-->

Ahad, Ogos 23, 2009

Balik Kampung....


Home sweet home... Petang ini saya akan pulang. Dah dua minggu tak balik kampung. Tentu seronok habiskan masa seminggu di kampung. Lagi-lagi dalam suasana hujan dan sejuk macam ni. Tentu nyaman sekali. Udara kampung tentu mampu menyegarkan jantung saya. Apa yang paling saya rindukan? Aroma rumput basah. Melihat anak-anak cili yang saya tanam tumbuh rimbun. Melihat embun yang bergantungan di hujung daun, seperti kristal dipancar matahari pagi... gugur satu-satu ke bumi. Tentu pokok-pokok bunga saya di tangga kering kontang semua. Mudah-mudahan tempias hujan sampai pada pasu-pasu yang jauh.
Barangkali puasa tahun ini agak nyaman kerana hujan sebab kemarin ujan mula turun pada malam jumaat. Arwah mak dulu kata, kalau mula ujan malam jumaat...maknanya akan berterusan hujan. Wallahuaklam. Tapi selalunya begitulah. Harap-harap juga begitu. Jadi taklah panas sangat taklah kering sangat sepanjang bulan puasa. Cuma kalau boleh biarlah hujan pagi atau tengahari. Kalau hujan petang, kesian pula pada para peniaga pasar Ramadan walaupun kebanyakan mereka jenis mencekik darah. Harga mahal tapi langsung tak sedap! Nak beli makanan di Pasar Ramadan kena pandai cari tempat dan orangnya. Kalau tidak...sendiri mau ingatlah kan Nabil? :p
Jadi jumpa lagi minggu depan ya? Balik kali ni saya nak berehat. Berehat minda maksud saya. Rehat fizikal? Sudah tentu tidak! Banyak kerja nak buat. Turunkan langsir, basuh cadar, lap tingkap, cat tangga dan pintu pagar yang dah berkarat. Bersihkan keliling rumah. Rumput dah panjang semula. Pokok-pokok bunga dah mula meliar. Larat ke tu? Ntahlah! Buat setakat yang terdaya je la kan?
Selamat berpuasa semua! Jumpa lagi jika jantung ini masih berdegup lagi. InsyaAllah.

Catatan: Untuk anakku 3A...Speak it out! Diam dan pendam itu sebenarnya yg akan membunuhmu, anakku!

Rabu, Ogos 19, 2009

Happy Birthday My Luna Ilena...

Selamat Harilahir untuk anak kesayangan mama walau di mana pun anakanda berada. Walau apapun yang berlaku antara kita... walau apapun yang mereka kata tentang anakanda... tentang kita... percayalah... anakanda akan sentiasa menjadi anak kesayangan mama sampai bila-bila. Anakanda akan sentiasa dalam doa dan ingatan mama.



Lots Of Love...
Mama,
Ur Sole Mio

Khamis, Ogos 13, 2009

Pergi Tak Kembali...



Innalillahi wa inna ilaihi roji'un...
Sebutir lagi permata telah kembali ke pangkuan Illahi. Adakah persada nasyid akan sama indah getar iramanya tanpa Ustaz Asri? Bagi saya Ustaz Asri adakahlah seorang tokoh. Tokoh penting yang menyulam damai dengan alunan suaranya yang syahdu mengajak insan mengenal diri, mengenal Rasul dan mengenal Allah. Suara Ustaz Asri dan Rabbani adalah suara kedamaian. Rabbani adalah lambang jihad suci tanpa mementingkan diri dengan topeng-topeng dusta yang selalu dipakai oleh segelintir penggiat seni yang lain. Seni Rabbani adalah seni yang suci.
Seperti Raihan di zaman Nazri, Rabbani berdiri di kelasnya yang tersendiri. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh kumpulan Rabbani, kekuatannya berdiri pada Asri. Setelah ketiadaannya, saya harap Rabbani akan terus bertahan dan meneruskan perjuangan dalam kembara seninya tanpa henti. Saya yakin Ustaz Asri telah meninggalkan asas yang kukuh kepada ahli kumpulan Rabbani. Sekarang terpulang kepada mereka untuk meneruskan perjuangan tersebut. Saya tidak mahu Rabbani berkubur. Saya mahu Rabbani terus gagah.
Catatan: Kepada balu Ustaz Asri, takziah saya ucapkan. Semoga anda tabah menghadapi ujian Allah. Kepada anak-anak Ustaz Asri... ayah kalian insan yang hebat! Berusahalah untuk menjadi hebat seperti dia. Al-Fatehah daripasa saya untuk seorang insan budiman yang saya hormati, Allayarham Ustaz Asri Ibrahim. Semoga roh anda berada dikalangan hambaNya yang soleh. Amin.

