-->

Isnin, Februari 20, 2012

Ikan bilis goreng campur petai dan bawang besar...

Hari ini kakak saya berpuasa sunat. Saya? Saya masih cuti hehehe. Kakak pula tidak berapa sihat kebelakangan ini. Selesai menonton cerita hindustan bersiri kegemarannya yang saya tak ambil tau langsung akan tajuknya, kakak melintasi mejatulis saya.
"Mata ni mengantuk aja," katanya.
"Kakngah ngantuk, tidurlah. Tak payahlah susah-susah nak masak." ujar saya.
"Kau nak makan?"
"Alaaa jangan risau, adik nak makan nanti pandailah adik masak. Adik ingat nak masak ikan bilis goreng dengan petai, cili api dan bawang. Tak apa, nanti adik masak."

Kakak masuk ke biliknya.

Adik? Hahaha. Saya anak bongsu dalam keluarga seramai tujuh beradik. Kakak saya yang sulung. Tengah-tengah semua lelaki. Dari kecil saya dipanggil adik bukan saya oleh keluarga malahan seluruh penduduk kampung juga. Bahkan mereka yang berusia lebih muda daripada saya memanggil saya 'Akak adik" :p Panggilan itu kekal sehingga ke tua ;)

Sekejap saja. Tak sampai setengah jam kakak keluar dari biliknya terus ke dapur. Mesti dia tak boleh tidur. Mengantuk tapi mata tak mahu lelap. Itulah yang selalu dikatakan pada saya.

Saya mendengar kakak memasak. Sekejap saja semua sudah siap. Dia keluar duduk mengadap TV sambil memegang buku panduan haji dan umrahnya.

Setengah jam kemudian saya ke dapur membasuh cawan kopi saya. Saya intai periuk, ada kari ikan merah campur terung. Saya singkap tudung saji. Wallaaaa....ikan bilis goreng dengan petai dan hirisan bawang besar yang banyak. Saya rasa nak berlari keluar memeluk kakak saya yang begitu cekap dan pantas memasakkannya untuk saya. Tapi saya kontrol ayu. Ahaks. Saya terus capai pinggan lalu duduk makan dengan tekun dan amat berselera sekali.

Ketika menemankan kakak berbuka puasa, saya sempat mengucapkan terima kasih kepadanya. Setelah emak pergi, terasa kasih sayang kakak begitu dekat di hati.

Terima kasih Ya Allah kerana mendekatkan hati kami berdua yang dahulunya agak jauh berselingkuh salah sangka. Setiap peristiwa ada hikmahnya. Setelah emak pergi, disusuli abang ipar saya tiga tahun kemudian...baru terasa kasih sayang itu mendekat. Bukan bermakna dulu tak sayang cuma kami memang tidak rapat. Bukan saja kerana jarak usia. Sewaktu saya kecil kakak tinggal dengan arwah uwan di kampung. Saya pula membesar di Balai Polis Lurah Bilut, Bentong, Pahang yang terletak bersebelahan dengan Felda Lurah Bilut, iaitu tanah Felda yang pertama di teroka. Arwah bapa saya dahulu seorang polis.

Ketika saya berusia tujuh tahun iaitu baru duduk setahun dua di kampung setelah bapa mengambil pencen awal, kakak berkahwin kemudian mengikut suaminya ke Pahang.

Saya mula belajar untuk memahami dan bertolak ansur dengan kakak. Memang sikap dan perangai kami bertentangan. Kakak suka membebel tapi saya lebih suka diam. Kakak suka cakap lepas tapi saya jenis yang suka menyimpan dan menelan. Kakak cepat emosi tapi saya lebih cool...ececece. Tapi walau apapun sikap kakak, saya tahu dia seorang yang teramat baik hati. Kata-katanya kadang-kadang memang pedih tapi hatinya umpama bidadari.Saya menerima kakak apa adanya. Kita manusia bukan sempurna. Saya sendiri banyak kekurangan dan kelemahan. Cuma saya berharap kakak juga akan menerima saya seadanya. Saya insan yang serba tidak sempurna.


.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~