Alasannya kerana mahu melihat saya bahagia. Tapi adakah kalian pasti bahawa YA itu akan membahagiakan saya? Bagaimana saya mampu bahagia kalau perkataan YA itu datangnya dari kalian bukannya dari hati saya? Kalian sebenarnya tidak faham apa ertinya kebahagiaan kepada saya. Kerana erti bahagia bagi kalian dan saya amat berbeza. Kebahagiaan itu adalah rasa yang wujud di hati... rasa yang tenang dan mendamaikan. Pada saya erti bahagia bukan pada material, bukan sesuatu yang hanya boleh di lihat atau disentuh semata-mata. Kenapa anda suka melihat saya dengan rasa kasihan? Saya tidak perlu dikasihani. Saya telah melalui tempoh waktu yang amat perit dalam kehidupan saya... saya telah melewatinya... saya telah redha dengannya dan sekarang saya telah menemui kedamaian dalam jiwa saya. Jangan pandai-pandai membuat andaian bahawa saya seorang insan yang malang dan kesepian. Saya bukan!
Jadi, biarlah saya menikmati sisa-sisa hari dalam kehidupan saya dengan aman. Usah kucar-kacirkan ketenangan saya. Saya telah memberi dan berkorban untuk segala yang patut saya beri dan korbankan. Sekarang berikanlah saya ruang untuk meneruskan kehidupan saya dalam acuan yang saya suka. Saya bukan budak kecil yang perlu diatur. Saya sudah terlalu dewasa untuk memilih di mana saya akan berada apabila usia emas menjengah pintu usia saya. Usah bimbang...insyaallah saya tidak akan menyusahkan kalian, jika itulah sebenarnya yang kalian risaukan.
Biarkanlah saya dengan kebahagiaan dan ketenangan saya sekarang. Usah terlalu pasti bahawa kalian amat faham dan amat bersimpati padahal kalian sebenarnya sedang merosakkan pengertian kalian, sedang memporak perandakan kedamaian saya. Jadi sekali lagi saya meminta...tolonglah jangan kacau bilaukan perasaan saya. Tahukah? Kalian telah membuat saya marah!
Catatan: Saya menggantungkan seluruh kehidupan dan harapan saya kepada Allah...bukan kepada manusia!