Selasa, Ogos 11, 2009

Basah...



Hujan petang...

Syukur...segar...basah...indah...

dingin...subur...damai...

syahdu...rimbun...rindu...

Sabtu, Ogos 08, 2009

Pabila Usia Meniti Senja...



Hati saya selalu berkata-kata. Minda saya sering tertanya-tanya...bilakah DIA akan insaf? Bilakah DIA akan kembali ke pangkal jalan...Bilakah DIA akan berubah? Bertahun-tahun pertanyaan itu berlegar di fikiran saya, tak pernah habisnya. Dari dulu hingga sekarang apabila melihat dia melewati jalan di hadapan rumah saya setiap hari, pertanyaan itu tak pernah berhenti. Dari awal pagi hingga ke malam tak terhitung jumlah perjalanan lintas langsungnya Bunyi enjin motosikalnya pun sudah akrab dan dapat dicam oleh telinga saya.
DIA sudah berusia 73 tahun. Ibu saya meninggal pada usia itulah! Namun DIA bagaikan tidak dimamah usia. Saya pernah mengkagumi dia sebagai seorang lelaki yang sangat kuat berusaha. Segala pekerjaan halal yang mampu mendatangkan wang akan dilakukannya. Daripada memanjat petai di hutan, mengambil umah membersihkan kebun dan rumah orang, membela kerbau, menjadi jaga pada waktu malam bukan asing lagi bagi dia. Saya menganggap dia superman!
Saya mengenali dia sejak kecil lagi. Saya menghormati dia sebagai seorang 'abang' dan saya menganggap isterinya sebagai 'kakak' manakala anak-anaknya sebagai kawan. Keluarga saya dan keluarga DIA begitu akrab meskipun pertalian keluarga agak jauh. Kami tinggal berhampiran, hanya selang sebuah rumah. Kalau kurang asam cili bawang kunyit dan malas ke kedai, saya akan ke rumahnya. Saling mengunjungi, saling memberi dan menerima adalah lumrah kami.
Namun saya tidak menyangka disebalik segala kebaikan dan keikhlasan yang dipamerkan selama ini, ada niat yang tersembunyi. Saya tidak pasti samada dia memang menyembunyikan niat dan keinginannya sejak mula atau naluri itu muncul tiba-tiba dibenaknya. Saya tidak mahu menuduh atau menghakimi dia. Saya juga tidak menyalahkan diri saya sebab saya tidak pernah memberi signal yang salah samada dalam gerak atau kata-kata saya pada dia.
Saya memang selalu meminta bantuan DIA dengan mengupahnya samada untuk membetulkan paip pecah, atap bocor, memotong rumput dan seumpamanya. Segalanya berjalan dengan baik tanpa sebarang kecurigaan. Apabila DIA bekerja, saya atau arwah ibu saya akan menyediakan teh untuknya. Selesai membuat kerjanya, kami akan memberikan DIA imbuhan yang setimpal walaupun adakalanya dia menolak dengan alasan hanya ingin menolong.
Berpuluh hubungan murni saya dengan DIA berjalan lancar sehinggalah pada suatu hari iaitu beberapa tahun yang lalu ketika ibu saya masih hidup, DIA menunjukkan belangnya.
Mula-mula dia menghadiahkan senyuman nakalnya secara tersembunyi samada ketika saya berkunjung ke rumahnya atau ketika dia berkunjung ke rumah saya bersama isterinya. Kemudian dia mula mendekatkan mukanya ke muka saya ketika berbual seolah-olah berbisik. Kemudian dia mula berani menawarkan saya RM10 kalau saya datang ke rumahnya. Asalkan nampak muka saya sudah cukup katanya. Kalau hari-hari saya ke rumahnya dan dia dapat pandang muka sangat, senang-senang saya boleh dapat rm300 sebulan kan? Hahahaha! Kalau saya benarkan dia cium saya, dia akan beri saya RM50. Kalau saya izinkan DIA ringan-ringan dengan saya, dia akan berikan saya RM100.
Apa perasaan saya waktu itu? Rasa marah dan sangat terhina! BIla dia melihat riak wajah saya, dia berkata, "Marah ke? Ringan-ringan je, bukan luak apapun." Saya rasa nak terajang saja mukanya.
