-->
Memaparkan catatan dengan label Suara Jiwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Suara Jiwa. Papar semua catatan

Rabu, November 02, 2011

Menanti jawapan...

Mengapa tidak dijawab sapaku ini?
Tulislah sebaris ayat sayang atau benci
Ingin dilupai atau diingati...
Usahlah menanti sehingga rindu hilang wangi
senyum jadi tangis
dan pintu usia ini terkatup terkunci!

Ataukah sapaan itu hanya akan terjawab
pada batu nisan pusaraku nanti?

~Drpd seseorang kpd seseorang~
(Tidak kesampaian... kini hanya tinggal kenangan)

Selasa, November 01, 2011

Mencipta Sunyi...

Jika anda memilih untuk menyepi..
Saya akan memilih untuk berdiam diri...
Marilah bersama mencipta sunyi...

~rafikasastras~

Isnin, Oktober 31, 2011

Kepercayaan...

Mengapa manusia sering terdorong untuk mempercayai 'orang lain', mempercayai 'kawan' pada 'kawan' atas 'kawan' melebihi daripada kepercayaan kepada adik beradik dan keluarga sendiri? Pabila dinasihati tidak mahu didengari. Bila diajak berkongsi macam-macam alasan diberi. Kalau dengan 'orang lain' amat pemurah. Apa saja, berapa saja, wang atau harta sanggup dikorbannya semua. Dengan adik-beradik semua berkira...penuh rahsia.Bila ditegur hendak meng'garang' saja!

Akhirnya...?

Bila dah terkayu, siapa yang busuk siapa yang wangi? ke mana hendak berpaling kalau bukan adik-beradik dan saudara sendiri?

Sampai bila cerita lama akan terus berulang? Sampai bila tidak mahu belajar daripada kesilapan? Ketika ada wang memang 'langau' berterbangan. Bila bau wang itu hilang, bukan kata langau, nyamuk pun tak sudi nak hinggap!

Salah siapa? Ke mana perginya bijaksana? Sekali terkena tak mengapa... dua kali, waspadalah...kalau kali ke tiga dan seterusnya...? Usah tuding jari pada orang. Mungkin sudah sampai masanya untuk muhasabah diri. Jangan cari silap orang. Carilah salah sendiri!

Saya?

Saya sudah letih dan saya ada kehidupan saya sendiri. Lagi pun...siapalah saya di mata kalian semua?

Jumaat, Oktober 28, 2011

Rahmat Malam Jumaat...

Malam Jumaat yang penuh Rahmat...
Satu panggilan telefon...dua suara jejaka-jejaka hitam manis...
membawa berita gembira yang spontan memekarkan senyuman dibibir...
pintu rezki terbuka lagi...
Alhamdulillah saya lafazkan berulangkali...
Syukur Ya Allah...semuanya dariMu...
Terima kasih kerana masih mencurahkan ilham...
Menyimbahkan rezki untuk hambaMu yang hina ini...

Jumaat, September 23, 2011

الحمدلله


Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Sesungguhnya Engkau memberi pada saat yang paling tidak diduga setiap kali apabila hambaMu yang hina ini ingin menjadi lebih dekat padaMu. Amat benar begitu melimpah kasih-sayangMu.

Khamis, September 22, 2011

Lima tahun berlalu...

Lima tahun terasa begitu laju menjarakkan saya dari ibu. Namun pilu tetap bertamu pada setiap ruang yang beku tanpa lagu. Ibu...saya masih rindu!

Khamis, Julai 21, 2011

Ramadan Hampir Muncul Di Ambang...

Ramadan sudah semakin hampir diambang. Setiap kali munculnya Ramadan saya sering saja bernostalgia. Bernostalgia tentang silam, tentang semalam. Setiap nostalgia itu berkait rapat dengan insan-insan yang telah pergi, yang tidak akan kembali lagi disisi. Walau separuh mati kita merindui namun tembok barzakh takkan mampu kita daki sebelum maut menjemput kita pergi.

