-->

Isnin, Mac 30, 2009

7 Mac - Petang Sabtu Yang Duka

4 Mac 2009.
Pagi yang tenang dibolosi panggilan daripada anak adik bongsu arwah abang ipar saya memberitahu ayahnya dimasukkan ke hospital. Ayahnya dikatakan tiba-tiba longlai di awal subuh lalu dikejarkan ke hospital dengan ambulan. Wahai Maha Pencipta... dugaan apa lagi yang ingin Engkau anugerahkan kami? Buruk dan baik kami akan persiapkan diri untuk menerima.

Adik ipar kakak saya terus koma sejak dimasukkan ke hospital. Doktor kata jantungnya lemah dan dkhuatiri otaknya dijangkiti kuman. Hari ke 3 dia di hospital, saya kakak anak dan menantunya berempat bertolak dari rumh dengan niat menziarahinya di hospital. Ketika sampai, adik beradik ipar kakak serta anak saudara sudah ramai ada di situ.

Ketika saya masuk ke wad rawatan rapi, abg saya yg sudah sampai dulu sudah ada di situ. Pada mulanya saya ingatkan adik ipar kakak saya sedang mengangguk apabila abg saya mengatakan sesuatu padanya kerana wajahnya terlindung dengan kepala abg saya. Rupa-rupanya dia bernafas dengan payah menggunakan tiub sehinggakan kepalanya terdongak ke atas ke bawah ketika bernafas. Abg saya rupa-rupanya sedang membacakan sesuatu di telinganya. Saya bersalaman dan berpelukan dengan isteri adik ipar kakak yangs setia menunggu suaminya. Kami berpelukan. Dia menangis dalam pelukan saya. Saya memujuknya dengan kata-kata yang positif. Saya memerhatikan wajah lesu biras saya dengan hiba. Walaupun dia hanya adik arwah abg ipar saya dan tidak begitu rapat, saya menganggap dia seperti abang saya sendiri. Lagi pula kami pernah membesar bersama ketika arwah bapa saya dan arwah ayahnya tinggal di berek polis yg sama ketika di Lurah Bilut sewaktu kami kecil dahulu. Di sanalah juga kakak saya bertemu jodoh dengan abangnya. Sayalah yang menjadi org tengah yang sentiasa di usung ke sana sini apabila arwah abang ipar saya nak berdating atau membawa kakak saya menonton wayang. Bila bkesempatan waktu petang arwah abg ipar saya akan membawa saya berjalan dengan motosikal bertangki besar yang saya dah lupa namanya. Saya masih ingat saya duduk atas tangki minyak itu ketika kami bersiar-siar.

Saya usap belakang isteri adik ipar kakak. Tangannya sebelah diletakkan di bawah tangan suaminya lalu ditutup dengan selimut suaminya. Dia sedikitpun tidak melepaskan pegangannya kecuali bila ada yg datang bersalaman dengannya. Saya keluar untuk memberi ruang kepada yang lain masuk menziarahi.

Saya beredar ke koridor di belakang wad tersebut di mana dari situ saya dapat melihat orang keluar masuk ke wad tersebut melalui cermin yang tidak diturunkn langsirnya. Ketika hampir 2/3 surah yassin saya baca, saya nampak doktor bergegas masuk. Tirai disekeliling katil ditarik. Masing-masing nampak cemas dan gelisah dan ada yang sudah mula menangis. Saya berusaha menyudahkan bacaan yassin saya dengan deraian airmata. Beberapa minit kemudian saya melihat doktor keluar menemui ahli keluarga yang sesak menunggu di luar wad. Apabila saya melihat doktor menggelengkan kepala, hanya innalillah INNALILLAH WA INNA ILLAIHI ROJI'UN ... hanya itu yang mampu saya lafazkan separuh berbisik. Ketika itu lebih kurang jam 6.20 ptg. Detik itu saya teringat...setelah subuh tadi ketika saya berdoa kepada Allah memberikan apa yang terbaik untuk arwah, wajah arwah terbayang jelas di minda saya. Wajah yang bersih dan tenang.

Saya mengimbas kembali pertemuan terakhir saya dengannya selepas pengebumian arwah abang ipar saya dua minggu yang lepas. Dia kata pada saya isterinya berminat dengan jam antik yg dilihatnya di tgh rumah. Saya katakan padanya " Eh mana boleh...sayang jam tu..antik tu. Blom sempat nak repair." Kemudian dengan nada gurauan dia menjawab, "Kalau dah minta tapi tak bagi, boleh curi tu!" Lalu kami ketawa. Itu saya komunikasi kami pada hari itu dan menjadi perbualan dan gurauan terakhir. Setelah itu kami pulang ke rumah kakak di Seremban. Sewaktu di sana dia tidur hingga ke maghrib. Memang wajahnya agak lesu waktu itu. Diam tak byk cakap walaupun dia sebenarnya peramah dan penuh dengan gurauan. Ketika dia dan keluarganya pulang pada mlm itu setelah kenduri tahlil, saya tidak menemuinya kerana saya tertidur selepas makan ubat kerana sakit kepala.

