Antara pokok-pokok tersebut, ada sebatang pokok kekabu yang diapit oleh dua batang pokok durian.Daripada pokok inilah kekabu diambil untuk dibuat tilam dan bantal. Memang nyaman kalau dapat tidur berbantal dan bertilamkan kekabu. Tilam dan bantal kekabu masih ada dijual tetapi harganya agak mahal.
Setelah sekian lama barulah saya perasan rumah bentuk batang kekabu ini. Saya menyangka pokoknya sama seperti pokok hutan yang lain. Rupa-rupanya agak berbeza dengan kehadiran benjolan yang berupa duri-duri besar yang tidak tajam. Itu menjadikan pokok kekabu agak unik berbanding pokok yang lain. Sewaktu saya kecil dahulu, saya masih ingat arwah mak membeli kekabu di kedai cina di pekan dengan beberapa ela kain nipis yang murah. Emak menjahit sendiri sarung bantal dan bantal peluk. Ditinggalkan sedikit jahitan yang terbuka di sudut sarung untuk disikan dengan kekabu. Setelah kekabu siap diisi mengikut keperluan secukup dan sesedap meletakkan kepala, emak akan menjahit bantal itu dengan cantik dan sempurna.
Sekarang orang sudah jarang menggunakan bantal atau tilam kekabu. Mereka lebih suka menggunakan tilam dan bantal dunlopillo yang lebih lembut dan beralun. Tidak perlu dijemur seperti bantal dan tilam kekabu yang akan melepet jika sudah lama tidak dijemur untuk menggebukan semula kekabunya :)
Zaman berubah...tilam dan bantal kekabu kian menjadi barangan nostalgia!