Ceritanya begini:
Setelah beberapa ketika dalam pelayaran tersebut semua menteri telah tertidur.
Para pendayung yang melihat hal tersebut merasa jengkel lalu merungut sesama mereka.
"Tidur aje. Bukannya nak tolong dayung sama-sama." kata salah seorang daripada mereka.
Raja mendengar sungutan tersebut. Seketika kemudian, baginda memanggil pendayung yang merungut itu dan berkata:
"Beta dengar ada bunyi bising di tebing situ. Cuba kamu periksa." titah raja.
Si pendayung segera naik ke tebing untuk menyiasat. Seketika kemudian dia kembali dan memberitahu raja:
"Ada anak anjing, tuanku."
"Berapa ekor anak anjing itu?" tanya raja.
Si pendayung terpaksa naik ke tebing semula dan tidak lama kemudian dia kembali mengadap raja:
"Ada empat ekor, tuanku."
"Berapa ekor jantan dan berapa ekor betina?" tanya raja lagi.
Sekali lagi si pendayung terpaksa naik ke tebing.
"Dua ekor jantan dan dua ekor betina, tuanku." dia memberitahu raja sambil menahan lelah.
Raja mengejutkan salah seorang menteri dan bertitah:
"Ada bunyi bising di tebing tu. Pergilah siasat."
Menteri tersebut naik ke darat dan tidak lama kemudian beliau kembali.
"Beritahu beta apa yang kamu lihat?" raja bertitah.
"Patik dapati ada empat ekor anak anjing. Dua ekor jantan dan dua ekor betina. Patik cuba tinjau jika ada induknya di sekitar namun tiada. Pada pendapat patik anak-anak anjing tersebut bukan berasal dari situ sebaliknya ditinggalkan orang di situ. Itulah sebabnya mereka membuat bising kerana kehilangan induk dan juga lapar."
Raja berpaling kepada para pendayung. Baginda tersenyum sambil bertitah:
"......"
Demang tamatkan cerita ini begitu sahaja sebab Demang percaya anda tentu dapat mengagak apakah yang dititahkan raja tersebut.
Artikel menarik ini saya salin tampal dari: http://www.waadat.com/