelas malam... saya menerima berita kematian abang. Kami bergegas ke utara supaya tidak terlepas pengkebumian abang. Keesokan harinya...tanggal 22 Jun...ketika pesanan ringkas ucapan selamat hari lahir berebut-rebut masuk ke inbox saya...saya mengucup dahi sejuk abang seterusnya menghantar abang ke perhentian terakhir abang di pusara.

Nampaknya kita akan menjadi lebih akrab selepas kematian abang. Setiap 22 Jun menjelma...ia akan megingatkan saya kepada dua perkara...iaitu hari kelahiran dan pengkebumian. Menginsafkan saya bahawa setiap detik kelahiran manusia juga adalah detik kematian pada yang lain. Hidup dan mati adalah dua perkara yang begitu hampir kepada manusia.  Amat sakit apabila kehilangan satu demi satu insan yang disayangi...
namun kematian adalah sesuatu yang pasti. Giliran saya juga akan menyusul nanti.

Diam tak diam...hari ini sudah genap enam bulan pemergiaan abang. Semoga roh abang di tempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang di ampuni, dikasihi, di kasihani dan diselamatkan. Semoga di terang dan dilapangkan pusara persemadian abang. Doa saya akan selalu mengiringi. Mudah-mudahan tenanglah abang dipersemadian. Amin....

Khamis, Ogos 13, 2009

Pergi Tak Kembali...



Innalillahi wa inna ilaihi roji'un...
Sebutir lagi permata telah kembali ke pangkuan Illahi. Adakah persada nasyid akan sama indah getar iramanya tanpa Ustaz Asri? Bagi saya Ustaz Asri adakahlah seorang tokoh. Tokoh penting yang menyulam damai dengan alunan suaranya yang syahdu mengajak insan mengenal diri, mengenal Rasul dan mengenal Allah. Suara Ustaz Asri dan Rabbani adalah suara kedamaian. Rabbani adalah lambang jihad suci tanpa mementingkan diri dengan topeng-topeng dusta yang selalu dipakai oleh segelintir penggiat seni yang lain. Seni Rabbani adalah seni yang suci.
Seperti Raihan di zaman Nazri, Rabbani berdiri di kelasnya yang tersendiri. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh kumpulan Rabbani, kekuatannya berdiri pada Asri. Setelah ketiadaannya, saya harap Rabbani akan terus bertahan dan meneruskan perjuangan dalam kembara seninya tanpa henti. Saya yakin Ustaz Asri telah meninggalkan asas yang kukuh kepada ahli kumpulan Rabbani. Sekarang terpulang kepada mereka untuk meneruskan perjuangan tersebut. Saya tidak mahu Rabbani berkubur. Saya mahu Rabbani terus gagah.
Catatan: Kepada balu Ustaz Asri, takziah saya ucapkan. Semoga anda tabah menghadapi ujian Allah. Kepada anak-anak Ustaz Asri... ayah kalian insan yang hebat! Berusahalah untuk menjadi hebat seperti dia. Al-Fatehah daripasa saya untuk seorang insan budiman yang saya hormati, Allayarham Ustaz Asri Ibrahim. Semoga roh anda berada dikalangan hambaNya yang soleh. Amin.

Ahad, Julai 26, 2009

Balangsukawa Yasmin Ahmad


Suatu ketika dahulu saya tidak mengenali siapakah Yasmin Ahmad. Namun saya sering terkesima apabila melihat iklan-iklan hebat petronas di kaca TV. Saya tonton berulang-ulang. Iklannya terkadang lucu sinis dan mencuit hati. Adakalanya pula disulami hiba yang mampu mengundang airmata. Penuh simbolik namun mudah untuk dimengerti. Saya menganggap Yasmin Ahmad adalah seorang yang cukup sentimental dan penuh nostalgik orangnya. Menikmati karya-karyanya bagaikan menolak saya kembali kepada zaman kanak-kanak saya.Tidak kira samada dalam iklan mahupun filem-filemnya, Yasmin ahmad mempunyai identitinya tersendiri. Dia sudah berada jauh di hadapan menjadi pelopor masyarakat majmuk yang penuh setiakawan walaupun tanpa slogan 1 Malaysia.
Meskipun karyanya banyak menjemput pujian tidak kurang juga mengundang cemuhan namun dia terus rancak berkarya. Tidak ada apapun yang mampu menghalang segala idea yang mengalir daripada minda dan rasanya sehinggalah nafasnya terhenti. Walaupun tidak mengenalinya secara peribadi, saya adalah silent reader di blognya http://yasminthestoryteller.blogspot.com/ Memang ada juga antara tulisan dan pemikiran tertentu di dalam karyanya yang tidak sealiran dengan saya, namun ianya bukan penghalang bagi saya mengkagumi karya dan kecerdikan beliau. Perbezaan pandangan dan pendapat tidak semestinya bermusuhan!


Yasmin...Selamat kembali ke sisi Yang Abadi. Saya doakan rahmat dan kasih sayang Allah akan sentiasa menemani anda di alam sana. Amin.Semoga tenang bersemadi. Kami yang masih hidup ini pasti akan ke sana juga nanti. Al-Fatehah.

