-->

Isnin, Januari 31, 2011

Pindang Ikan Sembilang

Sudah lama benar saya tidak memasak. Saya gemar memasak bila ada ramai orang di rumah dan ramai yang kaki makan. Dulu ketika duduk di kampung dan arwah mak masih ada, abang-abang dan kakak rajin pulang menjenguk mak. Jadinya saya pun rajin ke dapur memasak lauk-pauk untuk mereka. Tetapi sejak duduk di bandar ni...aktiviti memasak saya terhad. Kerja-kerja memasak di monopoli oleh kakak yang memang tidak suka orang 'mengacau' dia di dapur. Samalah macam saya, tidak suka diganggu ketika sedang memasak. Pendek kata...ketika kami memasak pergilah main jauh-jauh! Kecuali kalau ada yang nak tau, nak belajar, nak tengok bolehlah...tiada pantang larangnya.

Malam semalam anak saya muncul bersama Miq membawa 'seperiuk' ikan sembilang yang masih hidup. Katanya diberi oleh jiran. Jirannya itu pula mendapat ikan sembilang itu daripada seorang ustaz. Alhamdulillah. Tidak pasti samada ikan sembilang belaan atau ikan sembilang kampung. Memandangkan sudah malam...saya malas nak menyiang. Kalau terus masukkan dalam peti sejuk, dah keras nanti susah pla menyiangnya. Lalu saya masukkan garam kemudian saya tutup dengan tudung periuk dan menghimpit tudung periuk itu dengan lesung batu. Bedebash debush bunyi ikan-ikan itu menggelepar keasinan. Kejamnya saya kan?

Selang dua jam kemudian setelah pasti kesemua ikan itu telah mati, saya masukkan ikan dengan periuk itu sekali ke dalam peti sejuk kakak saya yang besar itu. Keesokan harinya pagi-pagi sebelum subuh saya keluarkan periuk ikan tersebut dan merendamnya supaya lembut. Selepas subuh sebelum Miq sampai,saya sudah siap menyiang dan membersihkannya dengan garam dan limau kasturi. Saya kira ada tigapuluh ekor kesemuanya. Alhamdulillah tidak ada bau hanyir.

Saya bagi dua ikan itu separuh untuk di masak pada hari itu, separuh lagi saya simpan. Kakak kata dia teringin nak masak pindang ikan itu.Selalunya masak lemak cili api saja. Memang dah lama tak makan pindang ikan.

Masak pindang ni tak jauh bezanya dengan masak lemak cili api. Cara masaknya sama. Bezanya cuma masak pindang ini, kuahnya di keringkan. Dalam proses pengeringan kuah itu, ikannya agak hancur sedikit. Bila makan kenalah sabar dan berhati-hati mencari tulang. Kalau gelojoh nanti tercekik. Memang sedap sangat kakak masak pindang ikan sembilang tu. Setelah dibahagikan sana sikit sini sikit. Baki yang tinggal cukuplah untuk lauk kami selama dua hari. Untuk pengetahuan anda, gulai ikan masak lemak cili api tidak kira ikan apapun, bila dipanaskan dan dikeringkan kuahnya, makin kering makin sedap. Buat lauk dua tiga hari pun tidak menjemukan. Amat berperisa sekali!

Cara masak pindang ini lain orang lain caranya. Kalau saya, saya akan kecutkan dulu ikan tu dengan menggaulkan cili api dan garam yang telah ditumbuk (sekarang blender saja). Masukkan asam keping dua tiga keping. Bila ikan dah kecut sikit, balikkan. Bila dua-dua belah dah kecut skit, masukkan santan. Kacau supaya tidak pecah minyak. Masak dengan api yang sederhana. Bila gulai dah menggelegak sikit, masukkanlah apa-apa campuran yang anda suka. Samada petai yang telah dikikis, jantung pisang atau pisang muda, terung pipit (terung belimbang)ke atau daun asam terpulang.

Saya lebih suka menggunakan limau kasturi atau limau nipis sebagai ganti asam keping atau asam jawa sebab lagi umphh rasanya ;) Kalau hendak lauk yang berkuah, biarkan bersangai sekejap. Maksudnya, bila dah menggelegak dan terasa asam garamnya, kecilkan api...biarkan seketika dalam lima minit macam tu. Selepas itu baru padamkan api. Ada orang suka masukkan serai tapi saya tidak menggunakan serai dan bawang untuk masak lemak cili api saya.

Kalau nak pindang kering, biarkanlah kuah itu terus menggelegak. Kacau selalu supaya tidak melekat. Hendak makan masak pindang kena sabar menunggu sampai kuah kering. Sesekali kacau supaya tidak lekat...nanti lain pula rasanya. Selain daripada ikan sembilang dan ikan haruan, ikan puyu dan ikan sepat juga sedap dimasak pindang. Cumanya makan kena cermat sebab memang banyak tulang. Tahap kekeringan kuah gulai itu terpulanglah kepada anda. Pada saya, lagi kering lagi sedap. Makan dengan nasi panas, memang meleleh. Kalau pagi-pagi makan dengan nasi sejuk, memang kenyang sampai ke petang. Cubalah!

TELUR IKAN

Telur ikan itu kalau nak masukkan terus ke dalam gulai pun boleh. Tapi pastikan kuah gulai tu dah menggelegak supaya telur itu tidak hanncur. Kalau nak lagi sedap, bungkus dengan daun kunyit. Bau dan rasanya memang amat menyelerakan! saya seronok sebab di rumah ini ramai yang tak suka makan telur ikan. Maknanya ada banyak telur ikan untuk saya! Seronoknya!
.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~