-->

Selasa, Mei 19, 2009

Pulang...

Sesekali pulang...terlalu banyak kenangan...begitu banyak kehibaan. Halaman ini yg dahulunya sentiasa berseri, kian muram dgn daun-daun kering terdampar menutupi kehijauan rerumputan. Pohon-pohon segar di tangga kering kontang tanpa siapa yg sudi menyiram. Bunga-bunga di taman merajuk tanpa sentuhan. Walaupun hidup namun nampak tak bermaya. Pokok durian belanda kesayangan saya telah mula kekuningan daunnya. Kesemuanya mendambakan sentuhan.

Baru beberapa bulan saya tidak menetap di sini...halaman ini bagaikan mati. Betullah seperti dikatakan orang, rumah kalau lama tinggal akan kehilangan seri. Walaupun saya pulang seminggu sekali namun memang amat terbatas untuk membuat itu ini. Rumput, lalang riang menyubur. Pohon-pohon tumpang mengembang, pepohon asal menguncup tandus.

Jumaat.

Kalau diharapkan kudrat...sebanyak mana saja kudrat saya yang ada. Kudrat kakak? Lebih menyedihkan. Minggu ini sebaik saja sampai selepas zohor, saya tidak bertangguh lagi. Saya sirami pokok-pokok bunga di tangga sambil menyiram tangga batu yang dipenuhi tahi ayam serta hancing kencing kucing jiran tetangga yang tidak diundang. Selesai di situ saya terus menghayun penyapu dari dapur hingga ke tengah rumah hingga ke ruang depan menghapuskan debu-debu dan tahi cicak yang bertaburan di lantai, di karpet, di atas perabut. Pabila selesai, kaki saya terasa berat. Letih ya amat. Hendak mengemop lantai pun dah tak larat. Kakak suruh saya berhenti jangan buat semua kerja sekaligus.

Sabtu.

Selesai sarapan saya terus mencapai tangkai mop, mengisi pencuci lantai ke dalam baldi lalu terus beraksi lagi. Saya mop lantai ruang depan hingga ke bilik, ke ruang tengah terus ke dapur. Senang hati melihat lantai dah bersih dan tapak kaki saya tak hitam lagi apabila berjalan. Kakngah juga tak duduk diam. Dia mengelap kabinet dan sinki yang juga berhabuk.

Apabila sudah berpuas hati dengan keadaan di dalam rumah, saya menyarung seluar panjang kemudian mengangkat mesin rumput ke beranda. Saya isi petrol hingga ke paras leher tong minyaknya kemudian mencampurkan 3 penutup minyak engin seperti yg diajar oleh abang sepupu saya. Saya goncang2 sedikit untuk menyebatikan petrol dan minyak engin tersebut. Setelah itu saya memotong tali mesin rumput dalam panjang kira-kira sejengkal. Saya potong banyak-banyak supaya senang menggantikannya setelah tali itu pendek dan majal. Saya masukkan 2 utas tali di hujung mesin kemudian memasukkan beberapa utas lagi ke dalam poket. Saya sarungkan topi, sarungkan kasut getah kemudian dengan beberapa kali cubaan, engin mesin rumput saya hidup dengan gahnya ehehehe. Saya pikul mesin tersebut ke bahu saya...so apa lagi dengan gaya penuh anggun bergaya dan tetap ayu saya memulakan tugas saya :p

Mari saya ceritakan kepada anda pengalaman pertama saya menggunakan mesin rumput ini ;)
Mesin rumput ini dibeli oleh anak saudara saya beberapa tahun yang lalu. Sebelum ini saya mengupah orang setiap bulan atau 2 bulan sekali untuk membersihkan kawasan sekeliling rumah. Apabila sudah ada mesin rumput, anak-anak saudara sayalah bergilir ganti membersihkan rumput mengikut kelapangan masing-masing. Namun sejak akhir-akhir ini masing-masing terlalu sibuk dengan kerja. Makanya melihat rumput dan kemuncup yang begitu subur adalah kepantangan saya. Lebih-lebih lagi setiap laluan dipenuhi kemuncup sehingga saya terpaksa mengangkat kain sarung saya ke paras lutut. Seksi tu! Seksa mata melihatnya ehehehe.

Jadi...pada suatu hari yang cerah yang dicernakan oleh cuaca yang indah serta mood yang meriah, tergerak hati saya untuk mencuba mesin rumput yang mmg belum pernah saya sentuh ini. Mesin rumput tu pula seperti melambai-lambai saya supaya mendekatinya. Maka saya dengan penuh rasa ingin tahu, mengangkat mesin tersebut ke beranda...cuba menyetat enjinnya, terus berpusing talinya yg tinggal seinci. Saya matikan engin, masuk menukar unifom lalu penuh keterujaan saya pun mencuba menggunakan mesin tersebut untuk pertama kalinya.