Jumaat, April 10, 2009

28 Mac ...Petang Sabtu yang berdarah...

28 March 2009.

Paginya bermula dengan gembira. Saya, kakak serta akak ipar ke rumah jiran yang mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya. Bekal kami dengan 'boko' berisi berasa serta pisau tajam sorang satu. Membawa pisau itu amat perlu. Kalau tidak kita akan terlopong hanya memerhati kerana ketiadaan pisau untuk sessi potong memotong bawang cili kentang nenas timun karet dan seumpamanya ehehehe. Saya paling benci jadi orang yg hanya melopong memerhati semata-mata kerana tidak ada pisau. Jadi saya akan pastikan ketika menghadiri kenduri kendara saya akan membawa pisau kecuali jika saya datang hanya sebagai jemputan yang bila kenyang terus pulang.

Saya di rumah kenduri sehingga pengantin datang kira-kira pukul 1 tghari. Perut dah kenyang, dah puas tengok pengantin yg sama cantik sama menawan di pelamin, berbekalkan sedikit lauk buah tangan tuan rumah, kami pulang.

Di rumah, setelah masing-masing selesai solat zohor maka tibalah sessi berbaring-baringan bertidur-tiduran melepaskan lelah. Di rumah saya ini sudah menjadi tabiat semulajadi, tak ada siapa yang suka landing dalam bilik kecuali saya. Masing-masing dengan gaya bebas akan bergolek-golekan di atas rumah atau di ruang dapur bergelimpangan bagaikan askar yang berkaparan terkena tembakan membabi buta. Saya lebih selesa baring di katil di bilik arwah mak yg kini telah saya kuasai sepenuhnya. Cewahhh!

Selepas asar kira-kira jam 4.45, ketenangan kami menghirup nyaman aroma rumput basah sesudah hujan dibingitkan oleh deringan hp kakak saya. Saya tak ambil pot...tentu anak-anaknya yg menelefon. Namun seketika kemudian saya merasa cuak bila mendengar suara kaget kakak. "Ye ke?! Bila?! Kat mana"!!!... Innalillahi wainna lillahi rojiun. Yalah yalah nanti kakngah bgtau semua,"

"Nape ngah?" Cepat suara saya menerpa sebaik saja kakak selesai.
"Along Ahmad accident dengan isteri dia. Kena langgar lori. Cedera parah. Dua-dua meninggal."
"Innalillah wa inna lillahi rojiun..." dan saya terus terdiam selepas itu. Ya Allah... dugaan apa lagi yg Engkau anugerahkan kepada kami?

Along Ahmad adalah bapa saudara dua pupu saya. Arwah ayahnya adik beradik dengan arwah nenek saya. Kami tidaklah begitu rapat kerana tinggal berjauhan. Namun jikalau ada kematian atau pun kenduri kendara kami akan saling menghadiri majlis satu sama lain. Hari terakhir saya berjumpa dengannya ialah ketika dia dan isterinya datang menziarahi arwah abg ipar saya kurang lebih sebulan yang lalu. Beliau bertubuh besar dan tinggi dan sajak bergelar peneroka. Bila saya bersalaman dengan dia serta mencium tangannya, telapak tangannya penuh menggengam tangan saya dan saya harus mendongak untuk melihat wajahnya. Arwah memiliki sepasang mata yang cantik dengan alis yang lentik.

Oleh kerana jenazah mereka berdua di bawa ke hospital untuk post mortem dan sebagainya, saya adik beradik memutuskan untuk menziarahi mereka pagi-pagi keesokan harinya kerana kami mengandaikan mesti jenazah mereka akan dikebumikan sebelum pukul 12 tghari.

Keesokan harinya, saya akak anak menantu akak, abang dan kakak sepupu serta abang-abang bertolak seawal pukul 9 pagi. Kami tidak terus pergi ke rumah arwah kerana kami difahamkan arwah masih lagi dihospital, belum dibedah lagi. Masih menunggu giliran kerana kes dahulu didahulukan. banyak yang perlu diperbuat kerana kecederaan mereka amat teruk sekali. Tak perlulah saya ceritakan disini betapa ngerinya keadaan mereka. Hanya Allah yang tahu apa hikmah disebaliknya.

Apabila sampai di rumah abang sepupu saya yang rumahnya berada di kawasan yang sama, saya lihat kakak sepupu saya dan menantunya sedang sibuk hendak mula memasak kerana sudah tentunya nnt saudara yang datang jauh dan dekat akan berkumpul di situ. Setelah diberitahu yang jenazah akan sampai petang, saya meminta t'shirt dan kain batik dari kakak sepupu saya. Setelah menyalin 'uniform' saya pun mulalah bersila di lantai dapur. Menyiang pucuk keledek, membuang tangkai pucuk ubi yangs egar-segar dari kebun mereka sendiri. Saya, menantu sepupu saya, akak dan kakak sepupu saya berpencah di dapur. Saya langsung tidak bangun dari bersila. Memandangkan ikan rebus telah digulai bersama terung telunjuk, pucuk keledek pula digoreng, pucuk ubi direbus, lalu saya mencadangkan kami membuat sambal gesek (sambal tumbuk ikan bilis).
Mula-mula saya menumbuk cili menggunakan lesung batu kecil. Tapi kakak sepupu saya menghulurkan lesung batu yg gedang (besar) yg belum pernah saya tengok sebelum ini. Hehehehe. Makanya dengan penuh bersemangat saya tumbuk cili kemudian masukkan ikan bilis yang saya tumbuk 80% lumat. Kemudian saya perahkan limau nipis, campur sedikit garam dan sedikit gula. Saya gaulkan dengan penuh bergaya ala-ala chef popular ekekekeke.
Menantu sepupu saya kata, "Arwah mak dulu dia tak suka sambal yg basah-basah. Dia buat kering aja."
Saya menjawab. "Maksu suka yang basah-basah...yang nampak berair dengan asam limaunya."

