-->

Sabtu, Jun 06, 2009

Harilahir arwah Bonda...

Hari ini sepatutnya harilahir Bonda saya yang ke 76. Rindu yang tidak pernah beku menggamit saya untuk sentiasa pulang, sentiasa menitiskan peluh untuk mempastikan rumah kita sentiasa bersih dan redup pada setiap mata yang memandang. Saya takkan membiarkan rumah itu usang dipenuhi lalang.

Mak tau? Selasa lepas lepas kami (saya dan kakak) pulang. Kami mengemas luar dan dalam. Saya mengemas di depan, akak mengemas di belakang. Saya hanya benarkan akak buat kerja yang ringan2. Kaut sampah, membuang kerisik daun pisang. Saya pula mencabut lalang, membersihkan rumput disekeliling pokok, mencantas pepohon, memotong rumput. Akak cergas bukan main. Kejap-kejap hilang. Puas saya tinjau sana sini rupa-rupanya akak masih di luar. Bila saya amboih amboihkan dia, akak cuma sengih.
Disebabkan kami sama-sama 'uzur' tak perlu berhenti solat, lagi meriahlah kami mengemas :p

Durian dah gugur. Setiap pagi saya akan susup-sasap dalam semak mengutip durian. Kalau ikutkan hati tak berani saya menempuh kebun yang semak-samun. Namun demi 'semangat durian' saya cekalkan hati. Ehehehe. Nasib baiklah bawah pokok tu tak semak, jadi senanglah saya mengutip durian yang terdampar cantik di atas tanah.

Bila malam, bila badan dah bertemu tilam kami akan saling berpandangan dan saling mengadoih kemudian sama-sama ketawa. Kami bergilir menggosok balm di belakang, lengan dan kaki...lenguh-lenguh. Siang tak hinggat! Bila malam mengidap! Ekekeke.

Petang semalam kami pulang ke rumah akak sebab esok akak nak buat kenduri tahlil arwah suaminya. Diam tak diam sudah lebih seratus hari arwah pergi. Waktu berlalu begitu cepat sekali.

Minggu depan kami akan pulang semula. Harap-harap durian akan habis gugur sebelum tempoh cuti sekolah berakhir. Cukup tahun nanti insysAllah saya dan kakak akan menetap di kampung. Rumah kakak di sini akan akak sewakan pada anak lelaki saya yang bakal menimang cahaya matanya menjelang Julai nanti.

Nota: Katil mak kosong... kerusi goyang diam... dalam bingit hati saya sunyi... dalam tenang jiwa saya sepi... ibu sudah pergi... namun saat-saat indah kita akan sentiasa menari-nari dalam memori. Al Fatehah untuk Bonda tercinta... kasih sayang anakanda takkan pernah reda.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis je la apa nak tulis :p

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~