Saya tidak pernah membenci abang...saya sayang abang. Cuma sikap kita yang amat bertentangan itulah agaknya penyebab garisan persaudaraan kita sering tak bertemu jalan selari...berbelok ke sana sini. Barangkali perasaan tidak puas hati dan kecil hati yang saya bawa sejak kecil menjadikan kita begini hari ini.
Memang ada beberapa peristiwa yang berlaku antara kita yang membuat saya amat berkecil hati...Peristiwa kecil tetapi amat mengguris hati adik bongsu abang ini ketika itu. Yang membuat saya terasa hati lalu membuat tanggapan...betapa hodoh, bodoh dan tidak berharganya saya di mata abang. Pada mata adik beradik kita yang lain.
Memang...antara kita tujuh beradik, memang saya yang paling kurang. Kurang paras, kurang bentuk, kurang rupa, kurang diberi perhatian. Hidup menyendiri dan tersendiri ketika mak dan bapak sibuk menoreh getah dan ke sawah. Hidup yang sunyi sehingga saya berangan-angan tinggi untuk menjadi bidadari.
Namun semua itu telah berlalu abang.Saya telah ikhlaskan segalanya antara kita. Abang tidak berhutang apapun dengan saya lagi. Saya maafkan luka perasaan saya pada abang. Hutang apapun telah saya ikhlaskan. Hampir setahun kita tidak berjumpa. Saya tidak menyangka abang akan meninggalkan suatu kenangan paling hebat dalam hidup saya.
Tanggal 21 Jun 2010... pukul sebelas malam... saya menerima berita kematian abang. Kami bergegas ke utara supaya tidak terlepas pengkebumian abang. Keesokan harinya...tanggal 22 Jun...ketika pesanan ringkas ucapan selamat hari lahir berebut-rebut masuk ke inbox saya...saya mengucup dahi sejuk abang seterusnya menghantar abang ke perhentian terakhir abang di pusara.
Nampaknya kita akan menjadi lebih akrab selepas kematian abang. Setiap 22 Jun menjelma...ia akan megingatkan saya kepada dua perkara...iaitu hari kelahiran dan pengkebumian. Menginsafkan saya bahawa setiap detik kelahiran manusia juga adalah detik kematian pada yang lain. Hidup dan mati adalah dua perkara yang begitu hampir kepada manusia. Amat sakit apabila kehilangan satu demi satu insan yang disayangi...
namun kematian adalah sesuatu yang pasti. Giliran saya juga akan menyusul nanti.
Diam tak diam...hari ini sudah genap enam bulan pemergiaan abang. Semoga roh abang di tempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang di ampuni, dikasihi, di kasihani dan diselamatkan. Semoga di terang dan dilapangkan pusara persemadian abang. Doa saya akan selalu mengiringi. Mudah-mudahan tenanglah abang dipersemadian. Amin....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tulis je la apa nak tulis :p