Bapa saya sudah  duapuluh empat tahun mendahului. Begitu juga abang lang yang saya kasihi. Anak saudara saya sudah empatbelas tahun bersemadi. Jika dia masih hidup, tiga puluh tiga tahun usianya sekarang. Sama angka ketika abang lang saya menutup mata.Setiap daripada mereka memiliki cerita peribadi tersendiri antara kami. Perpisahan yang menimbulkan kesan terkilan, sesal dan sebal. Selalu membuat saya berfikir, alangkah bagusnya kalau saya mampu memenuhi segala permintaan, alangkah bertuahnya jika saya manfaatkan setiap kesempatan ketika kami masih bersama. Maka kami tidak perlu saling menyakiti, saling membungkam hati dan tidak puas hati sesama sendiri. Namun usia muda adalah usia di mana segala kesilapan luas terbentang dengan kemarahan dan ketidakpuasan hati bermaharaja lela di dalam jiwa.

Namun  satu perkara yang saya belajar daripada kematian, iaitu MEMAAFKAN. Kemaafan yang bebas berterbangan meninggalkan segala rasa marah, tersinggung dan kecil hati. Pada hari itu hati dan jiwa kita akan merasa lepas bebas daripada sebarang belenggu ketidakpuasan hati atau apa saja perasaan negatif yang menyelubungi perasaan kita terhadap mereka selama ini. Rasa yang tidak hanya berhenti di situ kerana sekian sekian hari sekian sekian minggu sekian sekian bulan lamanya kita akan memikirkan...alangkah baiknya jika saya lebih berlembut dan bertimbang rasa terhadap mereka. Betapa bagusnya jika saya lebih bersikap mulus tanpa prasangka.

Begitulah! Rasa terkilan tidak dapat memenuhi satu dua permintaan insan-insan yang telah pergi itu akan terus muncul, hilang dan muncul semula selama kita masih mengingati mereka. Semakin dekat mereka dengan kita semakin akrab rasa terkilan itu walaupun kita telah cuba sedaya upaya melayan dan bersikap baik terhadap mereka.

Namun dalam banyak banyak kehilangan, kehilangan ibunda tercintalah yag amat mengesankan!Ramadan lebih memilukan tanpa bonda. Diam tak diam sudah lima tahun bonda berhijrah. Sehingga hari ini saya tidak mampu mengungkap nostalgia bersamanya tanpa linangan airmata. Apatah lagi ibunda saya meninggal sehari sebelum munculnya Ramadan 2006. Nostalgia itu akan ulang berulang setiap tahun. Memori itu akan sentiasa menghulurkan tali sehinggalah ajal menjemput saya pergi.

Tahun lepas satu lagi kehilangan. Abang yang gila makan rendang tidak akan lagi bertemu pandang.  Tahun ini pula Ramadan akan sepi tanpa sms dan usikan anak saya Al...yg selalunya hampir setiap hari di bulan Ramadan rajin bertanya tentang juadah berbuka, bertanya mama masak apa. Bersahur apa dan pukul berapa. Tidak ada lagi yang rajin berpesan agar saya mengingatkan dan mengajak dia berpuasa sunat setiap isnin dan khamis. Mengingatkan dia tentang puasa sunat Muharram, Rejab dan Syaaban. Pastinya tidak juga ketinggalan berpuasa enam.

Anak yatim  piatu itu telah pun menuruti jejak ayah dan ibunya 49 hari yang lalu. Rindu dikalbu hanya Allah yang tahu.

Semoga roh-roh yang saya kasihi tenang bersemadi dalam kasih dan redha Illahi. Al-Fatehah...



Isnin, Julai 18, 2011

Memaafkan dan sedia melupakan?

Saya sedikit teruja apabila membaca status seseorang di fb. "Sakit hati... tapi tetap menjadi positive dengan memaafkan..."

Pada dasarnya, saya seorang yang lembut hati dan mudah memaafkan. Seumur hidup saya, saya tidak pernah marah atau mendendami sesiapa. Apatah lagi membenci. Semua itu tiada dalam kamus hidup saya. Tidak kira walau apapun dan berapa pun harga yang harus saya bayar atas kelukaan dan kesakitan yang dilemparkan kepada saya. Namun satu peristiwa yang berlaku tiga tahun yang lalu agak menggugat kelembutan hati saya. Penghinaan daripada seseorang yang 'dekat' yang selama ini saya menghormatinya, bahkan sering membela dia daripada sindiran dan tohmahan keluarga benar-benar membuat saya rasa betapa rendahnya nilai diri saya di matanya. Meskipun dia telah memohon maaf namun rasa sakit dan terluka itu sentiasa tenggelam timbul. Tidak pernah hilang. Saya telah cuba untuk memaafkan dia.

