-->

Isnin, Julai 17, 2006

July 17, 2006

Ermmm...lama juga aku tak menulis di sini.Banyak sungguh rintangan saikology dan juga emosi.Cuaca macam ni badan asyik tak sihat aja.Malam tadi hujan berterusan hingga ke pagi.Aku tak dapat lelapkan mata.Juga tak mampu berfikir apa-apa.Tiba-tiba aku merindui bapakku. Aku amat merinduinya.Tapi mengapa aku tak mampu menulis puisi untuknya seperti dulu.Arwah bapak yang amat aku kasihi.



PESAN AYAH

Sudah tigabelas tahun

yang lewat cuma waktu

yang tinggal haru dan rindu

namun kata-kata keramat itu

harum melekat dibenakku



Pesan ayah jika memilih cerdik

ambillah yang bijaksana

kerana cerdik banyak perkara cerdik

cerdik buruk pun cerdik juga



Pesannya lagi

usah terlalu mencari muka

sekadar puji dan puja berapa sangatlah harganya

sekadar batu duga

tipu semu manusia



Ujar ayah

jangan sekali-kali

dan sekali lagi

jangan

sekali-kali menjadikan dirimu

buah mimpi serta bunga bibir setiap lelaki

di situlah bergantungan duri

sarang segala fitnah dan keji



Bicaranya lagi

usah hanya duduk meningkap

turunlah melihat jangan hanya bermakrifat

belajarlah mengukur mata dengan telinga

kerana bisik-bisik dusta tidak akan mengizinkan kita

merdeka dalam acuan mulia



Pesanannya yang terakhir

mulakanlah menetak meramu rumah akhirat

duduklah tenang bersama pisau

wali di tangan

meraut mengukirlah penuh cermat

transit di sini tidak lama

cukuplah sederhana sahaja molek rumahnya

di sana untuk tinggal selamanya

eloklah kita membina istana

indah dan kukuh tiang serinya



Aku tidak pernah ragu kebenaran kata-kata itu

kerana sejak dulu sudah ku tahu

aku adalah acuan sepatu ayahku!



Al-Fatehah untukmu bapakku...

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~