-->

Selasa, Ogos 28, 2012

Selamat Hari Lahir...

Selamat Hari Lahir Al. Selamat Hari Lahir Eri. Selamat Hari Lahir Srie. Selamat Hari Lahir Siti. Selamat Hari Lahir Brie. Mama menyayangi kalian. Kalian sentiasa segar dalam doa dan ingatan mama. Salam sayang untuk kalian sehingga ke penghujung usia. Semoga membawa ke syurga...

Isnin, Ogos 27, 2012

Saat akan berangkat...

Petang tadi ketika sedang tekun menebak tanah untuk menanam pepohon baru yang saya ambil dari rumah ibu saudara saya sewaktu kunjungan berhari raya kelmarin, saya mendengar suara tangisan dan rintihan jiran warga tua 'induk'. Usianya hampir mencecah 90 tahun. Memang dia sudah uzur benar. Matanya sudah rabun, pendengarannya sudah kabur dan sudah tidak berupaya lagi bergerak ke sana kemari kecuali digendong oleh anak cucunya.

Kedengaran sendu hiba suaranya berbicara. Walau kurang jelas saya dapat mengagak beberapa butirannya.
"Ntah dapek ntah tidak balik ke sini lagi... Tak payahlah bawa den balik biarlah mati kek sini.Huhuhuhu..." Rintihan dan tangisannya berterusan ketika dia dalam gendongan cucunya yang membawa dia ke kereta. Sehingga cucunya mendudukkannya ke dalam kereta rintihannya berpanjangan sehingga pintu kereta ditutup kemudian enjin dihidupkan.

Saya berjiran dengannya sejak kecil. Dia amat menyayangi kucing. Rajin bercucuk tanam ketika usia muda sehingga ke tua membawa kepada keuzuran. Dahulu dia tinggal seorang diri. Saya dan arwah emaklah selalu menjadi pemerhati dan pemantau ketika anak cucunya tiada di sisi. Setelah dia mula uzur, anak cucu membawanya tinggal bersama mereka di Kuala Lumpur. 

Dahulu dia selalu melahirkan rasa kesalnya kerana anak cucu tidak mahu pulang bermastautin di kampung. Anak-anak pula dengan alasan masing-masing, sudah ada rumah sendiri...tidak tahu dan tak biasa dengan kehidupan di kampung.

Menurut anak yang selalu menemaninya, dia bercerita tentang ibunya yang selalu bising hendak pulang ke kampung tetapi jarang dapat dipenuhi kehendaknya oleh pelbagai sebab.

Saya sempat membayangkan diri saya jika ditakdirkan dipanjangkan usia mencecah ke umurnya. Tentu sunyi dengan kehidupan yang dilalui. Tidak lagi mampu mendengar apa-apa. Keindahan pemandangan alam tidak dapat lagi dinikmati mata.Anak-anak kena menjerit ketika berbicara untuk menjawab setiap kata dan tanya.
Alangkah sunyi dan sepinya dunia seorang tua yang sedikit demi sedikit diambil kembali segala kenikmatan pancaindera yang pernah dianugerahkan Allah kepadanya.

Kitaran nasib tidak mengira sesiapa. Saya bermohon agar Allah mengasihani saya. Tidak menarik segala kurniaannya sebelum saya menutup mata. Saya ingin terus segar meratibkan zikir dan doa ketika menunggu ajal saya tiba. Kasihani dan makbulkanlah doa saya Wahai Yang Maha Pencipta Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Berkuasa Yang Maha Berhak mengambil apa saja milik pemberian kepada makhlukNya dalam sekelip mata!




Jumaat, Ogos 10, 2012

Hasbi Rabbi JallAllah...

Hasbi Rabbi JallAllah,
Cukuplah Tuhan bagiku Allah Yang Maha Agung

Ma Fi Qalbi Ghayrullah,
Tiada yang lain dihatiku kecuali Allah

Nur Muhammad Sallalah,
Cahaya Muhammad selawat dan salam ke atasnya

La Ilaha Ilallah.
Dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah

http://www.youtube.com/watch?v=qTkRM_Wkfu4&feature=related

Selasa, Ogos 07, 2012

Bukan Kerana Nama...

Suatu masa dahulu saya memang amat teruja apabila melihat nama saya terpampang di skrin televisyen.Penulis skrip: .... ...... ... ..... Satu nikmat dan keseronokan yang tidak terkata walaupun tidak ramai yang mengenali saya. Tapi setelah lebih limabelas tahun, nama itu bukan lagi satu keutamaan. Namun begitu setiap pengkarya pastinya mahukan pengiktirafan pada setiap karyanya.

Jika penerbit bangga menayangkan namanya sebesar alam pada kredit setiap drama. Nama pengarah terpapar jelas dan gah sebagai peneraju utama pada kredit permulaan dan pengakhiran bersama nama-nama besar pelakonnya, di mana letak nama penulis skrip yang menjadi tunggak terhasilnya sesebuah karya?Adakah drama yang hebat tanpa skrip?

Saya pernah mengalami situasi di mana karya saya mendapat pujian malah penerbitnya mendapat beberapa anugerah termasuk drama terbaik dan penerbit terbaik. Malah pengarah terbaik juga menerusi karya yang saya hasilkan. Saya belum pernah memenangi dalam kategori yang saya ceburi. Tidak mengapa. Saya redha. Mungkin saya belum cukup terbaik untuk memenangi sebarang anugerah.

Namun wajarkah nama saya dieja salah? Adilkan nama saya langsung tidak dimasukkan ke dalam kredit seolah-olah ia bukan karya saya sedangkan saya bersengkang mata menyiapkan karya tersebut sehingga demam-demam dan sakit kepala?

Ini bukan soal nama tapi soal hak dan nilai diri sebagai penulis.