Ya... saya telah memaafkan dia. Tapi maaf juga kerana saya masih belum dapat melupakan setiap patah kata-kata yang pernah dilemparkan kepada saya. Barangkali saya mampu memaafkan dia tapi ternyata memaafkan itu bukan jaminan untuk melupakan sakit yang ditinggalkan akibat kata-kata dan perbuatan yang amat mengguris hati. Saya tidak benci dia. Tapi saya tidak mampu menipu hati saya dengan bermuka-muka dan berpura-pura mesra. Buat pertama kalinya, seseorang telah berjaya menjadikan saya seorang wanita yang kejam. Tahniah untuk anda Puan A! Saya telah memaafkan anda...tapi saya belum dapat melupakan wajah marah menggila anda dengan tubuh menggigil memarahi saya seperti orang sedang kerasukan! Kata-kata anda penuh penghinaan. Saya tidak menyangka ke tahap itu anda menilai saya. Saya tahu saya tidak punya apa-apa. Tidak seperti anda yang mempunyai segala kesenangan dunia. Tidak! Saya bukan seperti apa yang awak kata atau sangkakan. Awak silap menilai saya. Memang kita pernah rapat dan pernah saling  berkongsi cerita suka dan duka. Tapi keakraban itu mungkin tidak akan berulang lagi kerana sehingga hari ini hati saya masih terluka. Demi ikatan keluarga, saya tetap akan tersenyum dan bermanis muka. Namun segalanya tidak akan sama seperti dulu. Tidak akan!

Catitan: Ini bukan dendam. Luka terlalu dalam. Bukan mudah bagi saya.  Memaafkan bukan bererti melupakan. Saya masih belum bersedia untuk 'melepaskan'...

Ahad, Julai 10, 2011

Alhamdulillah...

Terima kasih Ya Allah... Ianya tidaklah seteruk yang saya bayangkan. Saya inginkan keamanan di sini berkekalan...Izinkanlah Ya Rahim... Amin.

Jumaat, Julai 08, 2011

Isnin, Julai 04, 2011

Selamatkah anak-anak kita?

Anak-anak Kita

Anak-anak kitakah yang berlari telanjang
di bawah mentari sumbing
sambil bernyanyi lagu
ketakutan hari-hari ini

Anak-anak kitakah yang memikul beban
kesilapan kita
hingga dia tak kenal
budaya canggung bangsa sendiri

Selamatkan anak kita dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita orde baru politikus usang

Anak-anak kitakah yang bermain
di hutan belukar
dengan senapang kayu ubi cambah
tak kenal bahaya

Anak-anak kitakah yang tak tahu nak pulang
bila petang
kerana terlalu sibuk main lastik
dan berpistol-pistolan

Jaga-jaga anak kita jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita, kita ini orang merdeka

Panggillah mereka pulang
ayah nak ajar tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan sendiri lagi

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi

Fikir...
Selamatkah kita di tangan tukang karut itu?
Fikir...
Selamatkah kita di tangan dalang wayang itu?
Fikir...
Selamatkah kita di tangan ahli koporat itu?
Fikir...
Selamatkah kita di tangan doktor jiwa itu?
Fikir...
Selamatkah kita di tangan pakar kitab itu?
Fikir...
Selamatkah kita di tangan Tuhan-Tuhan itu?

Lagu: M.Nasir
Lirik: Loloq

Sabtu, Julai 02, 2011

Luka...

"I've learned that good-byes will always hurt, pictures will never replace having been there, memories good and bad will bring tears, and words can never replace feelings.”

Selasa, Jun 07, 2011

... .....

Anakku...
Banyak yang bermain di fikiran ini. Banyak yang ingin dituliskan bagi mengingati kamu. Tapi maafkan.. belum ada kata-kata dan ayat yang sesuai yang menjelma disebalik kesedihan dan kepiluan yang menitiskan airmata tanpa sedar sejak pemergianmu. Maafkan! Namun suatu waktu pasti ada catatan rindu buatmu. Pusara yang masih merah, basah dan sunyi...damailah anakku bersemadi.

