BORAK LOKASI: BERDAKWAH MENERUSI DRAMA
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
Berbanding orang lain, pengarah dan pelakon Khir Mohd Noor agak jarang mengarah drama iaitu kira-kira enam telefilem setahun. Selain sibuk menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia (Profima), Khir bukan jenis yang suka memanjat tangga syarikat produksi untuk meminta ‘job’.
Baginya, rezeki ada di mana-mana dan dia berbesar hati sekiranya penerbit menawarkan peluang itu berdasarkan kemampuannya. Justeru, apabila diberi kepercayaan mengarahkan telefilem Bibir Tanpa Zikir, dia yang pernah menimba pengalaman dari bawah sebagai pengurus produksi, cuba menghasilkannya agar menjadi sebuah garapan terbaik.
“Peluang mula dibuka oleh Kuasatek Pictures Sdn Bhd sehinggalah saya menimba pengalaman luas dalam bidang pengarahan. Sekarang peluang diterima daripada Enuja Production Sdn Bhd pula sejak dua tahun lalu. Termasuk telefilem ini, saya sudah empat kali bekerjasama dengan mereka.
“Semua drama ini bergenre berat dan ini antara yang digemari saya. Apatah lagi saya suka buat drama berat yang ada elemen Islamik di dalamnya. Berdakwah tak semestinya menerusi ceramah. Cara orang seni berdakwah ialah menerusi penceritaan. Orang yang buat keburukan akan menerima pembalasan terhadap perkara yang dilakukannya,” katanya di lokasi penggambaran di sebuah hotel bajet di Prima Sri Gombak, baru-baru ini.
Menurutnya, jalan cerita Bibir Tanpa Zikir yang bagus memudahkan dia menterjemahkan idea untuk memasukkan elemen-elemen Islamik yang difikirkan perlu. Bagaimanapun ia dibuat menerusi perbincangan bersama dengan penerbit dan semua yang terbabit dalam telefilem ini.
“Skripnya membawa mesej berguna mengenai seorang isteri yang derhaka kepada suaminya yang juga seorang mualaf. Saya tahu kehendak skrip dan perlu tokok tambah mana-mana babak yang sesuai. Ini boleh menimbulkan tarikan untuk penonton mengikuti drama ini.
“Dalam pada itu saya dibantu oleh penampilan pelakon yang bagus iaitu Lisda, Adam Corrie dan Normah Damanhuri yang berlakon. Pelakon yang bagus akan memberikan hasil yang bagus. Malah mereka akan bagi lebih lagi. Secara tak langsung ini akan mencantikkan lagi hasil telefilem ini. Kalau barisan pelakon tak kuat pula, saya bertanggungjawab menjadikan mereka lebih baik,” katanya.
Secara kebetulan, penggambaran yang baru memakan masa dua hari itu ketika itu berdepan masalah yang tidak dijangka. Pelakon wanita asal yang memegang watak utama menarik diri secara mengejut sebelum digantikan oleh Lisdawati. Bagi Khir segala yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.
“Saya anggap ini adalah masalah yang sinonim terjadi dalam pembikinan telefilem. Ada pelakon yang tak yakin dengan diri sendiri dan akhirnya bertindak tinggalkan set. Syukur kerana Lisda yang menggantikan tempatnya bukan calang-calang pelakon. Dia dapat menggalas tanggungjawab dengan baik biarpun menerima tawaran pada saat akhir.
“Disebabkan masalah ini, kami terpaksa buat penggambaran semula sebanyak 25 peratus. Tak dinafikan ini agak menyusahkan tapi sebagai pengarah saya kenalah selesaikan masalah dan bukannya mencetuskan lagi masalah. Saya kena bertindak sebagai kapten yang baik.
“Penggambaran yang sepatutnya memakan masa selama enam hari juga terpaksa ditambah menjadikannya sepuluh hari tapi saya beruntung kerana kru-kru yang sepatutnya sudah ambil ‘job’ lain masih setia untuk menghabiskan projek ini. Cuma, saya anggap pelakon yang buat hal begini tak boleh pergi jauh dalam kariernya,” katanya.
Khir berbangga kerana setiap telefilem arahannya berjaya dicalonkan dalam majlis anugerah, tetapi tidak bernasib baik untuk menang. Namun dia berbangga kerana sekurang-kurangnya hasil kerjanya membuka mata penggiat industri seni tempatan.
“Seperti yang saya kata tadi, setiap kali mengarah saya akan buat yang terbaik. Paling penting kualiti produk mesti ada dan mesejnya perlu sampai kepada penonton. Saya suka dengar orang bercakap mengenai cerita arahan saya lebih-lebih lagi orang kampung.
“Saya pernah masuk kampung dan dengar orang bercerita mengenai telefilem arahan saya, sedangkan mereka tak kenal saya. Ini sudah cukup memberikan kepuasan. Selalunya inti pati telefilem yang disentuh biasa berlaku dalam masyarakat bandar kerana di kampung jarang berlaku. Kes-kes begini kebanyakannya berlaku di bandar,” katanya.
Penerbitnya Zainuddin Mohd Ismail berkata, dia cuba mengutarakan kisah mualaf kerana jarang diangkat dalam drama tempatan. Bagaimanapun kelainan ditampilkan apabila mualaf ini berdepan ujian akibat sikap isterinya yang melanggar hukum agama.
