Mengisahkan tentang HANAFI, seorang remaja yang telah tersasar jauh daripada norma kehidupan biasa antara ibu dan anak. Seorang anak yang mementingkan diri sendiri. Terpengaruh dengan rakan sebaya dan bersikap amat biadab terhadap ibunya, RABIAH. Tidak dapat menerima hakikat kehidupan mereka yang agak susah dan seadanya. Sebolehnya-bolehnya dia mahu ibunya menyediakan apa saja kehendak dan keperluannya tanpa mengira bagaimana cara sekalipun untuk mendapatkannya.
Suatu hari dia melarikan diri dari kampung kerana menyangka dia telah membunuh ibunya secara tidak sengaja ketika bergelut memaksa ibunya mengikut dia ke bandar untuk mengeluarkan simpanan ibunya untuk membeli motosikal baru.
Pada asalnya Hanafi adalah seorang anak yang baik. Cuma dia berubah setelah berlaku tragedi buruk dalam keluarga. Beberapa tahun sebelum itu rumah mereka terbakar. Hanafi berjaya menyelamatkan adik-adik dan ibunya kecuali ayahnya. Ayahnya meninggal dunia ketika cuma menyelamatkan nyawa ibunya. Hanafi tidak berapa rapat dengan ayahnya kerana ayahnya seorang yang panas baran dan suka memukul apabila marah.Kadang-kadang dia lebih suka ayah mati daripada berdepan dengan keberangannya setiap hari. Namun kematian ayahnya mewujudkan dilema baru dalam kehidupannya. Benci dan marah serta rasa bersalah berbaur menjadi satu. Mulai hari itu dia mula berubah, bercampur dengan budak-budak liar sebagai pelarian daripada perasaan yang bercelaru itu.
Hanafi meneruskan kehidupannya di bandar dengan pelbagai kegiatan haram. Kehidupannya bergelumang dosa. Bersultan di mata, beraja di hati. Bermula sebagai kaki ragut kemudian terlibat dengan kegiatan samseng yang kemudiannya terseret dengan sindiket pelacuran. Selama 15 tahun dia bergelumang dengan kejahatan dan kemaksiatan. Selama itu jugalah ibunya tidak pernah putus mendoakan agar dia selamat dan akan kembali semula kepangkal jalan.
Kehidupan Hanafi berubah ke fasa ketiga apabila dia mula batuk dan sakit-sakit dan tubuhnya mulai ditumbuhi kudis. Suatu hari, pertama kali dalam kehidupannya, suara azan yang selama ini saban hari tidak dipedulikan bergema dari masjid berhampiran, kediamannya mampu menggamit keinsafannya sehingga mengalirkan airmata. Tiba-tiba dia teringat pada ibu dan adik-adiknya. Mengenang semula perbuatan dan sikap buruknya terhadap mereka.
Sebelum pulang ke kampung, dia menjual rumah serta semua harta bendanya. Dia melunasi hutang-hutang para peminjam wang yang pernah teraniaya olehnya. Melepaskan pelacur-pelacur yang telah terjerumus ke lembah kemaksiatan atas tipu dayanya. Perbuatannya itu membuatkan dia dibelasah hampir mati oleh orang-orang bossnya.
Kerinduan terhadap ibu dan adik-adik membawa dia kembali ke kampung. Ketika ini tahap kesihatannya semakin buruk dengan keadaan hampir lumpuh dan tidak berdaya.
Namun kasih-sayang seorang ibu tiada siapa mampu menandingi kebencian dan kemarahan. Walaupun ditentang oleh anak-anaknya yang lain, Husni dan Husna dengan mengingatkan betapa buruk layanan Hanafi terhadap mereka selama ini, Rabiah tetap berkeras mahu menjaga Hanafi.
Kepulangan Hanafi menimbulkan pelbagai persepsi masyarakat. Ada yang bersimpati namun ramai juga yang jijik dan menjauhkan diri. Malah ketika Rabiah mengadakan majlis bacaan yaasin di rumahnya, semua orang berpakat untuk mengadakannya di halaman rumah Rabiah kerana tidak tahan dengan bau busuk daripada kudis dan tubuh Hanafi yang memang amat meloyakan.
Dengan keadaan penyakit yang azab dan amat menyedihkan, Pak Imam memberikan panduan kepada Rabiah agar redha dan mengampunkan segala dosa Hanafi terhadapnya. Begitu juga Pak Imam memberi keyakinan kepada Hanafi yang sedang nazak bahawa limpahan kasih Allah tidak pernah berhenti sebelum nyawa bercerai dari badan.Pak Imam meminta Hanafi memohon maaf daripada semua orang yang pernah dia sakiti supaya dia tidak berhutang dosa dengan sesiapa lagi. Kerana dosa kepada Allah, sudah pasti Allah itu Maha Pengampun. Namun dosa terhadap sesama manusia tidak akan terhapus selagi individu yang terlibat tidak memaafkan.Oleh kerana dia sudah tidak berdaya ke mana-mana, dia menyenaraikan kepada Pak Imam nama-nama dan alamat dan nombor telefon individu yang dia ingin berjumpa dan memohon maaf sebelum menutup mata.
Dalam keadaan terlantar begitu, barulah Hanafi mengerti dan menyedari betapa besarnya kasih-sayang seorang ibu. Dan betapa besarnya kasih-sayang dan keampunan Allah terhadap hambaNya meskipun hayat telah hampir sampai ke penghujungnya. Betapa pentingnya kemaafan sesama manusia untuk melepaskan diri daripada seksa dunia dan akhirat juga.
Dengan kehendak Allah, Hanafi pulang ke rahmatullah dalam keadaan yang bersih. Tubuhnya yang selama ini berkudis, gugur segala kudisnya ketika dimandikan, menjadikan kulit wajah dan tubuhnya bersih tanpa cacat cela. Orang-orang yang mengumpat mengata tentang kudis dan sakit serta dosa-dosa Hanafi selama ini, yang amat ghairah dan sudah bersedia untuk bercerita tentang kematian yang tragis melopong tidak terkata apa.
Kematian Hanafi memberikan kesedaran kepada mereka bahawa sejahat manapun manusia, selagi nyawa masih di badan, pintu keampunan Allah sentiasa terbuka. Sedangkan Allah Maha Pengampun, sedangkan Nabi mengampuni umatnya, inikan pula kita sesama manusia yang selayaknya saling memaafkan serta membuang segala buruk sangka dan hasad dengki sesama manusia.