Isnin, Jun 06, 2011

Perpisahan...

Perbezaan antara perpisahan jarak dan kematian? Berpisah jarak masih boleh saling menghubungi. Saling ber emel, ber ym, saling menelefon dan bersms. Terpisah oleh kematian? Mereka akan terus hilang dari mata kita. Tidak lagi mendengar suaranya. Walau satu dunia kita cuba mencari, mustahil akan kita temui. Tiada jasad tiada bayang. Tiada emel tiada ym tiada sms. Yang ada cuma komunikasi sehala. Doa-doa kita untuk mereka. Kerinduan? Tiada apa yang dapat mengapuskan kecuali masa yang 'mungkin' mampu menyembuhkannya...

Catitan: Satu demi satu insan yang saya sayangi sudah dijemput Illahi. Saya harus melalui dan menerima dengan tabah hati sehingga tiba giliran ajal menjemput saya pergi...

Sabtu, Mei 21, 2011

Pilu vs terharu

Dalam sendu saya meratapi nasib anak-anak yatim Madrasah Al-Taqwa...setelah beberapa hari anak ini menyepi, tiba-tiba saya menerima sms ini:

10:30 PM:   Mama..ira syg mama..

10:50 PM:   Eheh tiba2 aja nak? Mama pun syg Ira. Syg sgt mcm anak mama sendiri :)

10:56 PM:  Xde..ira terharu ngan budak2 yatim piatu yg jd mangsa landslide tu..diorg mmg dh xde mak                                 bpk..siape nak tangisi diorg?

11:01 PM:   Kita Ira. Org2 spt kita yg masih tebal rasa kasih dan kasihan. Mama pun menitiskan airmata utk mereka. Mama bygkn mrk anak2 mama, cucu2 mama. Hancur jiwa jika ia tjadi pada kita.

11:05:   Betul ma..ira rasa x best n sedih sbb ira xdpt sumbang bantuan tuk tlg diorg. Ade team medikal dr osptal ira pegi standby n bawak satu mangsa ke hkj

11:34   Takpe nak. Bkn rezki Ira utk membantu mereka kali ini. Yg penting doa kita utk mrk.

11:24 PM:   Tq mama..

11:25:   Sama2 anakku.

Catitan:   Saya merindui anak-anak saya yang lain juga...adakah mereka juga merindui saya?

Jumaat, Disember 03, 2010

Sebesar Manakah Kasih Sayang Kita?


Ada sahabat yang bertanya kepada saya..banyak atau besar sangatkah kasih sayang dalam hati saya sehingga saya mampu menyayangi dan mengasihi ramai insan dalam kehidupan saya? Saya bertanya semula kepada dia, susah sangatkah untuk kita menyayangi dan menumpahkan kasih kepada seseorang? Terlalu mahalkah harganya untuk mengasihi seseorang? Apakah memerlukan ribuan atau jutaan ringgit untuk menjatuhkan kasih kita kepada seseorang yang juga mengasihi kita? Adakah kasih sayang itu hanya layak buat keluarga kandung sahaja? Berhak untuk manusia berlawanan jantina sahaja? Untuk kekasih kepada kekasih sahaja? Bukankah kasih sayang Allah itu sendiri sudah cukup besar. Sekelumit kasih sayang yang dipinjamkanNya kepada kita itu memang amat cukup dan luas untuk kita berkongsi sesama manusia.

Saya tidak memberikan 'kasih' saya kepada sebarangan orang. Saya hanya memberikannya kepada yang sudi memberi dan menerima. Saya akan membalas kasih sayang mereka setara bahkan lebih daripada apa yg telah mereka memberikan kepada saya. Kasih sayang membuat saya rasa bahagia. Mereka datang kepada saya kerana kasih sayang, bukan kerana wang. Saya bukan orang senang, jauh daripada kaya. Kehidupan saya cuma seadanya dan cukup makan. Sedangkan mereka? Latar kehidupan  mereka jauh lebih tinggi daripada saya!

