-->

Selasa, Februari 22, 2011

Sudirman Setelah 19 tahun Pemergiannya...

"Saya berpegang pada nasihat arwah ayah saya. Kalau saya mahu menjadi penghibur yang baik, saya harus jauhkan diri daripada empat perkara iaitu politik, seks, dadah dan isu agama," - Sudirman.

Pertamanya Al-Fatehah untuk Allayarham Sudirman Hj Arshad. Diam tak diam hari ini genap sembilan belas tahun beliau meninggalkan kita(25 May 1954-22 Februari 1992). Sebagai individu yang membesar pada zaman kegemilangannya, lagu-lagu Sudirman adalah makanan jiwa saya.

Bermula dengan album pertamanya yang berjudul Teriring Doa yang diterbitkan pada tahun 1977 sehinggalah album terakhirnya Setelah Kau Tiada.Lagu-lagunya sentiasa menjadi lagu malar segar yang tidak pernah jemu mendengarkannya.

Sehingga kini Sudirman tiada pengganti. Seorang seniman rakyat yang begitu komited dalam seni yang diceburinya, seorang patriotik yang menjadi kesayangan segenap lapisan masyarakat di Malaysia.Disebalik segala spekulasi tentang kematiannya, pada andaian peribadi saya...merana kehilangan insan yang dicintai itulah sebenarnya yang telah membuat dia bekerja keras sehingga lupa pada kesihatan diri. Perpisahan dengan isteri yang amat dicintainya itu meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam hidupnya.Menurut
cerita penulis Habsah Hassan, Sudirman tidak mampu 'let go' segala perasaannya terhadap bekas isterinya. Dia terlalu berpegang pada kesetiaannya.

Disebaliknya sikapnya yang periang, suka bergurau dan mengusik teman-temannya, jauh di sudut hati dia sensgsara menahan kerinduan. Pada setiap alunan dan lirik lagunya menggambarkan segala-galanya. Lagunya adalah ibarat gambaran kehidupannya. Dia menggembirakan semua orang, menghiburkan mereka dengan lagu-lagunya sedangkan hatinya sendiri hancur luluh kesepian.

Bagi saya, Sudirman menyalurkan kekecewaan dalam kehidupannya secara bijaksana. Dia tidak menjadikan dadah sebagai pelarian kehampaannya. Dia meluahkan segala-galanya dalam lagu-lagu nyanyiannya. Dia bekerja keras untuk lebih berjaya dalam kariernya. Buktinya sehingga kini Sudirman berada pada kelasnya tersendiri tanpa sesiapa mampu mengganggu gugat.

Beliau merupakan penyanyi yang berani membuat penampilan berbeza disegi fesyen juga tema lagu. Baik budak sekolah, pengganggur, rakyat marhaen sehinggalah ke rakyat kelas atasan tertawan pada karismanya. Samada disedari atau tidak, ada diantara lagu-lagunya mengena pada diri peribadi para pendengar
yang membuat kita tersenyum sendiri. Siapa yang pernah membuat konsert terbuka yang dihadiri seramai 100,000 daripada pelbagai lapisan masyarakat  kalau bukan dia? Chow Kit Road menjadi saksi sejarah
kegemilangannya!

Allahyarham merupakan seorang yang serba- boleh. Kebolehan bukan setakat  menyanyi tetapi juga menulis dan melukis komik. Genre nyanyiannya bukan hanya pop tetapi mencakupi irama asli juga patriotik. Album Melayu Deli membuktikan kecintaannya pada keaslian budaya bangsa. Manakala album Warisan bukti pada
kesetiaan  dan  cintanya dia pada tanah kelahirannya. Betapa dia begitu menghargai pejuang-pejuang kemerdekaan dan berbangga menjadi rakyat bumi bertuah ini.

Begitulah sudirman...menyedari suaranya tidaklah sehebat mana. Rupanya tidaklah sekacak mana..hanya anak muda kecil molek yang mempunyai keazaman untuk menjadi 'seseorang'. Keazaman untuk menjadi manusia hebat dan terpandang. Seorang jejaka sederhana yang amat menghargai cinta pertama dan terakhirnya yang rupawan dan menjadi rebutan. Betapa bahagianya dia apabila cinta berbalas, menjadi pilihan antara ribuan kumbang. Milik siapakah gadis ini gambaran suara hati pada gadis yang berjaya menambat hatinya. Allahyarham menikahi gadis pujaan hatinya yang dikenali sejak zaman persekolahan lagi pada pada 14 Februari 1981 selepas beliau menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya.