Sejak hari itu saya tidak lagi berkunjung ke rumahnya. Kalau nak menziarahi 'kakak' iaitu isterinya sekali sekala, saya akan pastikan DIA sudah keluar. Saya tak beritahu sesiapapun tentang tawaran tersebut termasuklah kepada arwah ibu saya. Saya tidak mahu arwah ibu risau. Daripada hari DIA cakap merapu macam kena sawan itu, saya tidak pernah lagi mengupah DIA walau apapun alasannya. Saya lebih rela mengupah orang lain.
Suatu hari saya mendapat khabar yang DIA dan isterinya akan pergi menunaikan fardu Haji. Segalanya diuruskan oleh anak perempuannya. Pemergian itu nampak agak tergesa-gesa. Begitu juga dengan kursus hajinya. Mungkin anaknya itu ada caranya sendiri untuk membolehkan ibu-bapanya ke sana dengan 'segera' dan mudah padahal kedua-duanya tidak pernah mendaftar di Tabung Haji.
Saya bersyukur mendengar berita itu dan saya ke rumahnya untuk mengucapkan selamat jalan dan semoga selamat pulang. DIA dan isterinya nampak ceria namun aksi nakal pada wajahnya masih jelas kelihatan.
Doa saya, apabila pulang dari Mekah dan bergelar Haji, dia akan berubah. Namun ternyata ketayapnya hanya lekat beberapa bulan sahaja di kepalanya. Beberapa bulan kemudian pelbagai cerita tentangnya bertiup kencang namun tidak ada satu pun diakuinya. Anak-anak meradang namun dia menafikan segala khabar dengan garang. Tapi yang peliknya, macam mana dia boleh sempat menceritakan segala keserakahan dan kejahatannya kepada saya dalam masa tak sampai 10 minit ketika saya berhenti rehat di laman, ketika abang saya sedang membetulkan mesin rumput tak jauh dari situ?
Saya hairan, apa tujuannya menceritakan tentang kejahatannya sendiri mengacau isteri orang? Menabur wang pada isteri orang untuk mendapatkan layanan, sanggup berhabis duit pencen dan duit yg diberikan oleh anak-anak pada perempuan itu? Agaknya dia nak menunjuk-nunjuk atau nak memberitahu betapa ruginya saya kerana tidak menerima tawaran dia dulu? Nak mengatakan saya bodoh kerana menolak kesenangan yang dia tawarkan?
Kalaulah itu tujuannya, saya tak berasa rugi atau terkilan sezarah pun!
Tadi ketika saya sedang memotong rumput, anak sulungnya datang. Anaknya itu merupakan kawan baik saya sejak sekolah dan lebih muda beberapa tahun daripada saya. Anaknya memberitahu saya bahawa ayahnya jatuh motosikal. Lengan kanannya terkulai, tulang bahunya retak. Tak boleh dibalut atau disimen. Kaki kanannya patah dan bersimen. Bila mendengar berita itu, tanpa rasa simpati hati saya berkata, "Alhamdulillah... barangkali inilah yang terbaik untuk DIA!"
Jahat kan saya? Entah mengapa saya tidak bersimpati langsung dengannya...sebaliknya amat bersimpati pada isteri dan anak-anaknya yang terpaksa menjaganya. DIA beruntung
kerana kebanyakan anak-anaknya baik dan menjadi orang. Sanggup menjaga dia. Ragamnya?
Tak boleh nak kata! Anaknya memberitahu saya, mungkin ini saja caranya untuk menbuatkan DIA duduk di rumah. Kalau tidak, selagi boleh bergerak DIA tidak akan diam. Tak akan berhenti memalukan keluarga. Untung ALLAH masih kasih, masih memberikan peluang untuk hidup.
Saya tidak membenci DIA. Saya cuma tidak menyukai perangainya yang seolah-olah menyamakan sama dengan perempuan-perempuan yang termakan sogokannya. Saya bersyukur saya telah membuktikan kepadanya bahawa saya BUKAN! Maruah saya jauh lebih berharga daripada ksenangan yang ditawarkannya!
Doa saya, semoga dia akan insaf. Sempat bertaubat sebelum Allah menjempur DIA pergi. Tiada dendam di hati. Saya telah memaafkan DIA. Seburuk manapun DIA... banyak kebaikan yang telah DIA hulurkan kepada saya dan keluarga saya.
Catatan: Mulai saat ini saya hanya akan mengenang segala kebaikannya...segala yang buruk akan saya anggap sebagai kelemahannya sebagai manusia biasa.Semoga ALLAH akan memberikan segala yang terbaik untuk DIA...

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~