Ok...Ikan rebus masak lemak cili api campur terunf telunjuk dah siap. Ikan masing goreng dah tersedia. Pucuk keledek telah digoreng. Pucuk ubi sudah direbus. Kacang bendi pun dah direbus. Sambal gesek sudah sedia, apa tunggu lagi?

"Akak nak makan dulu la dik. Lapar lak rasanya." Kakak sepupu saya yakni isteri tuan rumah merasmikan sambal gesek saya bersama pucuk ubi rebus. "Uihhh! Sedap sambal gesek kau dik. Akak makan ni aja dah rasa perisa." Fuhhh kembang kuncup hati saya tapi saya mantain ayu. Hahahaha. Sebelum itu akak pun dah mengulas..." mak aih bau sambal kau dik." Tp saya tak suka riak, saya cuma katakan baunya je ngah. Rasanya entah." Cehwahh pandai btol saya kaver. Hikhikhik.

Makanya setelah juadah semua tersedia di meja, kami mempersilakan para tetamu menikmati hidangan. Masing-masing makan dengan senyap macam tikus jatuh ke beras. Tak ada sebarang komen. Tapi bila masing-masing dah kenyang, dah berpeluh-peluh, dah membasuh tangan, "Fuhhhh! Sambal gesek kau menyelerakan dik. Sedap betul." Aku hanya tersengih dan biasalah kan kontrol ayu sentiasa. Kahkahkah. Dengan rendah hati saya berkata, "Alaa sesekali bertukar air tangan, tu la rasa sedap padahal biasa aja".

Akak si puan rumah siap mengambil sedikit sambal utk disimpan buat mkn ptg/mlm takut kehabisan. Asingkan sikit untuk abang kau. Kang tak merasa pulak dia."

Komen I daripada anak tuan rumah "Sedap laaaa sambal maksu,"
Komen II dari anak ke 2 tuan rumah, "Kalau ada lagi karang, saya nak bawak balik skit."

Aduhhh! Hingga ke petang hati saya kembang berbunga-bunga dengan pujian demi pujian kesedapan sambal gesek saya. Oleh kerana saya dan akak yang terakhir makan, adalah secoet yang tinggal. Akak ambil sikit saya ambil skit dan penamatnya saya masukkan nasi ke dalam bekas sambal tu dan gaulkan sehingga licin ekekekeke.

Setelah itu ada pula yang bersuara. "Sambal gesek dah abis ke?"
Minta maaf ya tuan puan...tunggulah air tangan saya pada tahun-tahun yang akaan datang :p

Selingan ceria berakhir.

Bila diberitakan jenazah dalam perjalanan pulang, kami bersiap-siap untuk ke sana. Saya menyarung semula baju kurung lavender dan tudung saya bagi menyerlahkan lagi keayuan dan kesopanan saya yang berbeza dengan t'shirt dan kain batik saja. Perhatian: Ini bukan memuji diri sendiri, sekadar gurauan yang bermakna ;) Kenyataannya saya tidaklah seayu mana pun tp saya bersyukur dgn kejadian diri saya apa adanya :D

Detik pilu bermula...

Sejurus selepas kami sampai di rumah arwah, jenazah pun tiba. Dua van jenazah membawa dua jasad berdarah diiringi sedu sedan anak-anak yang menunggu. Ketika jenazah dibawa masuk ke rumah dan dibuka sedikit wajahnya utk anak-anak melihat utk kali terakhir, saya menyelit dicelah bahu abg dan dpt melihat sekilas wajah mereka. Saya hanya melihat sekilas kerana tak sanggup melihat lama. Saya terus beredar sambil tak henti-henti beristifar. Hati saya sayu, terharu, insaf. Tenang dalam debar.

Saya keluar. Akak bertanya, "Kau tengok jenazahnya dik?" Saya mengangguk."Macam mana?" Saya diam sediam-diamnya.

Daripada cerita abg sepupu saya, iaitu tuan rumah tempat kami memasak tadi, dia dan anak lelakinya segera ke tempat kejadian setelah mendapat berita kemalangan. Ketika itu mayat masih belum dialihkan. Lori dan motosikal yang arwah tunggangi bersama isteri bertembung secara berdepan. Arwah diseleret jauh oleh lori tersebut. Isterinya pula berada di bawah tayar lori. Motosikal tidak lagi berupa motosikal. Lauk pauk bekal daripada majlis kenduri yang mereka hadiri bertaburan disepanjang jalan. Kejadian berlaku sewaktu hujan panas berderai.

Selepas kedua-dua jenazah selesai disembahyangkan (sudah siap-siap dimandikan dihospital), saya dan abang-abang menghantar kedua-dua jenazah ke tanah perkuburan. Kakak tak ikut sebab hendak ke tanah perkuburan tersebut terpaksa naik ke kawasan yang agak tinggi dan berbukit. Jadi dia, akak sepupu serta menantu yg sedang hamil hanya menunngu di dalam kereta.

Saya menunggu sehingga jenazah selamat disemadikan di dalam satu lubang dua lahad. Menunggu hingga selesai talkin dibacakan. Menunggu hingga semua pulang. Saya dah abang-abang masih tinggal di situ memerhatikan anak-anak arwah yang masih pegun bagaikan tidak mahu meninggalkan pusara ibu bapa mereka. Saya amat mengerti perasaan mereka. Siapa yg semudahnya mampu menerima kehilangan ibu dan ayah dalam sekelip mata? Saya memandang abang. "Ajak bebudak tu balik dik," ujar abang.

