-->

Rabu, Februari 06, 2013

Kisah anak manusia....

Sungguh!
Memang dia ibumu
Ibuku juga
Ibu kalian adalah ibuku
Ibu kita!

Usah ditanya tugas siapa hak  siapa
sayangkan siapa lebihkan siapa
simpan di mana beri pada siapa

Engkau sulung kamu bongsu aku tengah
Banyak mana milik siapa
kumpul semua bagi sama rata

Yang di baruh aku punya
getah pinggir hak yang tua
kebun getah?
Hei mana ada ada?
Bukankah si sulong sudah gadaikan untuk membeli rumah?
Bila?
Dua puluh tahu dulu ketika arwah ayah masih bernyawa
Iya ke?Ada ke?
Ah! Buat-buat lupa!

Duit simpanan ada berapa?
Hai? Nak juga?
Ada ke duit simpanan bonda
sedangkan jarang sekali dia menerima
kecuali pencen bulanan arwah bapa yang tidak seberapa

Tak percaya?
Nah tengok buku ASB bonda
tak pernah menambah sejak caruman pertama
kerana wang yang ada cuma cukup untuk buat belanja

Kita?
Ah! Ratus ribu wang pampasan adakah pernah ada niat untuk membaiki rumah bonda?
Pernahkah manis muka menawarkan bonda menunaikan haji dan umrahnya?
Belum sempat bonda membuka bibir bersuara,
'maaf bonda...duit tak cukup habis bayar hutang
sedikit yang tinggal nak buat projek untuk masa depan.'

Pabila Bonda sakit
kita pulang beramai-ramai
malangnya bukan untuk mendamaikan
bahkan bercerita tentang hutang piutang
tentang ceti yang mungkin akan menetak kita sekeluarga dengan parang
kerana pokok dan bunga sudah berbaris panjang hingga ke simpang

Kalian ini anak apa? 
Bonda sihat tak nampak muka
seolah-olah bonda tiada
sibuk dengan urusan dunia

mencari harta yang tak nampak di mata
mengejar masa sehingga tercicir solatnya
dari muda hingga ke tua masih tak kaya-kaya
tujuh lapan kali menjadi mangsa tipuan semata

Eh! Nak tanya pula di mana silapnya?
Anak-anak dah besar gedabak otak masih sinting juga?
Hak bonda mana?
Mana mana mana?

Bonda yang melahirkan
dari besar tapak kaki sehingga sebesar badak berdiri
ada kalian peduli?
Harap mulut manis mengambil hati
pasang angan-angan beri harapan tinggi
konon pijak semut pun tak mati
dalam diam gajah pun lari

Sudahlah! Usah kata apa-apa
Nah ambillah geran tanah pinggir ini
Buku ASB ni? Dividennya tak silap adalah beberapa ratus di dalamnya
Apa lagi? Rantai dan gelang?
Ada...emas pusaka kesayangan Bonda
Ini jangan lupa sebentuk cincin juga

Lagi apa?
Katakan apa lagi terkilan dijiwa
akan kuberikan semuanya!

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~