-->

Selasa, Ogos 22, 2006

22 Ogos 2006

Ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir di depan mataku... dan... kehidupanku seperti terhenti di situ... detik itu...di belakangku gelap... di depanku buntu... di kiriku senyap... di kananku pilu... Bagaimanakah aku harus meneruskan kehidupanku tanpamu ibu? Seumur hidupmu, ibulah kekuatanku...semangatku...cahaya hidupku. Aku sanggup lalui apa saja selagi ibu ada disisiku. Permata hatiku sudah pergi... aku kehilangan tongkat untuk berdiri. Ibuku.... aku amat merinduimu... Tuhanku... bantulah aku...



Photobucket

Isnin, Julai 17, 2006

July 17, 2006

Ermmm...lama juga aku tak menulis di sini.Banyak sungguh rintangan saikology dan juga emosi.Cuaca macam ni badan asyik tak sihat aja.Malam tadi hujan berterusan hingga ke pagi.Aku tak dapat lelapkan mata.Juga tak mampu berfikir apa-apa.Tiba-tiba aku merindui bapakku. Aku amat merinduinya.Tapi mengapa aku tak mampu menulis puisi untuknya seperti dulu.Arwah bapak yang amat aku kasihi.



PESAN AYAH

Sudah tigabelas tahun

yang lewat cuma waktu

yang tinggal haru dan rindu

namun kata-kata keramat itu

harum melekat dibenakku



Pesan ayah jika memilih cerdik

ambillah yang bijaksana

kerana cerdik banyak perkara cerdik

cerdik buruk pun cerdik juga



Pesannya lagi

usah terlalu mencari muka

sekadar puji dan puja berapa sangatlah harganya

sekadar batu duga

tipu semu manusia



Ujar ayah

jangan sekali-kali

dan sekali lagi

jangan

sekali-kali menjadikan dirimu

buah mimpi serta bunga bibir setiap lelaki

di situlah bergantungan duri

sarang segala fitnah dan keji



Bicaranya lagi

usah hanya duduk meningkap

turunlah melihat jangan hanya bermakrifat

belajarlah mengukur mata dengan telinga

kerana bisik-bisik dusta tidak akan mengizinkan kita

merdeka dalam acuan mulia



Pesanannya yang terakhir

mulakanlah menetak meramu rumah akhirat

duduklah tenang bersama pisau

wali di tangan

meraut mengukirlah penuh cermat

transit di sini tidak lama

cukuplah sederhana sahaja molek rumahnya

di sana untuk tinggal selamanya

eloklah kita membina istana

indah dan kukuh tiang serinya



Aku tidak pernah ragu kebenaran kata-kata itu

kerana sejak dulu sudah ku tahu

aku adalah acuan sepatu ayahku!



Al-Fatehah untukmu bapakku...