Abang merapati anak sulung arwah mengajak pulang.
Saya mendekati anak perempuan arwah, "Ayu...ajak adik-adik balik. Dah petang ni."
Mereka bangun. Sebelum itu sempat mencium nisan sementara ayah dan bonda mereka. ayu memeluk dan menangis di bahu saya.
"Sabar...ayu kena kuat...kena kuatkan adik-adik. Sabar, semua ni ujian Allah. Mungkin ada hikmah disebaliknya."
"Tapi ayu sedih. Keadaan jenazah mereka tak sempurna,"
"Itu urusan Allah...jangan fikir yang buruk. Fikir yang baik-baik je. Bayangkan segala yg baik saja tentang mereka. Sedekahkan al-Fatehah banyak-banyak. Itulah yang mereka perlukan sekarang."
"Patutlah diorg (arwah ibu dan ayahnya) sejak kebelakangan ni selalu bercerita tentang arwah-arwah yang telah pergi. Agaknya mereka tau mereka tak lama lagi,"
Saya mendengar luahan demi luahan. Saya memberi semangat demi semangat yang mampu saya berikan. Separuh daripadanya agak klise. Tapi apa yang mampu saya katakan dalam suasana duka di petang yg muram itu?

Saya dan abang-abang mengiringi mereka turun menuju ke kereta. Saya sempat menoleh pada dua pusara sepi yang kami tinggalkan. "Pak long, maklong, selamat tinggal...bersemadilah dengan tenang," Hati saya sempat berbisik. Saya menghela nafas dalam-dalam, cuba menelan segala kesedihan. Ayu memeluk pinggang saya sampai ke bawah. Kami bersalaman berciuman dan berpelukan. "Terima kasih maksu," Saya mengangguk. "Jaga diri dan adik-adik baik-baik". "InsyaAllah maksu."

Kami bertolak pulang dalam suram petang yang sedang merangkak ke senja. Saya terbayang wajah kedua-dua jenazah yang saya lihat tadi. Saya tidak mahu membayangkan itu. Saya akan terus membayangkan wajah sempurna mereka di minda saya. Wajah kacak arwah paklong dengan sepasang mata yang menawan serta wajah manis arwah maklong. Bersemadilah dengan tenang...Semoga Allah mengampunkan Pak Long dan Mak Long dan menempatkan mereka di kalangan hamba-hambaNya yang diampuni, dikasihi dan diselamatkan. Amin. Al-Fatehah.

Nota: Hari demi hari saya semakin belajar untuk menerima dan akrab dengan segala rasa kehilangan...

Isnin, Mac 30, 2009

7 Mac - Petang Sabtu Yang Duka

4 Mac 2009.
Pagi yang tenang dibolosi panggilan daripada anak adik bongsu arwah abang ipar saya memberitahu ayahnya dimasukkan ke hospital. Ayahnya dikatakan tiba-tiba longlai di awal subuh lalu dikejarkan ke hospital dengan ambulan. Wahai Maha Pencipta... dugaan apa lagi yang ingin Engkau anugerahkan kami? Buruk dan baik kami akan persiapkan diri untuk menerima.

Adik ipar kakak saya terus koma sejak dimasukkan ke hospital. Doktor kata jantungnya lemah dan dkhuatiri otaknya dijangkiti kuman. Hari ke 3 dia di hospital, saya kakak anak dan menantunya berempat bertolak dari rumh dengan niat menziarahinya di hospital. Ketika sampai, adik beradik ipar kakak serta anak saudara sudah ramai ada di situ.

Ketika saya masuk ke wad rawatan rapi, abg saya yg sudah sampai dulu sudah ada di situ. Pada mulanya saya ingatkan adik ipar kakak saya sedang mengangguk apabila abg saya mengatakan sesuatu padanya kerana wajahnya terlindung dengan kepala abg saya. Rupa-rupanya dia bernafas dengan payah menggunakan tiub sehinggakan kepalanya terdongak ke atas ke bawah ketika bernafas. Abg saya rupa-rupanya sedang membacakan sesuatu di telinganya. Saya bersalaman dan berpelukan dengan isteri adik ipar kakak yangs setia menunggu suaminya. Kami berpelukan. Dia menangis dalam pelukan saya. Saya memujuknya dengan kata-kata yang positif. Saya memerhatikan wajah lesu biras saya dengan hiba. Walaupun dia hanya adik arwah abg ipar saya dan tidak begitu rapat, saya menganggap dia seperti abang saya sendiri. Lagi pula kami pernah membesar bersama ketika arwah bapa saya dan arwah ayahnya tinggal di berek polis yg sama ketika di Lurah Bilut sewaktu kami kecil dahulu. Di sanalah juga kakak saya bertemu jodoh dengan abangnya. Sayalah yang menjadi org tengah yang sentiasa di usung ke sana sini apabila arwah abang ipar saya nak berdating atau membawa kakak saya menonton wayang. Bila bkesempatan waktu petang arwah abg ipar saya akan membawa saya berjalan dengan motosikal bertangki besar yang saya dah lupa namanya. Saya masih ingat saya duduk atas tangki minyak itu ketika kami bersiar-siar.