Hairan! Aku pelik dengan kau! Saya menjawab: Apa yang hendak dihairankan atau dipelikkan wahai sahabat? Ini soal hati dan perasaan. Kalau kamu bertanya mengapa mereka menyayangi saya...saya tiada jawapannya. Jawapan itu ada pada mereka. Tetapi jika  kamu bertanya kepada saya, mengapa saya menyayangi mereka, jawapan itu memang ada. Kerana mereka menyayangi saya! Bila mereka tulus memberi, saya akan tulus menerima serta memberi semula dengan keikhlasan yang serupa.

Mereka adalah adik-adik dan anak-anak yang saya sayangi. Jauh atau dekat, saya tidak pernah membezakan kasih sayang saya terhadap mereka. Setiap seorang daripada mereka mempunyai tempat yang istimewa di hati saya. Jika diibaratkan hati saya ini sebuah rumah, maka setiap daripada mereka memiliki bilik mereka sendiri, lengkap dengan perhiasan dan dekorasi sebagaimana yang mereka inginkan!

Saya dan mereka tidak pernah membabitkan hubungan jiwa kami dengan material. Hubungan kami adalah berteraskan kejujuran dan kasih sayang. Itulah yang mendekatkan kami. Tiada sebarang agenda tersembunyi.

Kepada mereka yang dekat tetapi merasakan dirinya jauh daripada saya, jangan salahkan saya. Saya ada di sini untuk kalian. Sentiasa ada. Malangnya kalian tidak melihat saya. Tidak meneliti saya pada sisi yang betul. Kalian hanya mengenali saya menerusi anggapan-anggapan dan cakap-cakap orang. Kalian tidak mahu mendekati saya, memandang saya dengan mata hati kalian. Kalian hanya berpegang kepada andaian rapuh orang jauh. Saya tidak meminta terima kasih atau pujian daripada kalian. Cuma...belajarlah untuk melihat kebenaran. Putihkan hati dan berhenti daripada menyimpan prasangka. Kalian tidak akan dapat melihat kejernihan air yang kalian sangka keruh lantaran hanya melihat dari jauh!

Jumaat, Julai 17, 2009

Alhamdulillah...

Alhamdulillah! Saat kritikal Mikail sudah berakhir. Tadi petang dia dibenarkan keluar wad. Dalam perjalanan pulang, anak saya singgah sebelum pulang ke rumah mertuanya. Saya tatang dan saya cium Mikial sepuas-puasnya. "Mikail buat uwan cemas, tau tak? Jangan buat uwan macm ni lagi tau?" Saya tatap wajah Mikail yang sedang tidur dengan amat nyenyak sekali. Aduhai...adakah kebimbangan saya keterlaluan? Hehehe saya pun tak tahu. Saya cuma bersikap sebagai seorang nenek yang pastinya amat bimbang kehilangan cucunya. Rasanya semua nenek akan menunjukkan getar cemas yang sama seperti saya.Lagi pula setelah kehilangan demi kehilangan yang saya lalui tahun ini agak mempercepatkan fikiran yang bukan-bukan tu datang.Takut pada kehilangan.


Saya belek-belek jari jemari Mikail yang kurus panjang. Belakang tangannya dipenuhi dengan bekas-bekas jarum. Begitu juga dengan kakinya. Kesian cucu uwan. Baru je menjenguk dunia dah diuji begini rupa. Takpe cu...cucu uwan kan kuat? Tadi bonda Mikail cerita kat uwan, baby-baby kat wad tu tak habis-habis melalak tapi Mikail senyap je. Siap pula mengereng tidur penuh aksi. Hebat kan cucu uwan ni? Dan uwan sentiasa berdoa cucu uwan akan menjadi insan hebat suaru hari nanti, sesuai dengan nama yang bapamu berikan.


Nota: Selepas 12 tahun...mendukung dan membelai bayi terasa begitu mengharukan. Perasaan yang sama ketika saya membelai Ajib 12 tahun yang lalu. Rasa kasih dan nikmat menyayangi itu terasa amat mendalam sekali.Amat indah! :D


Selasa, Julai 14, 2009

Ya Allah...sembuhkanlah cucuku...

Selepas asar tadi ketenangan saya agak terduga dengan sms anak saya..."Maksu, Mikail kat gh ni.Demam kuningnya tinggi. Tadi ambik darah bacaan 451...normal 187 je..skrg dia amik darah lagi...nak kompemkan..." Saya balas smsnya minta dia bersabar sebab demam kuning pada saya adalah perkara biasa bagi bayi. Tapi bacaan yang tinggi itu agak membimbangkan saya. Namun saya tidak mahu berkata sesuatu yang akan lebih mengkucarkacirkan fikiran anak menantu saya yang baru seminggu menimang cahaya mata mereka.