“Wanita ini berkahwin dengan mualaf untuk lari dari kongkongan keluarga. Apabila bebas daripada keluarga dia terus hidup dalam dunia sosial dan mengabaikan suaminya yang sepatutnya diberi bimbingan. Namun si suami sangat kuat berpegang teguh kepada ajaran Islam dan sabar berdepan kerenah isterinya.
“Cerita ini sememangnya bawa pengajaran dan mesej kepada masyarakat. Elemen di dalamnya pernah berlaku dalam realiti kehidupan sebenar. Saya agak terkilan kerana pernah rancang nak berikan watak ibu kepada Maimon Mutalib. Namun apakan daya dia pergi meninggalkan kita sebelum penggambaran dimulakan.
“Syukur kerana kak Normah sudi menggantikan tempat arwah. Biarpun kak Normah sibuk dengan penggambaran lain, dia tetap sudi meluangkan masa kerana sudah lama kenal saya,” katanya.
Amira persenda agama
Bibir Tanpa Zikir mengisahkan mengenai seorang wanita bernama Amira. Ibu bapanya Hawa dan Osman tergolong dalam golongan alim. Sejak kecil Amira dan abangnya Hisyam dididik menunaikan solat dan asas agama yang baik.
Bagaimanapun ketika meningkat remaja Amira mula memberontak. Ini disebabkan sikap ibu bapanya yang terlalu memaksa dalam urusan membabitkan agama.
Sikap mereka juga keras kerana apabila dia liat bangun menunaikan solat Subuh, ibunya akan memaki hamun dan memukul kepalanya dengan bantal. Rumah mereka akan bising dengan suara ibunya yang lantang mengejutkan mereka setiap pagi. Ini sekaligus membuatkan dia benci dan bersolat hanya kerana terpaksa.
Sebaik tamat pengajian, Amira berkahwin dengan kawan abangnya, Bakhtiar Lim Abdullah, seorang mualaf yang berasal dari keluarga berada. Bakhtiar menganggap perkahwinan ini atas dasar agama dan cinta, manakala Amira pula menganggapnya sebagai jalan untuk melarikan diri daripada kongkongan keluarga.
Dia menyangka suami mualafnya itu boleh dipandang remeh dan boleh diperkotak-katikkan. Amira sering menipu suaminya dan apabila bekerja pergaulannya semakin meluas. Dia lebih suka berkawan dengan rakan-rakan yang terlebih bersosial. Dia hanya akan bertudung di depan suami dan keluarganya dan apabila bertemu rakan-rakan tudung akan dibuka.
Amira semakin hanyut dalam dosa dan kepura-puraannya. Dia lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah bersukaria dengan kawan-kawannya. Amira juga bermewah dengan pemberian suaminya dan sudah pandai meninggikan diri. Paling drastik dia berani membuka terus tudung yang dipakainya.
Setiap teguran suami dan keluarga sudah tidak dihiraukan lagi. Setiap kali dinasihatkan mengenai agama, dia akan mengejek dan mentertawakan mereka. Bahkan dia juga lantang mengkritik bunyi azan yang berkumandang. Tahap paling kronik, dia terjebak dengan zina dan minuman keras. Sering bertukar-tukar pasangan tidak kira tua muda atau bangsa.
Nafsu terhadap suaminya juga tertutup sama sekali. Namun Bakhtiar sentiasa mengalah dan berbaik sangka dengan menganggap semua itu adalah ujian Allah SWT untuk menduga kesabaran dan keimanannya. Dia tidak jemu berdoa agar isterinya kembali ke pangkal jalan.
PROFIL PRODUKSI:
Telefilem: Bibir Tanpa Zikir
Penerbit: Zainuddin Mohd Ismail
Penerbit Eksekutif: Mohd Ismail Hassan Ali & Rahmathun Nisa Abdul Wahab
Terbitan: Enuja Production Sdn Bhd
Pengarah: Khir Mohd Noor
Penolong Pengarah: Fakhry Amin
Penulis Skrip: Siti Rohaya Abu Samah
Pengurus Produksi: Adiex 5zal
Penolong Pengurus Produksi: Yusnita Yusof
Jurukamera: Botuck Fairuz
Pembantu Jurukamera: Ajak Zin
Jururakam Bunyi: Fauzi Farook@Pojie
Pencahayaan: Sharafi Muse
Pembantu Pencahayaan: Mohd Kamil
Konti: Arien Zul
Solekan & Pakaian: Sell-A- Pro Entertainment - By Azri Seman
Pembantu Solekan & Pakaian: Aney Rahmat
Propmaster: Nasrul Ayie
Prop Man: Ayie
Runner: Amin Delay
Handy Man: Apit Peta
Akaun: Rabiatul Adawiyah Mohd Ghazalee
Pentadbiran: Naizatulismani Ismail
Grip: Shah Rizal Ismail (Belon)
Pelakon: Lisdawati (Amira), Adam Corrie (Bakhtiar), Normah Damanhuri (Hawa), Hisham Ahmad Tajuddin (Osman), Adrea Abdullah.
Salin tampal dari: http://www.adamfazi.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Tulis je la apa nak tulis :p