-->

Selasa, Ogos 07, 2012

Bukan Kerana Nama...

Suatu masa dahulu saya memang amat teruja apabila melihat nama saya terpampang di skrin televisyen.Penulis skrip: .... ...... ... ..... Satu nikmat dan keseronokan yang tidak terkata walaupun tidak ramai yang mengenali saya. Tapi setelah lebih limabelas tahun, nama itu bukan lagi satu keutamaan. Namun begitu setiap pengkarya pastinya mahukan pengiktirafan pada setiap karyanya.

Jika penerbit bangga menayangkan namanya sebesar alam pada kredit setiap drama. Nama pengarah terpapar jelas dan gah sebagai peneraju utama pada kredit permulaan dan pengakhiran bersama nama-nama besar pelakonnya, di mana letak nama penulis skrip yang menjadi tunggak terhasilnya sesebuah karya?Adakah drama yang hebat tanpa skrip?

Saya pernah mengalami situasi di mana karya saya mendapat pujian malah penerbitnya mendapat beberapa anugerah termasuk drama terbaik dan penerbit terbaik. Malah pengarah terbaik juga menerusi karya yang saya hasilkan. Saya belum pernah memenangi dalam kategori yang saya ceburi. Tidak mengapa. Saya redha. Mungkin saya belum cukup terbaik untuk memenangi sebarang anugerah.

Namun wajarkah nama saya dieja salah? Adilkan nama saya langsung tidak dimasukkan ke dalam kredit seolah-olah ia bukan karya saya sedangkan saya bersengkang mata menyiapkan karya tersebut sehingga demam-demam dan sakit kepala?

Ini bukan soal nama tapi soal hak dan nilai diri sebagai penulis.

Malam tadi selesai tayangan, saya hantar sms ringkas kepada penerbit. "Nape xde langsung krdt utk akak?"

Lama baru dia membalas. "Kalau kak perasan semasa kredit title akhir ada potongan nama kak semasa logo cerita utk cerekarama tv3 potong saya pun perasan maaf kak esok saya nak call tv3 cerita ini bny dugaaan  sori kak"

Saya jawab. "Kalau letak kat krdt title masa starting skurang2nya xlah tcicir & rasa penat lelah x dihargai."

Jawapan "Jgn mc tu kak saya mhargai kak 3kali kena transper"

Saya tak jawab.

"Sori kak".

Saya tetap tidak peduli. Sejak dulu saya memang tidak begitu suka cara dia. Dia mahukan karya yang bagus. Selalu mendesak yang terbaik. Inginkan pujian untuk setiap penerbitannya tetapi adakah dia menghargai setiap kata dan baris ayat yang amat payah untuk saya garapkan tanpa kurnia dan belas ihsan Maha  Pencipta?

Saya bukan inginkan glamour saya cuma inginkan sedikit rasa hormat bagi setiap karya yang saya hasilkan. Daripada berpuluh nama yang berbaris, logikkah nama penulisnya diabaikan? Atau...sengaja dicicirkan?


.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~