Sabtu, Julai 08, 2006

July 08, 2006

Alam kanak-kanak yang bervariasi masih kurindui hingga ke saat ini. Bermain kejar-kejar dengan kawan-kawan, bermain polis sentri, baling botol, galah adang,bermain getah bulat, konda-kondi, rounders. Aku paling seronok bila bermain batu simbang (seremban) sebab aku memang terer dalam permainan itu. Paling syok bila dapat 'mendera' teman-teman sepermainan yang terpaksa menunggu lama ketika aku bermain. Aku akan bermain sehingga beratus-ratus markahku, sehingga teman-temanku menguap-nguap penat menunggu. Kadang-kadang aku terpaksa buat-buat 'mati' supaya mereka tidak bosan menanti giliran.Bermain laga biji getah pun seronok juga. Biji getah siapa yang pecah bila dilagakan, dialah yang kalah. Bila tiba musim permainan tu, jenuhlah kami jelajah setiap batang pokok getah untuk mencari biji-biji getah tu. Maka bertempurung tempurunglah biji getah tu kami bawa balik. Selain daripada melagakan biji getah tu, kami juga menggunakannya sebagai buah dalam permainan congkak.Aku masih mampu tersenyum apabila terbayang gelang-gelang getah yang penuh melingkari lengan kami apabila menang bermain getah. Gembiranya melebihi memiliki gelang emas. Siapa yang paling banyak getah di lengan, dialah yang terer. Malah bagi yang menang banyak getah, mereka akan menyusun dan merangkai getah itu panjang-panjang dengan kiraan 5,5 bahkan ada yg 10,10 dijadikan seperti tali dan di sandangkan ke bahu. Eksyenlah tu! :P Bagi yang kalah pula, ada yang sampai merajuk dan marah-marah dan menuduh kami yang menang ni pengelat,cheating, penipu. Maka berhari-harilah kami akan bermasam muka dan tak bertegur sapa.Tetapi selalunya setelah beberapa hari kami akan berbaik semula. Dan aku masih ingat betapa meriahnya bila musim buah cenderai tiba.Ketika abang-abangku sibuk membuat senapang buluh, aku akan meminta mereka membuatkan satu untukku. Tentu saja senapang milikku tidak sehebat senapang mereka yang dibuat dengan penuh teliti. Pada musim itulah setiap kali hendak keluar rumah, emak akan mengingatkan kami supaya memakai baju 'buruk' kerana nanti tentunya kami akan menjadi mangsa 'tembakan' menggila daripada peluru 'buah cenderai' teman-teman kami yang gila berperang. Getah cenderai tu pula kalau dah lekat ke baju memang takkan hilang. baju 'buruk' kami akan bertambah buruklah jadinya. Semakin comot, semakin perang. Tetapi itulah uniform rasmi yang mesti kami pakai sebelum pergi 'berperang'. Dulu waktu aku kecil, pakaianku selalunya mak sendiri yang jahit. Kami tak mampu membeli pakaian yang sudah siap dikedai. Daripada baju hinggalah ke seluar dalamku emak yang jahit, selalunya daripada kain jenis murah.Aku tak peduli tentang itu semua, yang penting aku ada pakaian untuk di pakai. Walaupun tak banyak, cuma beberapa helai yang akan dibasuh tiap hari dan pakaian yang sama akan kupakai pada tiga hari berikutnya.Maksudnya jika pakaian itu tidak dibasuh, hanya cukup untuk dipakai ganti selama tiga hari. Sebelum ini aku dan keluarga tinggal di Pahang.Di Balai Polis Lurah Bilut, Bentong Pahang. Kakak sulung dan Bang Lang tinggal di kampung dengan nenek kami yang cacat penglihatan. Manakala aku dan lima orang lagi abangku tinggal di berek polis bersama mak dan bapak. Banyak juga kenangan yang masih kuingat ketika di sana walaupun sudah berpuluh tahun lamanya. Aku akrab dengan seorang budak lelaki jiranku yang sebaya denganku. Aku dah lupa namanya tetapi kami memanggilnya "Pui'. Tadi aku cuba mencari gambar 'persandingan' kami yang dirakamkan oleh ayahnya, pakcik Din ketika kami berumur lima tahun. Pui siap bertanjak manakala akupula dengan baju senteng nampak pehahehehe.Aku tak jumpa gambar tu. Semakin hari aku semakin pelupa. Nantilah aku cari semula :)

Jumaat, Julai 07, 2006

July 07, 2006

Akhirnya sampai juga aku ke sini.Namun untuk memulakan satu catatan yang belum tahu di mana penyudahnya bukanlah satu kerja mudah. Terlalu sukar untuk mengingati dan menyingkap kembali waktu-waktu di mana segala keinginan menggebu-gebu, cita-cita bagaikan pohon rendang yang sentiasa subur.Impian masa depan seorang anak bongsu yang menyangkakan kehidupan ini menjanjikan segala harapan indah yang akan mampu digapai dengan mudah.Impian yang terlalu tulus,ingin menjadi 'seseorang'bagi menghapuskan segala rasa rendah diri yang mengekori tiap lengkahnya sejak lahir.Dan impian ituhampir pupus bagaikan debu di angkut puing entah ke mana. Bahagia singgah dimana-mana tetapi bagaikan sengaja menghindar daripada hadir dalam hidupnya. Rasanya melalui segala sengsara itu lebih mudah daripada mengungkapkannya semula.