Namun takdir Tuhan siapa yang mampu menduga. Cinta suci tidak mampuenahan ganasnya ombak samudera. Kebahagiaan mahligai cinta yang dibina hanya mampu bertahan selama tiga tahun. Ia berakhir dengan perceraian pada 25 Mei 1984. Pasangan ini tidak mempunyai anak.

Ketika menulis dalam majalah hiburan yang beliau sebagai penulis jemputan, allahyarham pernah menyatakan dua perkara yang amat memilukan hatinya. Pertama, kehilangan ibu pada usia yang sangat muda. Keduanya, perkahwinannya yang gagal. Allahyarham merakam kedukaannya serta pahit getir perceraian menerusi lagunya Terasing dan Merisik Khabar, malah beliau turut mencipta lagu Setiamu Tiada Lagi dendangan Ibnor Riza.

Terasing

Kegelisahan didalam kedinginan
Meniti sepi keseorangan
Sebuah kematian yang tiada bernisan
Sendu mengiringi perpisahan

Ruang nan luas diri bergerak bebas
Namun keupayaanku terbatas
Segala mimpi menjadi api
Perit membakar diri

Sebuah cinta dan harapan
Menjadi debu berterbangan
Tersekat nafasku kabur pandangan mataku
Amat tersiksa diriku
Kerana kehilanganmu

Oh mengapakah terus mengharap menanti
Walau cukup kusedari
Kau tak kan kembali

Pemergianku mengisi permintaan
Biarpun dikau masih kuperlukan
Kita dikatakan pasangan bahagia
Kini terasing luka

Jauh di sudut hati

Sayang
Kubawa jauh rinduku
Kerna aku telah tahu
Kau bukan milikku

Sayang
Sesunguhnya bukan mudah
Menjalani hidup ini
Tanpa kau di sisi

Jauh disudut hati
Aku masih bermimpi
Mimpi yang indah
Esok kau kembali

Jauh di sudut hati
Ada waktu-waktunya
Aku berdoa
Kau pulang semula

Sayang
Biar ku mengingatimu
Biar kugantung harapan
Hingga sampai waktu
Nafas terakhirku

Merisik Khabar

Terkapar-kapar ku kelemasan
Sakit dilambung ombak kerinduan
Di dalam tidur di dalam jaga
Diburu oleh mimpi yang serupa
Mengapa aku jadi tak menentu
Keranamu...

Ku menyusuri jalan berliku
Membiarkan hari-hari berlalu
Tiada salam tiada pesan
Memaksa diri untuk melupakan
Namun wajahmu bermain di mata ku
Tiap waktu...

( korus )
Malam ku suram, siang ku kelam
Ku kegelisahan, mencari-cari
Kemana pergi, harga diri ini
Bertanyakan berita, merisik khabar
Mendengar cerita, melaluinya
Kau kuhampiri, tiap hari
Bersama luka dihati

Begitulah...perjalanan kehidupan gemilang seorang lelaki bernama Sudirman Haji Arshad. Kita terhibur dengan setiap persembahan dan nyanyiannya tetapi 'hujan bersama airmata' adalah teman hayatnya.

"Adik ketawa di Rantau Abang,
penyu menangis siapalah yang tahu?
Sesak nafasnya sesak
(Tak tahu adik tak tahu)
Sebak dadanya sebak
(Tak tahu adik tak tahu)
Bengkak jantungnya bengkak
(Tak tahu adik tak tahu)
Retak hatinya retak
(Tak tahu adik tak tahu)"

Selepas 19 tahun...Sudirman dan lagu-lagunya masih segar seperti baru semalam dia pergi. Pemergiaan tanpa ucapan selamat tinggal namun sempat meruntun hati setiap daripada kita dengan lagu Salam Terakhirnya. Allahyarham meninggal dunia akibat penyakit radang paru-paru pada usia 37 tahun.

Salam Terakhir

Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergian ku ini tak dirancang

Usah bertanya mengapa aku
Mengucap salam terakhir kepada mu
Kerna waktu berputaran
Bimbang tak berkesempatan
Melahirkan kerinduan terhadapmu

Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah padaNya

Salam akhir
Salam yang teristimewa
KepadaNya ku memohon keampunan
MelaluiNya ku beri kemaafan
Kepadamu

Andainya aku punya waktu
Masih ku ingin mengulangi semula
Saat indah bersama mu
Sayang tak berkesempatan
Abadikan saja salam ku di ingatan

Salam ku yang terakhir 

http://ms.wikipedia.org/wiki/Sudirman_Haji_Arshad


Catatan: Semoga Allah menyediakan tempat yang baik untuk allahyarham di alam sana. Doa dan kasih sayang untuk seorang seniman rakyat bernama Sudirman Haji Arshad. Anda akan sentiasa harum dalam kenangan. Al Fatehah.
.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~