Saya usap belakang isteri adik ipar kakak. Tangannya sebelah diletakkan di bawah tangan suaminya lalu ditutup dengan selimut suaminya. Dia sedikitpun tidak melepaskan pegangannya kecuali bila ada yg datang bersalaman dengannya. Saya keluar untuk memberi ruang kepada yang lain masuk menziarahi.

Saya beredar ke koridor di belakang wad tersebut di mana dari situ saya dapat melihat orang keluar masuk ke wad tersebut melalui cermin yang tidak diturunkn langsirnya. Ketika hampir 2/3 surah yassin saya baca, saya nampak doktor bergegas masuk. Tirai disekeliling katil ditarik. Masing-masing nampak cemas dan gelisah dan ada yang sudah mula menangis. Saya berusaha menyudahkan bacaan yassin saya dengan deraian airmata. Beberapa minit kemudian saya melihat doktor keluar menemui ahli keluarga yang sesak menunggu di luar wad. Apabila saya melihat doktor menggelengkan kepala, hanya innalillah INNALILLAH WA INNA ILLAIHI ROJI'UN ... hanya itu yang mampu saya lafazkan separuh berbisik. Ketika itu lebih kurang jam 6.20 ptg. Detik itu saya teringat...setelah subuh tadi ketika saya berdoa kepada Allah memberikan apa yang terbaik untuk arwah, wajah arwah terbayang jelas di minda saya. Wajah yang bersih dan tenang.

Saya mengimbas kembali pertemuan terakhir saya dengannya selepas pengebumian arwah abang ipar saya dua minggu yang lepas. Dia kata pada saya isterinya berminat dengan jam antik yg dilihatnya di tgh rumah. Saya katakan padanya " Eh mana boleh...sayang jam tu..antik tu. Blom sempat nak repair." Kemudian dengan nada gurauan dia menjawab, "Kalau dah minta tapi tak bagi, boleh curi tu!" Lalu kami ketawa. Itu saya komunikasi kami pada hari itu dan menjadi perbualan dan gurauan terakhir. Setelah itu kami pulang ke rumah kakak di Seremban. Sewaktu di sana dia tidur hingga ke maghrib. Memang wajahnya agak lesu waktu itu. Diam tak byk cakap walaupun dia sebenarnya peramah dan penuh dengan gurauan. Ketika dia dan keluarganya pulang pada mlm itu setelah kenduri tahlil, saya tidak menemuinya kerana saya tertidur selepas makan ubat kerana sakit kepala.

Saya menatap wajah isteri arwah yang tiba-tiba muntah-muntah. Mungkin kerana terlalu banyak menangis dan perut masuk angin akibat berhari-hari tak berselera makan. Saya melihat wajah anak-anaknya yang penuh tangisan seorang demi seorang. Saya melihat wajah sendu adik-adik arwah abang ipar saya yang harus menerima kenyataan kehilangan saudara sulung dan bongsu mereka dalam jarak hanya dua minggu. Saya perhati wajah Along, Angah, Anum, adik serta empat orang lagi anak angkat arwah. Rasa kehilangan mereka bagaikan meresap jauh ke dasar hati saya mengajak saya turut berkongsi kesedihan dan keperitan mereka. Perjalanan ayah mereka tamat di usia 48 tahun.

Selepas itu kami pulang ke rumah abg saya. Memandang kami hanya datang sehelai sepinggang, maka habislah pakaian kakak ipar saya yang lebih kurang sama saiz dengan kami menjadi mangsa. Kami tak membawa pakaian kerana tujuan kami hanya menziarahi arwah di hospital dan pulang semula ke Seremban selepas itu. Pada sebelah malamnya kami pergi ke rumah arwah untuk menghadiri tahlil. Selesai bertahlil kami lembali bermalam di rumah abang.

Keesokan harinya jenazah arwah selamat dikebumikan kira-kira pada jam 11 pagi. Satu-satunya anak perempuan arwah yg berusia 12 thn buat hal tak mahu meninggalkan tanah perkuburan. Puas di pujuk barulah dia menurut. Setelah itu kami kembali ke rumah arwah utk menghadiri majlis tahlil yang dibuat selepas zohor. Setelah semuanya selesai, tibalah sesi perpisahan.

Ketika bersalaman dengan angah, dia memeluk saya erat. Saya katakan padanya, "Angah kena kuat. Jaga mak baik-baik. Tengokkan adik-adik." Angah mengangguk-angguk laju sambil mengesat airmata. Ketika aku menghulurkan tangan kepada Along, Along terus mendakap saya erat. anak muda yang masih belajar di uia itu tersedu di bahu saya. Saya usap lembut belakangnya, saya katakan pada dia, "Along mesti kuat. Along kena kuat. Kalau along tak kuat, macam mana Along nak kuatkan emak dan adik-adik. Sabar, ini ujian Allah pada Along." Along mengangguk-angguk. Sebenarnya saya tidak menyangka mereka akan bertindak balas begitu terhadap saya walhal kami amat jarang bertemu. Pada ketika itu saya merasakan amat dekat dengan mereka. Anum dan adik mendakap saya dengan rentak yang sama. Begitu juga dengan isteri arwah. Saya memberikan pesanan dan nasihat yang mampu lahir dar bibir saya ketika itu. Meskipun saya sedar, kata-kata saya itu tidak setimpal dengan rasa kehilangan dan keperihan yang mereka rasai, saya amat berharap ia mampu membantu mereka membina ketabahan dan kekuatan baru untuk meneruskan kehidupan.

