-->

Sabtu, Februari 05, 2011

Pernahkah anda nampak hantu?


Hantu sebenarnya tidak wujud. Itu antara pendapat yang pernah saya dengar dan baca. Dalam Al-Quran juga tidak pernah menceritakan tentang hantu kecuali banyak menyebut tentang betapa angkuh dan kufurnya iblis yang engkar tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam apabila diperintahkan oleh Allah. Adakah hantu yang selalu kita sebut itu termasuk dalam golongan iblis? Hanya Allah yang Maha Tahu.

Pernahkah anda berjumpa (terjumpa sebenarnya...siapa yang sengaja nak berjumpa dengan hantu kan?) hantu? Saya? Berapa kali yang benar-benar hantu saya tidak pasti sebab dalam banyak keadaan kita sendiri tidak tahu yang kita nampak itu hantu atau manusia sebenar. Tetapi apa yang pernah saya ingat sepanjang kehidupan ini ada dua kejadian yang masih jelas di ingatan sehingga saat ini. Ianya berlaku lama dulu ketika saya dalam lingkungan usia 8-12 tahun. Saya kurang pasti.

Ketika itu saya dalam perjalanan balik ke rumah daripada rumah nenek saya yang terletak di baruh. Jaraknya tidaklah jauh...tidak sampai 5 minit berjalan kaki. Bolehlah dikatakan sepelaung. Antara rumah saya dan rumah nenek cuma ada denai berjalan kaki yang berbelukar kecil di kiri dan kanannya. Juga terpaksa menempuh sebatang pokok kundang yang bersebelahan pokok rambai. Kemudian ada sebuah tembetung )sebuah parit kecil)yang harus dilalui.Ramai yang cakap tempat itu keras. Bila malam selalu saja ada suara mengilai di atas pokok tersebut. Saya kalau lalu di situ mesti berlari-lari anak atau berjalan laju-laju.

Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari selepas zohor seingat saya...saya berjalan pulang seorang diri. Saya berjalan cepat-cepat ketika melewati tempat itu tetapi kemudian terus memperlahankan langkah apabila melihat Acek saya, iaitu adik arwah mak muncul dari arah jalan yang bertentangan. Tentu saja dari rumah saya hendak pulang ke rumah nenek. Waktu itu Acek masih bujang dan tinggal dengan nenek.
Hati saya lega sebab kemunculan Acek telah menghapuskan keseraman saya melalui kawasan itu.

Saya tersenyum kepada Acek yang memakai t'shirt pagoda putih dengan kain pelekat berwarna putih juga yang diikat seperti cara mamak mengikat kain senteng nampak betis. Saya menegur Acek tapi Acek tidak menjawab. Dia hanya memandang sekilas.Matanya merah. Dia terus berjalan berpapasan lalu melewati saya. Saya agak kehairanan lalu berkata dalam hati..."Apa pasal Acek ni? Sombong sangat pulak dia!" Dalam pada itu saya menoleh ke belakang kerana tidak puas hati dengan sikap Acek saya itu. Tapi Acek sudah tidak kelihatan. " Lajunya dia berjalan?" detus hati saya tanpa sebarang rasa curiga atau perasaan takut di hati saya.

Apabila sampai di rumah, Acek baru saja keluar dari pintu rumah hendak balik ke baruh, rumah nenek. Acek bertanya, dari mana? Saya jawab, dari baruh! Acek beredar. Pakaian Axek tidak sama dengan pakaian 'Acek' yang saya temui sebentar tadi. Saya menjadi bertambah hairan. Disebabkan sikap saya yang lurus dan tidak suka berkongsi cerita dengan orang masa itu, saya diamkan saya peristiwa itu. Malah tidak terlintas pula di hati yang saya temui itu adalah hantu. Sehinggalah saya dewasa, apabila saya teringat semula peristiwa itu baru terfikir oleh saya bahawa yang saya temui itu adalah hantu.

Ada satu peristiwa lagi. Ketika saya dalam lingkungan usia yang sama. Waktu itu saya tinggal bersendirian di rumah. Hari sudah hampir senja. Pada masa itu cuaca memang cepat gelap. Pukul enam dah agak gelap. Arwah mak dan apak belum balik dari sawah. Abang-abang juga belum pulang dari bermain. Saya mencuci pinggan di dapur. Sedang leka mencuci pinggan, saya tersedar dan terasa-rasa seperti ada orang memerhati. Saya menoleh. Saya terkejut melihat satu kepala kuda dengan badan yang tersembunyi di sebalik dinding di belakang saya, menjenguk saya. Cuma sekilas. Saya hulurkan kepala menjenguk sebalik dinding. Tidak ada apa-apa atau sesiapa yang kelihatan. Apabila saya bangun lalu menjenguk keluar, saya melihat seekor kucing besar berdiri di bawah pokok kelapa di tepi rumah. 'Besarnya kucing,' hati saya berbisik. Saya memandang ke sekeliling. Apabila saya pandang semula kucing besar itu, saya mendapati 'kucing besar' tadi sudah tidak ada. Hanya ada seekor kucing biasa di situ. sampai sekarang saya tidak pasti samada itu hantu atau jelmaan atau mainan perasaan saya sahaja.

Itulkah dua peristiwa anih yang pernah saya mengalami. Selepas itu tidak ada lagi kejadian anih seumpama itu yang saya alami. Mujurlah dalam keadaan itu tidak ada pula rasa takut. Cuma sedikit perasaan hairan dan tertanya-tanya. Itu saja.walau apapun...saya tidak suka hantu! Saya berdoa agar tidak bertemu dengannya seumur hidup saya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis je la apa nak tulis :p

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~