Malam tadi selesai tayangan, saya hantar sms ringkas kepada penerbit. "Nape xde langsung krdt utk akak?"

Lama baru dia membalas. "Kalau kak perasan semasa kredit title akhir ada potongan nama kak semasa logo cerita utk cerekarama tv3 potong saya pun perasan maaf kak esok saya nak call tv3 cerita ini bny dugaaan  sori kak"

Saya jawab. "Kalau letak kat krdt title masa starting skurang2nya xlah tcicir & rasa penat lelah x dihargai."

Jawapan "Jgn mc tu kak saya mhargai kak 3kali kena transper"

Saya tak jawab.

"Sori kak".

Saya tetap tidak peduli. Sejak dulu saya memang tidak begitu suka cara dia. Dia mahukan karya yang bagus. Selalu mendesak yang terbaik. Inginkan pujian untuk setiap penerbitannya tetapi adakah dia menghargai setiap kata dan baris ayat yang amat payah untuk saya garapkan tanpa kurnia dan belas ihsan Maha  Pencipta?

Saya bukan inginkan glamour saya cuma inginkan sedikit rasa hormat bagi setiap karya yang saya hasilkan. Daripada berpuluh nama yang berbaris, logikkah nama penulisnya diabaikan? Atau...sengaja dicicirkan?


Isnin, Ogos 06, 2012

Anda Hebat Dan Menyukai Maksiat?

Siapa kata tak boleh buat maksiat? Boleh saja sebenarnya. Boleh sangat! Tapi ada syarat–syaratnya. Syaratnya tak banyak. Cuma lima syarat saja. Jika anda hebat dan mampu melepasi 5 syarat itu...silakanlah. Maksiat itu milik anda!

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka bolehlah kamu melakukan maksiat.”

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”

Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.”

Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”

“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?”

“Yang kedua,” kata Ibrahim, “Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!”

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.

Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?”

“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu.

Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!”

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”

“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan,“Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh.”

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”

“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”

“Baiklah, apa syarat yang kelima?”

Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti,jangan engkau ikut bersamanya.”

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata,“Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah.” Katanya sambil teresak-esak.

Sumber: Kembara Ilmu @ http://albiraki.blogspot.com/

Dengan IzinNya...

Jika berkesempatan marilah kita bersama-sama menonton drama bertajuk Dengan IzinNya malam ini 6/8/2012 jam 9 malam di TV3 :)

Doa Ramadan Hari ke 19

Khamis, Ogos 02, 2012

.......

Siapa yang sudi datang akan saya tatang...siapa yang ingin pergi...silakan! Saya tidak akan menentang, merayu atau berkata apapun lagi. Tafsirlah sesuka hati kalian ingin mentafsir. Sangkalah seburuk mana hati anda tergamak berprasangka. Saya sudah letih. Saya tidak ada masa lagi untuk menjaga hati orang sentiasa. Hati saya pernahkah kalian letak dalam bejana perak bersalut sutera? Saya sedaya mungkin akan menjaga silaturrahim sesama kita agar sentiasa elok dan lancar. Tapi jangan harap saya akan menjadi orang yang bermuka-muka..bejat berpura-pura. Saya adalah saya dan saya adalah manusia...bukan boneka ciptaan manusia!

Tips Menghafal Muka Surat Al-Quran...

PELBAGAI cara untuk kita untuk mempastikan kita membaca Al-Quran pada perhentian yang tepat. Atau kadang kala kita ingin mencari juzu secara cepat dan tepat dengan meninggalkan pelbagai tanda.
Di Bawah adalah tips menghafal “muka surat ” Al-Quran yang sangat menakjubkan. Di sini  ingin mengongsikan satu formula untuk menghafal halaman Al-Quran. Hanya untuk Al-Quran yang standard sahaja.

Contoh 1
Jika anda ingin mengetahui Juzu’ 5 di halaman ke berapa:
5-1 = 4, 4 perlu didarab dengan 2 jadi 4 x 2 = 8
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzu’ 5 adalah pada halaman 82
Sekarang lihat pada Quran dan lihat Juzu’ 5 bermula pada halaman 82. Menarikkan?
Contoh 2
Jika anda ingin mengetahui Juzu’ 10 di halaman ke berapa:
10-1 = 9, 9 perlu didarab dengan 2 jadi 9 x 2 = 18
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzu’ 10 adalah pada halaman 182

Contoh 3
Jika anda ingin mengetahui Juzu’ 23 di halaman ke berapa:
23-1 = 22, 22 perlu didarab dengan 2 jadi 22 x 2 = 44
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzu’ 23 adalah pada halaman 442
Subhanallah, memang menakjubkan. Ajarkan pada anak-anak kecil agar mereka sentiasa membaca Al-Quran. Diharap ia memberi manfaat kepada kita, lebih lagi pada bulan Ramadhan ini.

Sumber: http://www.mysuara.net/

Rabu, Ogos 01, 2012

Kehilangan...

Kesakitan menghadapi kehilangan bukan lagi satu bebanan...
saya tidak lagi menghitung segala kehilangan...
saya juga tidak mengimpikan untuk mendapatkannya semula...
berapa detik saja lagi saya mampu berdiri...
sebelum saya 'menghilang' dan tidak lagi kembali
akan hilang daripada sebutan
bibir-bibir yang pernah mengaku menyayangi...
pada hati dan rasa yang pernah  mengasihi...
seperti dunia...rasa juga tidak kekal...
perlahan-lahan kita akan saling melupakan...
cepat atau lambat...
atau sehingga ke hujung hayat...
bergantung pada mahal murahnya rasa yang ada...

Usah bersedih
Sememangnya begitulah kakikatnya
Suatu ketika
antara kita
tidak akan ada lagi apa-apa!



.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~