-->

Rabu, Januari 12, 2011

1/1/11... Innalillah...

Ttarikh yang cantik ini membuka tirai kepada satu lagi kehilangan dalam keluarga kami. Kali ini giliran bapa saudara saya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah kegagalan jantung, paru-paru dan buah pinggang. Saya masih ingat...beberapa hari selepas arwah abang ipar saya meninggal dunia dua tahun lalu, arwah bapa saudara saya berada di icu. Dia pulih. Allah memberikan dia tempoh sehinggalah ke tarikh ini. Hampir dua tahun masa berlalu. Serangan yang datang tiba-tiba sekaligus meragutnya nyawanya. Beliau tidak merokok... berbanding arwah abang saya yang meninggal dunia tujuh bulan yang lepas yang memang merupakan perokok tegar. Namun...begitulah...maut menjemput tidak kira siapa kita dan bagaimana cara hidup kita. Tidak lewat juga tidak cepat walaupun sesaat. Pabila denting jam tepat pada takal usia...berakhirlah riwayat manusia.

Tiga kucupan di dahi ketika saya menatap wajahnya buat kali terakhir pada malam itu menutup rasa hampa saya yang agak  lewat tiba siangnya ketika menghadiri  pengkebumian. Ketika sampai, jenazah sudah di bawa turun untuk di masukkan ke dalam van jenazah sebelum dibawa ke masjid untuk disembahyangkan kemudian dibawa ke kawasan perkuburan.Kebetulan pada hari yang sama, paginya saya adik beradik ada janji temu dan angkat sumpah di Pejabat Tanah. Selesai saja urusan tanpa berlengah kami terus bertolak ke sana.

Entah mengapa airmata saya kali ini agak mahal harganya. Meskipun masih berlinang namun tidaklah selebat kehilangan yang lalu. Saya percaya bukan kerana hati sudah keras tetapi mungkin kerana saya sudah letih menangisi pemergian seorang demi seorang saudara terdekat. Saban tahun saya pasti kehilangan beberapa orang ahli keluarga terdekat. Keredhaan itu barangkali sudah semakin tebal lalu mampu mengilas sebak di dada.

Semoga Allah mengurniakan cahaya terang serta meluaskan 'rumah' arwah di alam sana. Kita juga akan ke sana. Bila di mana dan bagaimana....hanya Allah yang ada menyimpan jawapannya.

Catitan: Dari Allah kita datang kepadaNyalah juga kita kembali...
.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~