Seketika kemudian saya menerima sms lagi, "Baby kena masuk wad..kot kuning x turun jugak bwh 300,kena tukar darah". Saya balas supaya dia bersabar, insyaallah Mikail tak apa-apa. Dia membalas "Abg ngan srie..wad kat tingkat 5..nanti papehal abg msg."
Saya membalas dan berpesan kepadanya kalau ada apa-apa segera bagitau saya.

Pukul 7:37 menyusul 1 lagi sms, "Dah check 2 kali darah,masih tinggi..kali ke 3 ni kot tinggi jugak, pukul 10 kena tukar darah jugak..risiko anak mungkin terencat atau mati klu x buat.." Saya terdiam kemudian membalas "Sabarlah. M.ngah kau kata abg rafi kau masa lahir dulu pun camtu. Kena buh 2 lampu. Patutnya tukar darah gak tp tak jadi sbb pastu demam kuning dia turun. Doa byk2 insyaAllah Mikail akn baik2 je nnt"

Saya dapat mengesan kebimbangan pada diri anak saya itu. Baru seminggu berada dalam pelukan sekarang diberikan dugaan. Selepas solat maghrib dan isyak saya berdoa semoga Allah menyembuhkan cucu saya. Saya berdoa bersungguh-sungguh dengan cucuran airmata. Saya meminta Allah kuatkan hati dan jiwa anak menantu saya. Meminta belas dan kasih Allah untuk kesembuhan cucu saya. Saya bernazar sekiranya cucu saya sembuh, saya akan berpuasa 3 hari berturut-turut tanda syukur dan terima kasih saya. Cucuku Mikail...bertahanlah sayang. Anak menantuku...bersabarlah menempuh dugaan ini. Kalian telah menempuhi pelbagai dugaan getir sebelum ni...jadi untuk kali ini teruslah berdoa, bersabar dan pasrah. Allah tidak akan menguji hambaNya dengan dugaan yang tak mampu dilalui oleh mereka. Tabahkanlah hatimu anak-anakku!

Ketika hendak publishkan entri ini, saya sms anak saya,"Apa perkembangan Mikail bang?"

"Xtau lagi, dari 451 dah naik 480 pulak..mcm kompem tuka darah je.."

Saya terkedu..."Allahuakbar! Sabar bang...Allah sdg menguji kita..Sama2 kita berdoa."

Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika ini...



Ya Allah...hanya Engkau yang mengetahui segala rahsia yang tersembunyi pada setiap dugaan yang Engkau berikan.Selamatkan cucu saya Ya Allah...Selamatkanlah...Amin Ya Rabbul Alamin...



Isnin, Jun 22, 2009

Mendaki lagi 1 tangga...
semakin jauh meninggalkan dunia...
kian dekat menuju mati...
Banyak ucapan...tapi maaf! Krdt saya xpired hari ini. Terima kasih pada ucapan selamat daripada kalian. Semoga kita sentiasa berada di dalam keberkatan dan kasih-sayang Illahi.

Selasa, Mac 03, 2009

Salam Silaturrahim...

Terlalu lama blog ini terbiar seiring dgn terbiarnya hati dan perasan penulis...Eceh! Masa terlalu pantas berlari dan aku yg semakin tua ini adakalanya rasa tidak terhambat untuk bergerak seiringan dengan waktu. Namun aku berusaha untuk menjalani kehidupan sebaik yg mampu. Walau terhambat oleh masa...terhambat oleh dosa...terhambat oleh kerja...terhambat oleh segala macam kekalutan dan dugaan...namun aku tetap bersyukur kerana aku masih mampu meneruskan kehidupan dengan tenang dan penuh redha. Terima kasih untuk kesekian kalinya Ya Allah...kerana Engkau telah menjadikan aku sebagaimana aku. Aku bersyukur dapat melepasi setiap dugaanMu dgn sabar. Terima kasih hari demi hari Engkau telah mengajar aku betapa besar erti dan nikmat kesabaran.

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~