Perasaan saya ketika tali-tali mesin itu mencantas gagah rumput-rumput di halaman amat teruja sekali. Ekeleh...takdelah berat sangat benda alah ni. Bukanlah susah sangat nak buat keje ni. Dengan penuh bersemangat saya belasah rumput-rumput di kawasan sebelah kanan rumah. Kemudian saya sambung pula di halaman sebelah kiri. Setelah itu saya cuba pula menyudahkan pada bahagian tengah. Alamak! Muahahaha... tercantas pulak pokok bunga keladi saya... Alapak! Terpotong pulak pokok senduduk purple saya... Alahai! Terbelasah pulak pokok durian belanda kesayangan saya. Padan muka! Saya ketawa dalam sebal. Selama ini saya selalu merungut apabila anak-anak buah saya tercantas pokok-pokok tersebut walaupun saya dah pesan supaya mereka berhati-hati... pokok-pokok tu maksu dah letak bata kat sekeliling dia, tengok elok-elok jangan main sungkit aja. Tapi kali ini aku sendiri terpotong pokok-pokok yang sedang subur tu huhuhuhu. Padan muka aku! Memanglah saya meradang tapikan saya kan belum pandai sangat nak agak-agak hala tali mesin ni. Bukan salah sayalah kan?
Hikhikhik.

Dah luas dah kawasan yang dah di mesin. Rehatlah sekejap. Haus. Saya tekan punat merah untuk mematikan engin. Sampai diberanda, saya turunkan mesin dari bahu saya.
Saya masuk ke rumah, capai botol air atas meja...tapi tangan saya menggigil. Saya tak mampu nak buka penutup botol sebab jari-jari saya menggigil dan kejang. Hidung pulak tetiba rasa gatal. Saya tak boleh angkat tangan saya untuk menggaru. Saya terpaksa sangga dan tolak siku kanan dengan lengan kiri barulah tangan kanan saya berupaya sampai ke hidung saya. Masa tu badan rasa ok lagi. Kebetulan dah tengahari jadi setelah kering peluh saya pun mandi. Selesai mandi dan solat zohor dan tentunya dah makan tengahari (saya lupa saya masak apa hari itu tapi pastinya hidangan ringkas saja sebab salah tinggal seorang diri).

Tau apa jadi?
Saya tidur pengsan sampai ke asar. Bila terjaga seluruh badan saya terasa sakit-sakit yang teramat sangat seperti kena rotan. Saya tak boleh bangun. Badan saya terasa berat seperti melekat di lantai. Dalam usia begini mungkin pekerjaan ini terlalu berat buat saya. Tau tak? 3 hari saya menderita kesakitan dan keletihan yang amat sangat. Mungkin kerana goncangan mesin tersebut yang mengejutkan otot-otot saya yang sudah terlalu manja. Tapi saya tak beritahu sesiapa. Bila abang saya telefon, saya kata saya sihat... alhamdulillah. Bila anak saya sms bertanya khabar, jawapan saya tetap sama... sihat alhamdulillah...usah risau :p

Itu kisah beberapa bulan lalu. Sambung semula kisah saya minggu lalu.

Hari Sabtu hari tu saya mesin rumput tak lama sebab anak kakak pulang anak beranak. Jadi tak seronoklah kan anak cucu datang kita buat tak tau pulak. Jadinya hari itu daripada tengahari dipenuhi dengan aktiviti makan tanpa henti, bermain dan menyakat cucu-cucu hingga ke petang.

Ahad.

Pagi-pagi lagi saya menyambung kerja saya yang terbengkalai. Saya memesin rumput di halaman hingga ke belakang rumah. Manakala kakak pula dalam pada sakit lututnya itu sempat pula membersihkan longkang yang dipenuhi tanah yang dikuis ayam di tepi longkang. Pastu sempat pula menguis sampah kat bwh pokok rambutan di tepi beranda. Harum bau sampah yang kakak bakar. Kerja-kerja saya selesai sebelum zohor. Petang nnt saya rancang nak kaut daun-daun dan rumput yang telah saya potong tu pula.

Petang tu cuaca panas dan saya rasa tak berdaya nak buat apa-apa. Nampaknya terpaksalah saya tinggalkan semuanya dalam keadaan tidak begitu sempurna sehingga ke minggu seterusnya. Dalam pukul 6 sementara menunggu anak kakak datang menjemput kami, kakak masih sempat mengaut sampah di halaman. Saya tegur akak, "nyempat lagi tu!" Akak sengih "Rimas tengok daun-daun kering ni,"

Aduhai kakakku... siapalah yang tak rimas? Tapi untuk mengemas dan membersihkan sekeliling rumah ni bukan cukup dalam 2 3 hari. Tengoklah daun dan pelepah pisang kering yang bergayutan tu. Banyak benda yang nak dibuat kalau duduk kampung kak. Kudrat kita berdua memang tak cukup untuk membuat semua tu. Dulu sewaktu saya tinggal berseorangan, saya melakukannya beransur-ansur. Sedikit demi sedikit.

Kami meninggalkan rumah kira-kira jam 6.45 petang. Rumah pusaka ini saya tinggalkan dengan doa agar sentiasa dipelihara dan dilindungi ALLAH daripada sebarang kerosakan dan kebinasaan.

Kami tiba di rumah kakak sebelum mahgrib. Malam itu memang masing-masing sudah keletihan. Kakak tidur awal selepas isyak. Manakala saya walaupun keletihan, sakit-sakit badan namun sukar melelapkan mata. Dalam pukul dua atau tiga pagi baru saya terlena. Minggu depan pulang ke kampung lagi ke tidak? Tiada kepastian... insyaAllah :)

Nota: Secantik dan seindah mana pun rumah yang pernah saya huni dan kunjungi...tidak akan pernah sama dengan rumah pusaka arwah bapa yang sederhana dan seadanya... di rumah itulah saya menemui diri dan kebahagiaan saya.


.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~