-->

Rabu, Oktober 09, 2013

Dari Asar Ke Isyak...



Dari Asar ke Isyak: Karya untuk sahabat

Pembikinan telefilem Dari Asar Ke Isyak sememangnya membawa erti tersendiri buat pengarahnya, Murali Abdullah dan penerbit, Zainuddin Mohd Ismail.

Ia dihasilkan atas tanggungjawab melahirkan perasaan simpati dan tanda persahabatan buat pelakon Maimon Mutalib yang menghidap barah payudara tahap kritikal.
Hasil perbincangan antara Murali dan Ismail, Maimon diberikan watak khas sebagai Fatini dalam telefilem berkenaan.

Sebagai Fatini, Maimon hanya dikehendaki berlakon di atas kerusi roda dan telefilem berkenaan juga adalah lakonan pertamanya selepas setahun berehat keraana merawat penyakitnya itu.

“Konsep kami ialah kawan tolong kawan. Maimon sangat berjasa terhadap industri filem dan drama dengan lakonan yang mantap dan bagus. Orang tak tahu penderitaan yang dia alami. Dia sakit namun pada masa sama, dia terpaksa memikirkan bagaimana nak cari wang untuk menyara keluarga.


“Maimon perlu menyara anak-anak selepas kematian suaminya sejak 15 tahun lalu. Itulah yang menjadi punca saya dan Zainuddin hasilkan drama khas buatnya ini. Tujuan kami untuk memberinya pendapatan dan semangat agar dia jangan mengalah dengan apa yang dilalui,” kata Murali ketika ditemui di lokasi penggambaran telefilem ini di Kampung Melayu Subang, Sungai Buloh, baru-baru ini.

Menurutnya, mereka memahami penderitaan dan kesakitan ditanggung Maimon, sekali gus penggambaran membabitkan dirinya mengambil masa mengikut tahap kesihatannya.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan penggambaran keseluruhan telefilem ini yang turut dibintangi Faizal Hussein, Emma Maembong, Sofi Jikan, Sweet Farhana dan Naim Daniel.

“Penggambaran bermula pada 28 Mei lalu. Selepas lapan hari, ia terpaksa dihentikan seketika kerana kami menghadapi masalah teknikal iaitu sukar untuk dapat kebenaran buat penggambaran di penjara. Akhirnya jalan alternatif terpaksa dicari dengan buat penggambaran babak ini di studio yang diubah suai seperti sebuah penjara,” katanya.

Murali berkata, barisan pelakon yang membintangi telefilem ini semuanya sudah terbukti kemampuan mereka membuatkan dia tidak perlu bersusah payah membentuk mereka. Dia hanya perlu memberi panduan dan teguran minimum bagi membolehkan mereka menepati kehendak cerita.

“Mereka semua tahu tugas masing-masing. Skrip ditulis Siti Rohaya ini juga menarik dan antara konsep drama paling berat pernah saya buat. Bagaimanapun, cabaran yang dilalui berkurangan apabila bekerja dengan orang yang bagus. Menariknya, semua pelakon faham penghasilan telefilem ini untuk Maimon dan langsung tidak berkira.

“Mereka sanggup korbankan masa dan wang yang disumbangkan buat Maimon. Saya amat terharu melihat keprihatinan yang ditunjukkan. Mereka juga faham kesukaran dihadapi Maimon dan sangat bertolak ansur ketika berlakon. Maimon pula walaupun dalam keadaan sakit, masih berikan lakonan yang bagus. Penjiwaan wataknya sangat hebat dan dia juga banyak membantu dari aspek penceritaan watak dan idea,” katanya mengenai telefilem bertema keagamaan dan pengajaran itu.

Menurutnya lagi, penderitaan Maimon turut mendapat simpati daripada pengarah dan rakan artis lain. Ketika mereka menjalani penggambaran di Taman Rimba Templer, Rawang, secara kebetulan sebuah produksi lain turut menggunakan lokasi berhampiran.