Saya menatap wajah isteri arwah yang tiba-tiba muntah-muntah. Mungkin kerana terlalu banyak menangis dan perut masuk angin akibat berhari-hari tak berselera makan. Saya melihat wajah anak-anaknya yang penuh tangisan seorang demi seorang. Saya melihat wajah sendu adik-adik arwah abang ipar saya yang harus menerima kenyataan kehilangan saudara sulung dan bongsu mereka dalam jarak hanya dua minggu. Saya perhati wajah Along, Angah, Anum, adik serta empat orang lagi anak angkat arwah. Rasa kehilangan mereka bagaikan meresap jauh ke dasar hati saya mengajak saya turut berkongsi kesedihan dan keperitan mereka. Perjalanan ayah mereka tamat di usia 48 tahun.

Selepas itu kami pulang ke rumah abg saya. Memandang kami hanya datang sehelai sepinggang, maka habislah pakaian kakak ipar saya yang lebih kurang sama saiz dengan kami menjadi mangsa. Kami tak membawa pakaian kerana tujuan kami hanya menziarahi arwah di hospital dan pulang semula ke Seremban selepas itu. Pada sebelah malamnya kami pergi ke rumah arwah untuk menghadiri tahlil. Selesai bertahlil kami lembali bermalam di rumah abang.

Keesokan harinya jenazah arwah selamat dikebumikan kira-kira pada jam 11 pagi. Satu-satunya anak perempuan arwah yg berusia 12 thn buat hal tak mahu meninggalkan tanah perkuburan. Puas di pujuk barulah dia menurut. Setelah itu kami kembali ke rumah arwah utk menghadiri majlis tahlil yang dibuat selepas zohor. Setelah semuanya selesai, tibalah sesi perpisahan.

Ketika bersalaman dengan angah, dia memeluk saya erat. Saya katakan padanya, "Angah kena kuat. Jaga mak baik-baik. Tengokkan adik-adik." Angah mengangguk-angguk laju sambil mengesat airmata. Ketika aku menghulurkan tangan kepada Along, Along terus mendakap saya erat. anak muda yang masih belajar di uia itu tersedu di bahu saya. Saya usap lembut belakangnya, saya katakan pada dia, "Along mesti kuat. Along kena kuat. Kalau along tak kuat, macam mana Along nak kuatkan emak dan adik-adik. Sabar, ini ujian Allah pada Along." Along mengangguk-angguk. Sebenarnya saya tidak menyangka mereka akan bertindak balas begitu terhadap saya walhal kami amat jarang bertemu. Pada ketika itu saya merasakan amat dekat dengan mereka. Anum dan adik mendakap saya dengan rentak yang sama. Begitu juga dengan isteri arwah. Saya memberikan pesanan dan nasihat yang mampu lahir dar bibir saya ketika itu. Meskipun saya sedar, kata-kata saya itu tidak setimpal dengan rasa kehilangan dan keperihan yang mereka rasai, saya amat berharap ia mampu membantu mereka membina ketabahan dan kekuatan baru untuk meneruskan kehidupan.

Mengimbas kembali kehidupan arwah... beliau merupakan seorang insan yang begitu mulia hatinya. Selain daripada 4 orang anak kandung yang ada, arwah juga membesarkan 4 orang anak arwah abang iparnya 3 orang lelaki seorang perempuan. Kerana itu dia harus bekerja keras untuk menampung kehidupan mereka. Dulu mereka memiliki kedai makan tapi sudah menjadin kelaziman segelintir golongan berniaga yang penuh dengki dan hasad, perniagaan mereka di peragamkan orang dan akhirnya tutup. Setelah itu isteri arwah bekerja dengan ibu saudaranya memasak untuk katering. Manakala arwah pula membuka perniagaan menjual pakaian bundel di uptown. Dengan sumber rezeki itulah mereka menampung keperluan keluarga besar mereka. Menurut isteri arwah, arwah tak pernah merungut penat atau berkeluh kesah dengan kehidupan mereka walaupun terpaksa bekerja keras sehingga ke awal pagi mencari rezeki.

Semoga Allah merahmati dan mengampuni roh arwah dan ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang dikasih, diampuni, dimuliakan dan diselamatkan. Amin...

Catatan: Sejak pemergian ibunda tercinta, saya semakin rajin menziarahi handai taulan yang sakit, yang meninggal dunia dan seboleh-bolehnya saya akan cuba menghadirkan diri ke tanah perkuburan sehingga selesai pemakaman. Ia mengakrabkan saya pada kesedaran bahawa kehidupan ini tidaklah abadi untuk dibanggakan, untuk diriakkan kerana akhirnya nanti pakaian kita hanyalah kain putih tak berjahit manakala rumah kita cumalah tanah asal kita dijadikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis je la apa nak tulis :p

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~