-->

Isnin, Ogos 27, 2012

Saat akan berangkat...

Petang tadi ketika sedang tekun menebak tanah untuk menanam pepohon baru yang saya ambil dari rumah ibu saudara saya sewaktu kunjungan berhari raya kelmarin, saya mendengar suara tangisan dan rintihan jiran warga tua 'induk'. Usianya hampir mencecah 90 tahun. Memang dia sudah uzur benar. Matanya sudah rabun, pendengarannya sudah kabur dan sudah tidak berupaya lagi bergerak ke sana kemari kecuali digendong oleh anak cucunya.

Kedengaran sendu hiba suaranya berbicara. Walau kurang jelas saya dapat mengagak beberapa butirannya.
"Ntah dapek ntah tidak balik ke sini lagi... Tak payahlah bawa den balik biarlah mati kek sini.Huhuhuhu..." Rintihan dan tangisannya berterusan ketika dia dalam gendongan cucunya yang membawa dia ke kereta. Sehingga cucunya mendudukkannya ke dalam kereta rintihannya berpanjangan sehingga pintu kereta ditutup kemudian enjin dihidupkan.

Saya berjiran dengannya sejak kecil. Dia amat menyayangi kucing. Rajin bercucuk tanam ketika usia muda sehingga ke tua membawa kepada keuzuran. Dahulu dia tinggal seorang diri. Saya dan arwah emaklah selalu menjadi pemerhati dan pemantau ketika anak cucunya tiada di sisi. Setelah dia mula uzur, anak cucu membawanya tinggal bersama mereka di Kuala Lumpur. 

Dahulu dia selalu melahirkan rasa kesalnya kerana anak cucu tidak mahu pulang bermastautin di kampung. Anak-anak pula dengan alasan masing-masing, sudah ada rumah sendiri...tidak tahu dan tak biasa dengan kehidupan di kampung.

Menurut anak yang selalu menemaninya, dia bercerita tentang ibunya yang selalu bising hendak pulang ke kampung tetapi jarang dapat dipenuhi kehendaknya oleh pelbagai sebab.

Saya sempat membayangkan diri saya jika ditakdirkan dipanjangkan usia mencecah ke umurnya. Tentu sunyi dengan kehidupan yang dilalui. Tidak lagi mampu mendengar apa-apa. Keindahan pemandangan alam tidak dapat lagi dinikmati mata.Anak-anak kena menjerit ketika berbicara untuk menjawab setiap kata dan tanya.
Alangkah sunyi dan sepinya dunia seorang tua yang sedikit demi sedikit diambil kembali segala kenikmatan pancaindera yang pernah dianugerahkan Allah kepadanya.

Kitaran nasib tidak mengira sesiapa. Saya bermohon agar Allah mengasihani saya. Tidak menarik segala kurniaannya sebelum saya menutup mata. Saya ingin terus segar meratibkan zikir dan doa ketika menunggu ajal saya tiba. Kasihani dan makbulkanlah doa saya Wahai Yang Maha Pencipta Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Berkuasa Yang Maha Berhak mengambil apa saja milik pemberian kepada makhlukNya dalam sekelip mata!




.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~