Saya tidak memberikan 'kasih' saya kepada sebarangan orang. Saya hanya memberikannya kepada yang sudi memberi dan menerima. Saya akan membalas kasih sayang mereka setara bahkan lebih daripada apa yg telah mereka memberikan kepada saya. Kasih sayang membuat saya rasa bahagia. Mereka datang kepada saya kerana kasih sayang, bukan kerana wang. Saya bukan orang senang, jauh daripada kaya. Kehidupan saya cuma seadanya dan cukup makan. Sedangkan mereka? Latar kehidupan mereka jauh lebih tinggi daripada saya!
Hairan! Aku pelik dengan kau! Saya menjawab: Apa yang hendak dihairankan atau dipelikkan wahai sahabat? Ini soal hati dan perasaan. Kalau kamu bertanya mengapa mereka menyayangi saya...saya tiada jawapannya. Jawapan itu ada pada mereka. Tetapi jika kamu bertanya kepada saya, mengapa saya menyayangi mereka, jawapan itu memang ada. Kerana mereka menyayangi saya! Bila mereka tulus memberi, saya akan tulus menerima serta memberi semula dengan keikhlasan yang serupa.
Mereka adalah adik-adik dan anak-anak yang saya sayangi. Jauh atau dekat, saya tidak pernah membezakan kasih sayang saya terhadap mereka. Setiap seorang daripada mereka mempunyai tempat yang istimewa di hati saya. Jika diibaratkan hati saya ini sebuah rumah, maka setiap daripada mereka memiliki bilik mereka sendiri, lengkap dengan perhiasan dan dekorasi sebagaimana yang mereka inginkan!
Saya dan mereka tidak pernah membabitkan hubungan jiwa kami dengan material. Hubungan kami adalah berteraskan kejujuran dan kasih sayang. Itulah yang mendekatkan kami. Tiada sebarang agenda tersembunyi.
Kepada mereka yang dekat tetapi merasakan dirinya jauh daripada saya, jangan salahkan saya. Saya ada di sini untuk kalian. Sentiasa ada. Malangnya kalian tidak melihat saya. Tidak meneliti saya pada sisi yang betul. Kalian hanya mengenali saya menerusi anggapan-anggapan dan cakap-cakap orang. Kalian tidak mahu mendekati saya, memandang saya dengan mata hati kalian. Kalian hanya berpegang kepada andaian rapuh orang jauh. Saya tidak meminta terima kasih atau pujian daripada kalian. Cuma...belajarlah untuk melihat kebenaran. Putihkan hati dan berhenti daripada menyimpan prasangka. Kalian tidak akan dapat melihat kejernihan air yang kalian sangka keruh lantaran hanya melihat dari jauh!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tulis je la apa nak tulis :p