-->

Isnin, Julai 18, 2011

Memaafkan dan sedia melupakan?

Saya sedikit teruja apabila membaca status seseorang di fb. "Sakit hati... tapi tetap menjadi positive dengan memaafkan..."

Pada dasarnya, saya seorang yang lembut hati dan mudah memaafkan. Seumur hidup saya, saya tidak pernah marah atau mendendami sesiapa. Apatah lagi membenci. Semua itu tiada dalam kamus hidup saya. Tidak kira walau apapun dan berapa pun harga yang harus saya bayar atas kelukaan dan kesakitan yang dilemparkan kepada saya. Namun satu peristiwa yang berlaku tiga tahun yang lalu agak menggugat kelembutan hati saya. Penghinaan daripada seseorang yang 'dekat' yang selama ini saya menghormatinya, bahkan sering membela dia daripada sindiran dan tohmahan keluarga benar-benar membuat saya rasa betapa rendahnya nilai diri saya di matanya. Meskipun dia telah memohon maaf namun rasa sakit dan terluka itu sentiasa tenggelam timbul. Tidak pernah hilang. Saya telah cuba untuk memaafkan dia.

Ya... saya telah memaafkan dia. Tapi maaf juga kerana saya masih belum dapat melupakan setiap patah kata-kata yang pernah dilemparkan kepada saya. Barangkali saya mampu memaafkan dia tapi ternyata memaafkan itu bukan jaminan untuk melupakan sakit yang ditinggalkan akibat kata-kata dan perbuatan yang amat mengguris hati. Saya tidak benci dia. Tapi saya tidak mampu menipu hati saya dengan bermuka-muka dan berpura-pura mesra. Buat pertama kalinya, seseorang telah berjaya menjadikan saya seorang wanita yang kejam. Tahniah untuk anda Puan A! Saya telah memaafkan anda...tapi saya belum dapat melupakan wajah marah menggila anda dengan tubuh menggigil memarahi saya seperti orang sedang kerasukan! Kata-kata anda penuh penghinaan. Saya tidak menyangka ke tahap itu anda menilai saya. Saya tahu saya tidak punya apa-apa. Tidak seperti anda yang mempunyai segala kesenangan dunia. Tidak! Saya bukan seperti apa yang awak kata atau sangkakan. Awak silap menilai saya. Memang kita pernah rapat dan pernah saling  berkongsi cerita suka dan duka. Tapi keakraban itu mungkin tidak akan berulang lagi kerana sehingga hari ini hati saya masih terluka. Demi ikatan keluarga, saya tetap akan tersenyum dan bermanis muka. Namun segalanya tidak akan sama seperti dulu. Tidak akan!

Catitan: Ini bukan dendam. Luka terlalu dalam. Bukan mudah bagi saya.  Memaafkan bukan bererti melupakan. Saya masih belum bersedia untuk 'melepaskan'...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis je la apa nak tulis :p

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~