-->
Memaparkan catatan dengan label Tragedi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tragedi. Papar semua catatan

Rabu, Mei 25, 2011

Tinggal Kenangan...

Gambar kenangan kanak-kanak di Rumah Anak Yatim dan Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat sebelum kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 16 nyawa penghuninya. Betapa rasa kehilangan itu tidak akan mudah hilang. Mereka kehilangan hampir separuh daripada sahabat di dalam gambar ini. Kepada yang telah pergi, berbahagialah di alam sana. Kepada yang tinggal, simpan kenangan indah bersama teman-teman yang telah pergi...sematkan di hati. Disamping itu teruskanlah kehidupan dengan tabah. Insyallah...masa akan mampu mengubati segala kesedihan dan keperitan trauma yang anak-anak hadapi. Semoga kehidupan anak-anak semua sentiasa dalam kasih-sayang, keberkatan dan redha Allah SWT. Amin.

Ahad, Mei 22, 2011

16 Mangsa tanah runtuh selamat dikebumikan...

Tujuh daripada 16 mangsa tanah runtuh selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding di sini kira-kira pukul l 3.20 petang tadi. Jenazah tujuh mangsa terlebih dahulu disembahyangkan di Masjid Sultan Hishammudin Alam Shah, Batu 14, selepas solat Zohor. Suasana di pekarangan tanah perkuburan diselubungi perasaan pilu dan hiba.

Selain ahli keluarga terdekat, turut memenuhi tanah perkuburan adalah penduduk tempatan dan pemimpin parti politik.

Mereka yang dikebumikan bersama ialah Dzahir Haziq M. Muin, 17, Mohd Hazim Sapri, Mohd Azrel Azahari, 8; Wan Ahmad Hasril Hazim, 19; Mohd Mustakim Mamat, 12, Mohd Zaim Azahawi, 14, dan Mohd Imal Fahad, 9.

Sembilan lagi mangsa yang terbunuh sudah dituntut keluarga untuk dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam, seramai 25 orang yang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim tertimbus.

Sumber: http://www.kl-today.com

Catitan: Syurgalah tempatmu anak-anakku...

Sabtu, Mei 21, 2011

Tragedi tanah runtuh yang memilukan

KAJANG 21 Mei – Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini hari ini.

Setakat pukul 7 petang ini, tiga mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala tujuh lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa, kata polis.

Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.

“Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja. Kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.

Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang kesemua penghuni rumah anak yatim itu berada di dewan serbaguna untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang ini.

Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus dewan serbaguna yang terletak di lereng bukit itu menyebabkan bangunan setingkat itu musnah sama sekali. Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri,” kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang.

Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata sehingga pukul 7 petang ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat. - Bernama

Setakat ini berita terkini melaporkan 5 anak yatim meninggal dunia manakala 12 lagi masih tertimbus sementara 7 orang berjaya diselamatkan.

Catitan: Pilu hati saya namun saya amat pasti ada kehidupan yang jauh lebih baik untuk mereka menanti di alam sana. Al- Fatehah untuk anak-anak yang terkorban. Allah menyayangi kalian. Untuk yang selamat, bersyukurlah...teruskan kehidupan dengan tabah...setiap peristiwa penuh dengan hikmah.

Jumaat, Mei 13, 2011

Mengenang 13 Mei...

Mengenang dan mengingati bukan bererti harus diulangi. Cukuplah sekali!Jangan sekali-kali isu perkauman dibangkitkan kembali. Jadikanlah perisitiwa berdarah ini sebagai ikhtibar untuk saling bertolak-ansur. Jangan sekali-kali ditanak rasa benci di hati. Tinggallah damai di bumi bertuah ini.

Setelah sekian lama kita hidup sejahtera...mengapa perlu mengundang sengketa? Bumi Tuhan ini begitu luas untuk kita berkongsi bersama. Apa salahnya kita amalkan budaya dan agama kita masing-masing tanpa sentimen yang menyinggung hati sesiapa. Bukankah Malaysia ini negara kita bersama? Tidak kira dari mana atau apapun asal keturunan kita...jika jiwa anda jiwa Malaysia, jika anda bangga mengaku anak Malaysia, maka bangsa kita adalah bangsa Malaysia! Jadi bersatulah dan suburkanlah pohon  harmoni di dalamnya,

Catitan: Saya tidak rela sejarah hitam berulang semula...
.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~