-->

Ahad, Julai 26, 2009

Balangsukawa Yasmin Ahmad


Suatu ketika dahulu saya tidak mengenali siapakah Yasmin Ahmad. Namun saya sering terkesima apabila melihat iklan-iklan hebat petronas di kaca TV. Saya tonton berulang-ulang. Iklannya terkadang lucu sinis dan mencuit hati. Adakalanya pula disulami hiba yang mampu mengundang airmata. Penuh simbolik namun mudah untuk dimengerti. Saya menganggap Yasmin Ahmad adalah seorang yang cukup sentimental dan penuh nostalgik orangnya. Menikmati karya-karyanya bagaikan menolak saya kembali kepada zaman kanak-kanak saya.Tidak kira samada dalam iklan mahupun filem-filemnya, Yasmin ahmad mempunyai identitinya tersendiri. Dia sudah berada jauh di hadapan menjadi pelopor masyarakat majmuk yang penuh setiakawan walaupun tanpa slogan 1 Malaysia.
Meskipun karyanya banyak menjemput pujian tidak kurang juga mengundang cemuhan namun dia terus rancak berkarya. Tidak ada apapun yang mampu menghalang segala idea yang mengalir daripada minda dan rasanya sehinggalah nafasnya terhenti. Walaupun tidak mengenalinya secara peribadi, saya adalah silent reader di blognya http://yasminthestoryteller.blogspot.com/ Memang ada juga antara tulisan dan pemikiran tertentu di dalam karyanya yang tidak sealiran dengan saya, namun ianya bukan penghalang bagi saya mengkagumi karya dan kecerdikan beliau. Perbezaan pandangan dan pendapat tidak semestinya bermusuhan!


Yasmin...Selamat kembali ke sisi Yang Abadi. Saya doakan rahmat dan kasih sayang Allah akan sentiasa menemani anda di alam sana. Amin.Semoga tenang bersemadi. Kami yang masih hidup ini pasti akan ke sana juga nanti. Al-Fatehah.

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~