Mengimbas kembali kehidupan arwah... beliau merupakan seorang insan yang begitu mulia hatinya. Selain daripada 4 orang anak kandung yang ada, arwah juga membesarkan 4 orang anak arwah abang iparnya 3 orang lelaki seorang perempuan. Kerana itu dia harus bekerja keras untuk menampung kehidupan mereka. Dulu mereka memiliki kedai makan tapi sudah menjadin kelaziman segelintir golongan berniaga yang penuh dengki dan hasad, perniagaan mereka di peragamkan orang dan akhirnya tutup. Setelah itu isteri arwah bekerja dengan ibu saudaranya memasak untuk katering. Manakala arwah pula membuka perniagaan menjual pakaian bundel di uptown. Dengan sumber rezeki itulah mereka menampung keperluan keluarga besar mereka. Menurut isteri arwah, arwah tak pernah merungut penat atau berkeluh kesah dengan kehidupan mereka walaupun terpaksa bekerja keras sehingga ke awal pagi mencari rezeki.

Semoga Allah merahmati dan mengampuni roh arwah dan ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang dikasih, diampuni, dimuliakan dan diselamatkan. Amin...

Catatan: Sejak pemergian ibunda tercinta, saya semakin rajin menziarahi handai taulan yang sakit, yang meninggal dunia dan seboleh-bolehnya saya akan cuba menghadirkan diri ke tanah perkuburan sehingga selesai pemakaman. Ia mengakrabkan saya pada kesedaran bahawa kehidupan ini tidaklah abadi untuk dibanggakan, untuk diriakkan kerana akhirnya nanti pakaian kita hanyalah kain putih tak berjahit manakala rumah kita cumalah tanah asal kita dijadikan.

21 Februari ... Sabtu yang muram ... Malam minggu yang suram...Selamat jalan...

Abang ipar saya sudah lama tak sihat. Kemuncaknya apabila dia dimasukkan ke hospital pada 2hb Februari 2009. Keluar masuk hospital bukanlah sesuatu yang asing baginya. Sejak beberapa tahun ini lebih-lebih lagi setelah menjalani pembedahan jantung, kesihatannya tidak lagi seperti dulu. Apatah lagi setelah penyakit darah tinggi dan kencing manisnya mengekori. Paling malang apabila penglihatannya teruk terganggu setelah menjalankn rawatan mata menggunakan laser. Kalau sebelum itu dia masih boleh melihat menggunakan cermin mata, tetapi setelah rawatan tersebut penglihatannya semakin teruk sehinggalah penglihatannya terus kabur.

Dengan segala penyakit dan ragam orang sakit, kakak saya terus sabar melayani kerenahnya. Kakak mmg sabar hinggakan saya sendiri kurang sabar melihat kesabarannya. Saya tahu kakak penat. Sepanjang usia perkahwinannya kakak mmg sudah terlalu banyak berkorban. Untuk suami, untuk anak-anak. Untuk keluarga. Walaupun kadang-kadang dia mengadu penat kerana dia sendiri tak begitu sihat, dia tetap sabar meneruskan kewajipannya. Jantung kakak dimasukkan bateri bbrp tahun lagi bagi membantu kelancaran jantungnya mengepam darah. Selain drpd itu, hempedu kakak pun telah dibuang.

Saya sejak dulu mmg kurang ngam dgn abg ipar. Kurang ngam bkn bermaksud tidak suka. Saya sayangkan dia. Dia telah menjadi abg ipar saya berpuluh tahun lamanya. Cumanya mungkin antara kami kurang ada keserasian dgn cara berfikir serta berbeza sudut pandangan. Keserasian antara kami hampir tidak ada pada beberapa tahun kebelakangan ini. Saya tidak tahu sama ada saya yg bersalah atau sebaliknya. Barangkali kerana dia tidak lagi dpt melihat, bibirnya menjadi mata baginya meluahkan apa saja yang ada dalam fikirannya walaupun kadangkala ianya berbaur prasangka dan menyakitkan hati. Barangkali dia tertekan dgn keadaannya manakala saya pula agaknya tidak prihatin dengan situasi tersebut.

Setelah seminggu dimasukkan ke hospital, kakak meminta saya menemaninya. Waktu siang dia akan menunggu abg ipar saya di hospital. Pulang sebelum mahgrib lalu digantikan oleh 2 org anak lelakinya silih berganti. Bermakna saya menemaninya pada waktu malam sahaja.

Setelah sepuluh hari di wad biasa, abg ipar saya di masukkan ke ccu kerana masaalah jantung. Keadaannya agak serius. Ketika melawatnya, hanya 2 org saya diizinkan masuk utk satu masa. Ketika saya melihat keadaannya, airmata saya jatuh berderai. Situasinya amat menyedihkan. Mulut, hidung, dada n perutnya berselirat dengan wayar dan tiub. Pada ketika itu dia masih sedar. Bila saya berbicara dengannya dia mendengar dan mengangguk. Saya genggam tangan dengan airmata bercucuran. Tak sampai hati saya melihat dia dalam keadaan begitu. Saya keluar apabila doktor masuk untuk membuat pemeriksaan. Apabila masuk semula, saya pegang tangan abang ipar saya. Saya katakan padanya... "abang, walaupun adik tak selalu datang melawat, tp adik selalu mendoakan abang. Adik mendoakan abang akan sembuh seperti dulu. Abang sabar ya? Bertahan. Banyakkan istighfar, berselawat... ingatkan Allah, ya bang?" Aku melihat dia mengangguk. Dari bibir matanya yg terpejam jatuh butir-butir airmata. Dia menggenggam tangan saya erat. Ketika mahu pulang, aku dekatkan muka ke telinganya. "Abang, adik balik dulu ya? InsyaAllah nanti adik dtg lagi. Adik nak kuar ni. Nanti akak masuk." Saya beredar sambil mengelap airmata dengan hujung lengan baju.