“Produksi yang diketuai pengarah, TS Jeffry itu turut melapangkan masa bertemu Maimon dan melancarkan kutipan derma kilat sebelum disumbangkan kepada Maimon,” katanya.


Dari Asar Ke Isyak mengisahkan Fatini (Maimon) yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh suaminya. Suaminya, Badron (Sofi Jikan) mempunyai ramai isteri dan Fatini adalah isteri keduanya.

Badron seorang lelaki yang rakus nafsu. Kahwin cerai sudah menjadi kebiasaan buatnya. Tidak cukup dengan empat isteri, dia juga turut mencabul anak-anaknya yang masih kecil tidak kira lelaki atau perempuan.

Suatu malam dia cuba mencabul anak perempuannya, Jawhara yang berusia dua tahun. Perbuatannya dilihat oleh isteri tuanya, Zainab (Suraiti Baharom). Apabila Zainab cuba menghalangnya, Badron mencekik Zainab sehingga mati.

Peristiwa ini disaksikan Fatini yang bertindak menikamnya dengan pisau. Ia juga disaksikan anak mereka, Syukri (Faizal Hussein) yang ketika itu berusia tujuh tahun. Zainab dan Badron meninggal dunia pada malam yang sama.

Kejadian itu mengakibatkan Fatini ditahan sebelum didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Selepas 20 tahun, Fatini dikunjungi Syukri, anak Zainab yang berusaha meminta pengampunan untuk dirinya. Selepas kematian ibu dan bapanya dalam tragedi ngeri itu, Syukri tinggal dan membesar di rumah anak-anak yatim dan terpisah dengan adik-beradiknya yang lain. Kini dia seorang akauntan yang berjaya.

Fatini meminta Syukri mencari dan mengumpulkan adik-beradik satu bapa berlainan ibu iaitu Badriah (Emma Maembong), Talal (Naim Daniel) dan Jawhara (Sweet Farhana). Badriah terlanjur dengan teman lelakinya lalu dihalau dari rumah. Azman (Bell), teman lelakinya mati dibunuh manakala Badriah diperkosa dalam keadaan berbadan dua.

Talal meneruskan kehidupan bekerja sambil belajar di samping berusaha memujuk ibunya, Normah (Nor Albaniah) yang masih meneruskan kegiatannya sebagai pelacur supaya kembali ke pangkal jalan.

Jawhara pula menghadapi dilema kerana ibunya asyik kahwin cerai. Jawhara berkawan baik dengan Talal tanpa menyedari mereka sebenarnya adik-beradik satu bapa.

Selepas mengharungi segala keperitan, Syukri berjaya meminta pengampunan untuk Fatini. Dia juga berjaya mengumpulkan semula adik-beradiknya untuk tinggal bersamanya dan Fatin di bawah satu bumbung.


Pelakon hebat, Faizal Hussein ketika ditemui berkata, ini bukan pengalaman pertamanya berlakon dengan Maimon dan hubungan mereka juga mesra di luar set. Bagaimanapun, mereka belum pernah betul-betul berlakon membawakan watak utama seperti dalam telefilem Dari Asar Ke Isyak ini.

“Cerita ini bukan hanya sekadar lakonan tapi lebih berkisarkan mengenai hidup Kak Mon sendiri. Ini ibarat projek khas buatnya. Saya simpati pada Kak Mon kerana ketika hari pertama penggambaran, keadaannya nampak lemah. Namun selepas tiga minggu berehat, dia kelihatan sihat.

“Watak kami berdua memainkan peranan besar bagi menggerakkan cerita ini. Kak Mon memainkan peranan sebagai ibu manakala saya sebagai anak sulung. Cabaran yang dilalui sepanjang penggambaran ialah perubahan lokasi.

“Bagaimanapun, sebagai pelakon saya tetap jalankan tanggungjawab yang diberikan dan tak anggap ia masalah besar,” katanya yang tiada masalah berlakon dengan pelakon lain walaupun kali pertama digandingkan.

Sumber: http://www.kakigosip.com
.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~