-->

Isnin, Julai 17, 2006

July 17, 2006

Ermmm...lama juga aku tak menulis di sini.Banyak sungguh rintangan saikology dan juga emosi.Cuaca macam ni badan asyik tak sihat aja.Malam tadi hujan berterusan hingga ke pagi.Aku tak dapat lelapkan mata.Juga tak mampu berfikir apa-apa.Tiba-tiba aku merindui bapakku. Aku amat merinduinya.Tapi mengapa aku tak mampu menulis puisi untuknya seperti dulu.Arwah bapak yang amat aku kasihi.



PESAN AYAH

Sudah tigabelas tahun

yang lewat cuma waktu

yang tinggal haru dan rindu

namun kata-kata keramat itu

harum melekat dibenakku



Pesan ayah jika memilih cerdik

ambillah yang bijaksana

kerana cerdik banyak perkara cerdik

cerdik buruk pun cerdik juga



Pesannya lagi

usah terlalu mencari muka

sekadar puji dan puja berapa sangatlah harganya

sekadar batu duga

tipu semu manusia



Ujar ayah

jangan sekali-kali

dan sekali lagi

jangan

sekali-kali menjadikan dirimu

buah mimpi serta bunga bibir setiap lelaki

di situlah bergantungan duri

sarang segala fitnah dan keji



Bicaranya lagi

usah hanya duduk meningkap

turunlah melihat jangan hanya bermakrifat

belajarlah mengukur mata dengan telinga

kerana bisik-bisik dusta tidak akan mengizinkan kita

merdeka dalam acuan mulia



Pesanannya yang terakhir

mulakanlah menetak meramu rumah akhirat

duduklah tenang bersama pisau

wali di tangan

meraut mengukirlah penuh cermat

transit di sini tidak lama

cukuplah sederhana sahaja molek rumahnya

di sana untuk tinggal selamanya

eloklah kita membina istana

indah dan kukuh tiang serinya



Aku tidak pernah ragu kebenaran kata-kata itu

kerana sejak dulu sudah ku tahu

aku adalah acuan sepatu ayahku!



Al-Fatehah untukmu bapakku...

Sabtu, Julai 08, 2006

July 08, 2006

Alam kanak-kanak yang bervariasi masih kurindui hingga ke saat ini. Bermain kejar-kejar dengan kawan-kawan, bermain polis sentri, baling botol, galah adang,bermain getah bulat, konda-kondi, rounders. Aku paling seronok bila bermain batu simbang (seremban) sebab aku memang terer dalam permainan itu. Paling syok bila dapat 'mendera' teman-teman sepermainan yang terpaksa menunggu lama ketika aku bermain. Aku akan bermain sehingga beratus-ratus markahku, sehingga teman-temanku menguap-nguap penat menunggu. Kadang-kadang aku terpaksa buat-buat 'mati' supaya mereka tidak bosan menanti giliran.Bermain laga biji getah pun seronok juga. Biji getah siapa yang pecah bila dilagakan, dialah yang kalah. Bila tiba musim permainan tu, jenuhlah kami jelajah setiap batang pokok getah untuk mencari biji-biji getah tu. Maka bertempurung tempurunglah biji getah tu kami bawa balik. Selain daripada melagakan biji getah tu, kami juga menggunakannya sebagai buah dalam permainan congkak.Aku masih mampu tersenyum apabila terbayang gelang-gelang getah yang penuh melingkari lengan kami apabila menang bermain getah. Gembiranya melebihi memiliki gelang emas. Siapa yang paling banyak getah di lengan, dialah yang terer. Malah bagi yang menang banyak getah, mereka akan menyusun dan merangkai getah itu panjang-panjang dengan kiraan 5,5 bahkan ada yg 10,10 dijadikan seperti tali dan di sandangkan ke bahu. Eksyenlah tu! :P Bagi yang kalah pula, ada yang sampai merajuk dan marah-marah dan menuduh kami yang menang ni pengelat,cheating, penipu. Maka berhari-harilah kami akan bermasam muka dan tak bertegur sapa.Tetapi selalunya setelah beberapa hari kami akan berbaik semula. Dan aku masih ingat betapa meriahnya bila musim buah cenderai tiba.Ketika abang-abangku sibuk membuat senapang buluh, aku akan meminta mereka membuatkan satu untukku. Tentu saja senapang milikku tidak sehebat senapang mereka yang dibuat dengan penuh teliti. Pada musim itulah setiap kali hendak keluar rumah, emak akan mengingatkan kami supaya memakai baju 'buruk' kerana nanti tentunya kami akan menjadi mangsa 'tembakan' menggila daripada peluru 'buah cenderai' teman-teman kami yang gila berperang. Getah cenderai tu pula kalau dah lekat ke baju memang takkan hilang. baju 'buruk' kami akan bertambah buruklah jadinya. Semakin comot, semakin perang. Tetapi itulah uniform rasmi yang mesti kami pakai sebelum pergi 'berperang'. Dulu waktu aku kecil, pakaianku selalunya mak sendiri yang jahit. Kami tak mampu membeli pakaian yang sudah siap dikedai. Daripada baju hinggalah ke seluar dalamku emak yang jahit, selalunya daripada kain jenis murah.Aku tak peduli tentang itu semua, yang penting aku ada pakaian untuk di pakai. Walaupun tak banyak, cuma beberapa helai yang akan dibasuh tiap hari dan pakaian yang sama akan kupakai pada tiga hari berikutnya.Maksudnya jika pakaian itu tidak dibasuh, hanya cukup untuk dipakai ganti selama tiga hari. Sebelum ini aku dan keluarga tinggal di Pahang.Di Balai Polis Lurah Bilut, Bentong Pahang. Kakak sulung dan Bang Lang tinggal di kampung dengan nenek kami yang cacat penglihatan. Manakala aku dan lima orang lagi abangku tinggal di berek polis bersama mak dan bapak. Banyak juga kenangan yang masih kuingat ketika di sana walaupun sudah berpuluh tahun lamanya. Aku akrab dengan seorang budak lelaki jiranku yang sebaya denganku. Aku dah lupa namanya tetapi kami memanggilnya "Pui'. Tadi aku cuba mencari gambar 'persandingan' kami yang dirakamkan oleh ayahnya, pakcik Din ketika kami berumur lima tahun. Pui siap bertanjak manakala akupula dengan baju senteng nampak pehahehehe.Aku tak jumpa gambar tu. Semakin hari aku semakin pelupa. Nantilah aku cari semula :)

Jumaat, Julai 07, 2006

July 07, 2006

Akhirnya sampai juga aku ke sini.Namun untuk memulakan satu catatan yang belum tahu di mana penyudahnya bukanlah satu kerja mudah. Terlalu sukar untuk mengingati dan menyingkap kembali waktu-waktu di mana segala keinginan menggebu-gebu, cita-cita bagaikan pohon rendang yang sentiasa subur.Impian masa depan seorang anak bongsu yang menyangkakan kehidupan ini menjanjikan segala harapan indah yang akan mampu digapai dengan mudah.Impian yang terlalu tulus,ingin menjadi 'seseorang'bagi menghapuskan segala rasa rendah diri yang mengekori tiap lengkahnya sejak lahir.Dan impian ituhampir pupus bagaikan debu di angkut puing entah ke mana. Bahagia singgah dimana-mana tetapi bagaikan sengaja menghindar daripada hadir dalam hidupnya. Rasanya melalui segala sengsara itu lebih mudah daripada mengungkapkannya semula.

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~