Beberapa hari kemudian hati saya meronta-ronta untuk menziarahinya semula. Saya mengikut kakak menziarahinya pada waktu tengahari. Kakak pergi lewat hari itu sebab kakak tak sihat. Kasihan melihat kakak yang jalan pun tak bermaya keletihan. Pada hari terakhir saya menziarahinya itu, keadaan abang ipar saya sudah kritikal. Doktor hanya meletakkan harapan 25% untuk dia pulih. Sepanjang hari itu saya keluar masuk wad tersebut bergilir ganti dgn kakak. Sudah beberapa hari abang ipar saya demam panas. Katilnya basah. Mungkin sengaja dibasakan untuk menurunkan suhu badannya. Kakak tak mahu meninggalkan dia sendirian tanpa teman. Kakak tak boleh berdiri lama. Sebelum pulang, saya agak lama bersendirian dengan abg ipar saya. Saya usap pipinya lalu sempat mensasasrkan jari saya ke telinganya. Telinganya sejuk dan layu. hati saya berdetik. Saya genggam tangannya yang bengkak itu. Saya dekatkan muka saya ke wajahnya. Saya kuatkan hati untuk berbicara walaupun airmata saya sudah berderai-derai mendahului kata-kata. "Abang, adik minta maaf kalau adik ada buat salah pada abang. Halalkan segala makan minum adik. Walaupun adik agak kasar ngan abang, tapi adik sayang abang. Abang sabar ya? Ini ujian Allah pada abang." Abang ipar saya membuka matanya. Matanya merah. Mungkin kerana demam panasnya itu.
Tapi matanya tidak memandang pada saya. Matanya berkelip-kelip dan ada air yang bergenang. "Maafkan adik ya bang. Ampunkan adik. Adik sayang abang. Nanti insyaAllah adik datang lagi ziarah abang ya?" Dia seperti ingin mengatakan sesuatu tapi tiub di dalam mulutnya membuatkan dia tidak mampu berbuat begitu. Saya cium tangannya yang terikat dingin itu tiga kali. Airmata saya bagai air terjun ketika itu. Tangan abg terpaksa diikat pada katil bagi mengelakkan dia mencabut wayar-wayar ditubuhkan. Ketika sampai di pintu saya menoleh sekali lagi. Hati saya berdetik...adakah saya akan ada kesempatan menemuinya lagi?

Hari khamis kakak meminta saya mengambil karpet di rumah kampung kerana semua karpet besarnya telah di angkut ke kampung ketika majlis perkahwinan tahun lalu. Pada malam jumaat hati sayang berdetik untuk pulang mengambil karpet keesokan hari sambil melihat rumah yg sudah seminggu ditinggalkan. Saya mensms abg saya meminta dia menghantarkan saya pulang setelah menghantar anaknya ke sekolah pagi esok.

Hari sabtu petang. Saya sedang berbaringan seorang diri. Ketika itu hari berpetir tapi tak hujan. Hanya mendung. Hampir maghrib tiba-tiba suis besar di kotak letrik menyentak. Saya jadi bingung. Sekejap lagi hari gelap dan saya bersendirian di rumah.
Kalau di rumah saya, saya taulah di mana suis yang patut di onkan semula. Saya mencari kotak suis pun tak jumpa :( Saya sms Apek (gelaran untuk anak kedua kakak saya). Apek ketawakan kebimbangan saya. "Takpe, sekejap lagi angah sampai." Saya ingatkan dia dalam perjalan pulang dari hospital menjemput kakak saya. Rupanya-rupanya dia baru hendak ke hospital mengambil kakak saya. Setelah dia onkan semula suis besar kemudian menunjukkan saya apa yang patut dibuat kalau suis itu menyentak lagi, dia dan isterinya terus ke hospital. Saya di rumah bersendirian.

Ketika menonton siaran Buletin Utama di TV3, isteri Apek menelefon saya, "Maksu...siti ni. Maksu, papa dah tak ada." Innalillah wa inna lillahi rojiun... Saya terpaku dan terdiam seketika. Sambil menghadiahkan Al-Fatehah pada roh abang ipar saya, saya pasang semua lampu mundar mandir di dalam rumah seorang diri. Tak tahu nak buat apa. Seketika kemudian jiran kakak saya datang. Dia membantu saya mengemaskan rumah, menurunkan kerusi ke bawah, membentangkan kapet dan persediaan yang patut dibuat sementara menunggu jenazah tiba.

Hampir pukul 11 mlm jenazah tiba di rumah. sudah siap di mandi dan dikapankan di hospital. Saudara mara sudah mula tiba. Adik-adik arwah, adik beradik saya, sepupu serta ahli keluarga yang tahu. Malam itu dipenuhi dengan bacaan Al Quran dan yaasin hingga ke pagi.

