-->

Selasa, Oktober 04, 2011

Sederhana Itu Lebih Indah...

Tujuan entri ini bukanlah untuk mengumpat atau mengutuk sesiapa. Ia hanyalah sekadar pandangan peribadi setelah membaca pelbagai pro dan kontra tentang perkahwinan Norman dan Memey yang ditaja dengan nilaian RM12 juta.

Saya tidak salahkan Norman, tidak juga Memey. Siapa yang tidak mahu ditaja? Namun sebagai pasangan yang ditaja, Norman dan Memey seharusnya meminta hak untuk bersuara dengan beberapa syarat yang juga harus dihormati oleh penaja. Atau pasangan itu memang tidak diberi hak untuk mengemukakan pendapat sekadar angguk dan mengiyakan sahaja?

Pasangan itu orang Melayu dan beragama Islam. Itulah isunya di sini. Saya bukan mahu berlagak alim atau murni. Namun acara itu akan menjadi lebih santun dan harmoni jika ia berteraskan akar agama dan budaya. Jika ikhlas penajaannya untuk membuka mata masyarakat dunia kepada budaya negara, kenapa harus bergaun hingga menampakkan lutut? Bukankah manis dengan berbaju kurung atau berkebaya bukanlah nampak lebih sopan? Jika pun ingin menaja gaun pengantin, perlukah yang mendedahkan aurat? Sedangkan gaun pengantin Kate Middleton jauh lebih sopan dari itu.

Tak perlulah ada pengiring-pengiring, kalau nak juga apa salahnya yang berpakaian sopan berbudaya, tak perlulah dedah sini dedah sana. Mengenai lagu pula, kenapa tidak diringi dengan lagu-lagu tradisional? keroncong atau dondang sayang misalnya. Kenapa pula choir yang memang bukan lazimnya mengiringi mempelai yang berumbikan sambal belacan?

Tapi begitulah! Bangsa kita ni kebanyakannya 'penurut' dan 'patuh' tanpa sebab. Selain menyediakan batang tubuh untuk disponsor, ia juga memerlukan bijaksana. Saling memberi dan menerima. Aset pasangan adalah kontroversi dana 'glamour'. Jika penaja mahu menumpang semangkuk atau mengambil kesempatan menangguk di air keruh, janganlah beri mereka kebebasan mutlak untuk memperguna. Perlu bijak juga mempergunakan mereka demi prinsip manusia beragama dan berbudaya.

Jika penajaan ditarik balik kerana banyak songeh? Apalah sangat kan? Tanpa penaja majlis berlangsung juga. Biar sederhana namun disitulah letak keberkatannya. Jika hanya gah pada nilai dan harga tapi prinsip dan maruah terlepas dari ikatan...apalah sangat 'gaun yang baru keluar dari mesin basuh' bak kata chef Wan itu hendak dibangga-banggakan?

Semoga peristiwa ini menjadi teladan kepada sesiapa saja yang mahu mengadakan wedding of the year. Usah asing dan campakkan agama dan budaya apabila melihat kilauan indah permata tajaan. Jangan sekali-kali lupa di mana langit di mana bumi, di mana maruah di mana megah. Bukan itu nilaian diri kita sebagai manusia.

Walau apapun...doa saya agar pasangan ini bahagia ke akhir hayat mereka. Tiada manusia yang sempurna. Belajarlah daripada kesilapan kita juga dari kesilapan orang lain. Barangkali ada hikmah disebalik segala yang khilaf.

Dengarnya pakaian pengantin tajaan itu akan di pamerkan di Muzium Negara. Adoilahai... apa barang???

p/s: Sekali lagi...bukan mengumpat, sekadar pendapat ;)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis je la apa nak tulis :p

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~