Khamis, Jun 22, 2006

Heppy Besday To Me :)

Hari ini hari lahirku. Namun nampaknya pada tahun ini tiada siapa yang mengingatinya. Pun begitu aku tidak sedih atau kecil hati.Memang pun tiap hari lahir yang berlalu dalam hidupku sejak kecil, hanyalah rutin tahunan yang tidak banyak mempengaruhi emosiku. Bagiku tiap kali tiba tarikh ini, ia hanyalah satu peringatan untuk aku terus menjadi insan yang penuh ihsan.Mengingati usia yang sedang berpacu.Menjadi lebih baik dari semalam, menjadi lebih menerima dan memaafkan.Setengah hari berlalu dengan rutin biasa sehinggalah smsku berbunyipada pukul 12.50 tghari. "Smoga iman, kasih sayang dan budi mengalir jernih. Slmt hari lahir kakak. Salam kasih slamanya. -mawar- Hatiku tersentuh. Itulah satu-satunya ucapan harilahirku utk tahun ini.Adikku yang hampir sepuluh tahun terputus hubungan menjadi insan tunggal mengingati hari kelahiranku. Terima kasih mawar. Seperti kuntuman mawar, namamu benar-benar mencerminkan peribadi dan ketulusanmu.

Isnin, Mei 08, 2006

Ahad 8 Mei, 2006

Semalam Dino, Abai dan Mishaal datang dgn apak diorg. Dino macam biasa dgn senyuman selambanya salam dan cium aku. Abai lak dgn lagak manjanya macam selalu juga, peluk cium aku. Kepit aku kekuat sambil tersengih. Mishaal biasalah, dgn gigi 4 btg belah atas & 4 btg bawah dia menyerigai sambil mengelinjang dalam dukungan apaknya bila nampak aku. Masa tu abang datang 4 beranak aja sbb isteri dia keje petang. Kebetulan masa mereka sampai aku baru aja selesai berkemas setelah dapur aku berkecah untuk menyiapkan resepi rendang ayam permintaan anak bujangku si Zairy. Sebab aku cuma merendang ayam 3 ekor jadi zairy seorang aja dah memadai mengacau kuali. Kebetulan abg Raoff ada, dia jugak bantu mengacau kuali. Mak aku mcm biasa... mem yang hanya memberi arahan. Hehehe. Emak sebenarnya tak sihat sangat. Jadi kalau dia ada tercuat duduk dengan wajah berseri memberi arahan dan panduan, aku sudah cukup bahagia. Tetapi yang ingin aku ceritakan bkn tentang rendang ayam tapi tentang Abai (Jibril Iqbal). Dia duduk membelek-belek tangan dan jari aku. Di tengoknya jari aku kuning-kuning dek kunyit . Pastu hitam-hitam sikit sebab sebelumnya aku basuh kuali. Dia menawarkan diri... "Maksu, abai potong & bersihkan kuku maksu ya?" Aku angguk. Dia dengan senyum dan wajah berseri mengambil ketip kuku. Zairy memberi kertas suratkhabar sebagai alas. Abai mula memotong kuku ku dengan cermat. Sambil dia memotong kuku jariku satu persatu dengan cermat, aku perhatikan wajahnya yg tekun menangani kukuku. Ku usap pipi dan rambutnya yang tegak mencacang remosnya. Tulus benar wajahnya anak saudaraku yg baru saja 9 thn usianya. Hatiku tersentuh untuk kesekian kalinya.

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~