Hari ahad. Pukul sembilan pagi, jenazah di bawa ke surau berhampiran untuk di sembahyangkan. Ramai juga yang menyembahyangkannya kerana kebetulan pada waktu itu Imam baru saya selesai dengan kuliah subuhnya. Setelah di sembahyangkan, jenazah di bawa ke kampung saya untuk disemadikan. Perjalan memakan masa lebih kurang 45 minit. Setina di kampung, jenazah di naikkan ke rumah kami di kampung. Memberi peluang kepada jiran tetangga dan saudara mara di situ memberikan ziarah terakhir. Sekali lagi jenazah ditahlilkan.
Saya tidak menyangka begitu ramai yang menziarahi jenazah abang ipar saya pada hari itu walaupun berita kepulangannya ke rahmatullah diumumkan dalam waktu yang singkat di corong mikrofon masjid. Rumah saya penuh dari atas rumah sampai ke dapur. tak termasuk yang ada di bawah.
Setelah itu jenazah dibawa ke masjid yang tidak jauh dari rumah saya. Di sana sekali lagi jenazah disembahyangkan. Alhamdulillah kebetulan pada hari itu balai raya bersebelahan dengan masjid ada membuat majlis dan mereka memasak di masjid. Maka agak ramai jugalah orang yang menyembahyangkan jenazah abang ipar saya untuk kali kedua. Sebaik saja selesai disembahyangkan, jenazah di bawa ke tanah perkuburan yang juga letaknya berhampiran dengan masjid. Alhamdulillah walaupun pada mulanya kubur yang digali itu kelihatan agak kecil seperti tidak muat, tetapi jenazah dengan mudah dimasukkan ke liang lahad. Cantik terletak. Ketika talkin bibacakan, saya melihat abang saya memeluk kakak dengan erat. Menenangkan kesedihan atas perpisahan seumur hidup itu. Setelah selesai pengkebumian, kami dijemput untuk menghilangkan dahaga dan menjamah makanan di masjid.

Alhamdulillah. Segalanya berjalan dengan lancar dan mudah. Selamat jalan abang, bersemadilah dengan tenang... Al-Fatehah. Satu-satunya abang ipar yang saya ada telah dijemput Illahi.

Catatan: Banyak yang saya mempelajari daripada sekian banyak kehilangan dan kematian dalam kehidupan saya. Salah satu daripadanya ialah... kematian mengajar saya untuk memaafkanm, menerima, redha serta mengikhlaskan segala kekhilafan dan kesalahan yang pernah dilakukan oleh mereka yang telah pergi itu terhadap saya.

Khamis, September 25, 2008

Al_Fatehah lagi....

Pagi tadi setelah sesesai solat subuh, satu pengumuman tentang berita kematian kedengaran dari corong speaker masjid. Saya mendengar dgn kusyuk untuk tidak terlepas nama yang akan disebutkan. Siapakah lagi yang Allah jemput pada pagi Ramadan yg mulia ini?

Innalillah wainna ilaihi rojiuun...

Ternyata yang meinggal adalah jiran sekampung yang juga ada bau-bau bacang dgn suami sepupu saya. Arwah juga adalah kawan sepermainan arwah emak saya (seperti yg pernah arwah ceritakan suatu ketika dulu). Arwah memang dah lama sakit. Sudah bertahun-tahun. Dia duduk di rumah anak-anaknya bergilir-gilir. Suaminya juga sudah uzur. Semoga Allahyarhamah Ijah Pajeh di tempatkan dikalangan hamba-hamba Allah yang diampuni dan diselamatkan juga adanya. Amin...



Nota: Detik yang paling pilu ialah tiap kali ketika melangkah meninggalkan tanah perkuburan setelah selesai talkin dan doa dibaca. Saya membayangkan diri saya yg terlantar sendirian di perut bumi...dalam gelap...dalam sunyi...Ya Allah ampunilah kami...ampunilah hambaMu ini...

Ahad, September 21, 2008

Al_Fatehah...

Selepas sahur saya menerima sms daripada anak lelaki saya mengatakan ayah mertuanya meninggal dunia. Innalillahi Wa Inna Ilaihi Rojiun. Al_Fatehah. Esok pula genap 2 tahun permergian arwah ibuku. Al_Fatehah juga untuk ibu yang amat saya kasihi. Dari Allah kita datang kepada Allah juga kita kembali. Pada 11/10/08 nanti genap 21 tahun pemergian arwah ayah dan 11 tahun permergian anak saudara tersayang Epit.Al-Fatehah. Perpisahan yang amat perit sepanjang hidup saya. Namun kematian adalah hakikat hidup. Kita takkan mampu melupakan mereka. Kerinduan usah dikata. Namun kita akan belajar redho.



Nota: Semoga roh mereka ditempatkan dikalangan hamba-hambaMu yang Engkau ampuni dan Engkau selamatkan Wahai Allah Yang Maha Pengampun.

Al_Fatehah...

Selepas sahur saya menerima sms daripada anak lelaki saya mengatakan ayah mertuanya meninngal dunia.

Khamis, Jun 19, 2008

Hari Ini Hari lahir Ibuku...Tapi Ibu Tiada Lagi DiSisiku...



Kalau emak masih hidup...hari ini adalah ulangtahun emak yang ke 75... Tidak pernah sekalipun aku mengenangnya tanpa airmata...bkn kerana tidak redha...aku meredhai pemergiannya...Cuma setiap kali aku terkenang, pabila tiap kali wajahnya terbayang...aku menjadi terlalu rindu... Al-Fatehah...Terima kasih atas kasih sayang yang telah diberikan...

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~