-->

Khamis, Februari 17, 2011

Pak Lah dan Interlok

Sudah lama saya ingin menulis tentang isu ini. Setelah melewati tempoh kekecewaan yang panjang, baru hari ini saya ada 'mood' untuk menulisnya. Bagaimana kita boleh membiarkan karya seorang sasterawan negara diperkotak-katikkan begitu? Mengapa kita harus melayan kerenah segolongan minoriti 'sengal' yang tidak mahu atau sengaja tidak mahu menerima hakikat kelemahan bangsanya sendiri? Saya tidak berniat untuk menimbulkan soal perkauman. Tetapi berapa banyak tulisan yang menyiarkan tentang keburukan dan kelemahan orang Melayu? Namun kita tidak pernah melatah.Tidak pernah sampai menghina penulisnya sehingga membakar karya-karya mereka.

Mengapa kita perlu mempertimbangkan semula interlok di 'perbetulkan' teksnya? Mengapa kita harus membuang masa dan wang ringgit untuk menulis semula 'sejarah'. Adakah penulisan tentang kebenaran mahu kita palsukan semata-mata untuk memuaskan hati segolongan orang yang lemah semangat kenegaraannya? Jikalau masing-masing berani bercermin dan menerima kelebihan dan kelemahan masing-masing, tentu situasi ini tidak akan berlaku.Selepas empat puluh tahun, mengapa baru hari ini novel ini dipertikaikan?

Kita ini sentiasa saja berlembut, sentiasa saya bertolak ansur, sentiasa saja sedia melayan kerenah yang kadang-kadang tidak patut dilayan dan memualkan! Kalaulah ada ketegasan, isu ini pasti segera dapat dimatikan. Interlok adalah sebuah karya besar. Mana mungkin sebuah karya besar boleh diubah dan dirombak semata-mata untuk memuaskan hati segelintir pihak! Mengarut!

Setiap bangsa memiliki sejarah tersendiri. Susur-galur hakikat kehidupan pahit manisnya yang harus kita telan. Mahu atau tidak kita harus mengakuinya sekaligus merubah sikap dan pemikiran secara bijaksana supaya tidak lagi dipandang rendah atau sendiri yang perasan rendah diri dan terhina. Semua bangsa ada kelemahan. Mengapa beberapa perenggan yang pedih bagi segolongan masyarakat itu harus diambil kira daripada keseluruhan buku yang merangkumi isu sejagad?

Pak Lah, sasterawan yang begitu lembut, tenang, jujur dan bibirnya sentiasa tersenyum. Saya amat saya menghormati beliau. Walau sudah lama tidak bertemu dengan beliau, saya masih ingat dengan jelas wajahnya yang ada mirip-mirip wajah arwah bapa saya. Sentiasa berbicara dengan nada rendah dan lembut.

Saya tetap menghormati dan menyayangi beliau sama seperti dulu Seorang sasterawan yang begitu sederhana penampilannya. Sempurna sikap kebapaannya. Tidak pernah jemu mendidik ribuan penulis muda dengan ilmu serta pengalamannya yang seluas samudera. Terima kasih Pak Lah kerana mengajar tentang keikhlasan berkarya. Semoga Allah sentiasa memberkati kehidupan bapak.

themalaysianinsider

Din Merican: the Malaysian DJ Blogger


Catitan: Alangkah cetek dan hodohnya perilaku individu yang mempolitikkan sebuah karya besar untuk kepentingan diri!
.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~