Selasa, Mei 19, 2009

Pulang...

Sesekali pulang...terlalu banyak kenangan...begitu banyak kehibaan. Halaman ini yg dahulunya sentiasa berseri, kian muram dgn daun-daun kering terdampar menutupi kehijauan rerumputan. Pohon-pohon segar di tangga kering kontang tanpa siapa yg sudi menyiram. Bunga-bunga di taman merajuk tanpa sentuhan. Walaupun hidup namun nampak tak bermaya. Pokok durian belanda kesayangan saya telah mula kekuningan daunnya. Kesemuanya mendambakan sentuhan.

Baru beberapa bulan saya tidak menetap di sini...halaman ini bagaikan mati. Betullah seperti dikatakan orang, rumah kalau lama tinggal akan kehilangan seri. Walaupun saya pulang seminggu sekali namun memang amat terbatas untuk membuat itu ini. Rumput, lalang riang menyubur. Pohon-pohon tumpang mengembang, pepohon asal menguncup tandus.

Jumaat.

Kalau diharapkan kudrat...sebanyak mana saja kudrat saya yang ada. Kudrat kakak? Lebih menyedihkan. Minggu ini sebaik saja sampai selepas zohor, saya tidak bertangguh lagi. Saya sirami pokok-pokok bunga di tangga sambil menyiram tangga batu yang dipenuhi tahi ayam serta hancing kencing kucing jiran tetangga yang tidak diundang. Selesai di situ saya terus menghayun penyapu dari dapur hingga ke tengah rumah hingga ke ruang depan menghapuskan debu-debu dan tahi cicak yang bertaburan di lantai, di karpet, di atas perabut. Pabila selesai, kaki saya terasa berat. Letih ya amat. Hendak mengemop lantai pun dah tak larat. Kakak suruh saya berhenti jangan buat semua kerja sekaligus.

Sabtu.

Selesai sarapan saya terus mencapai tangkai mop, mengisi pencuci lantai ke dalam baldi lalu terus beraksi lagi. Saya mop lantai ruang depan hingga ke bilik, ke ruang tengah terus ke dapur. Senang hati melihat lantai dah bersih dan tapak kaki saya tak hitam lagi apabila berjalan. Kakngah juga tak duduk diam. Dia mengelap kabinet dan sinki yang juga berhabuk.

Apabila sudah berpuas hati dengan keadaan di dalam rumah, saya menyarung seluar panjang kemudian mengangkat mesin rumput ke beranda. Saya isi petrol hingga ke paras leher tong minyaknya kemudian mencampurkan 3 penutup minyak engin seperti yg diajar oleh abang sepupu saya. Saya goncang2 sedikit untuk menyebatikan petrol dan minyak engin tersebut. Setelah itu saya memotong tali mesin rumput dalam panjang kira-kira sejengkal. Saya potong banyak-banyak supaya senang menggantikannya setelah tali itu pendek dan majal. Saya masukkan 2 utas tali di hujung mesin kemudian memasukkan beberapa utas lagi ke dalam poket. Saya sarungkan topi, sarungkan kasut getah kemudian dengan beberapa kali cubaan, engin mesin rumput saya hidup dengan gahnya ehehehe. Saya pikul mesin tersebut ke bahu saya...so apa lagi dengan gaya penuh anggun bergaya dan tetap ayu saya memulakan tugas saya :p

Mari saya ceritakan kepada anda pengalaman pertama saya menggunakan mesin rumput ini ;)
Mesin rumput ini dibeli oleh anak saudara saya beberapa tahun yang lalu. Sebelum ini saya mengupah orang setiap bulan atau 2 bulan sekali untuk membersihkan kawasan sekeliling rumah. Apabila sudah ada mesin rumput, anak-anak saudara sayalah bergilir ganti membersihkan rumput mengikut kelapangan masing-masing. Namun sejak akhir-akhir ini masing-masing terlalu sibuk dengan kerja. Makanya melihat rumput dan kemuncup yang begitu subur adalah kepantangan saya. Lebih-lebih lagi setiap laluan dipenuhi kemuncup sehingga saya terpaksa mengangkat kain sarung saya ke paras lutut. Seksi tu! Seksa mata melihatnya ehehehe.

Jadi...pada suatu hari yang cerah yang dicernakan oleh cuaca yang indah serta mood yang meriah, tergerak hati saya untuk mencuba mesin rumput yang mmg belum pernah saya sentuh ini. Mesin rumput tu pula seperti melambai-lambai saya supaya mendekatinya. Maka saya dengan penuh rasa ingin tahu, mengangkat mesin tersebut ke beranda...cuba menyetat enjinnya, terus berpusing talinya yg tinggal seinci. Saya matikan engin, masuk menukar unifom lalu penuh keterujaan saya pun mencuba menggunakan mesin tersebut untuk pertama kalinya.

Perasaan saya ketika tali-tali mesin itu mencantas gagah rumput-rumput di halaman amat teruja sekali. Ekeleh...takdelah berat sangat benda alah ni. Bukanlah susah sangat nak buat keje ni. Dengan penuh bersemangat saya belasah rumput-rumput di kawasan sebelah kanan rumah. Kemudian saya sambung pula di halaman sebelah kiri. Setelah itu saya cuba pula menyudahkan pada bahagian tengah. Alamak! Muahahaha... tercantas pulak pokok bunga keladi saya... Alapak! Terpotong pulak pokok senduduk purple saya... Alahai! Terbelasah pulak pokok durian belanda kesayangan saya. Padan muka! Saya ketawa dalam sebal. Selama ini saya selalu merungut apabila anak-anak buah saya tercantas pokok-pokok tersebut walaupun saya dah pesan supaya mereka berhati-hati... pokok-pokok tu maksu dah letak bata kat sekeliling dia, tengok elok-elok jangan main sungkit aja. Tapi kali ini aku sendiri terpotong pokok-pokok yang sedang subur tu huhuhuhu. Padan muka aku! Memanglah saya meradang tapikan saya kan belum pandai sangat nak agak-agak hala tali mesin ni. Bukan salah sayalah kan?
Hikhikhik.

Dah luas dah kawasan yang dah di mesin. Rehatlah sekejap. Haus. Saya tekan punat merah untuk mematikan engin. Sampai diberanda, saya turunkan mesin dari bahu saya.
Saya masuk ke rumah, capai botol air atas meja...tapi tangan saya menggigil. Saya tak mampu nak buka penutup botol sebab jari-jari saya menggigil dan kejang. Hidung pulak tetiba rasa gatal. Saya tak boleh angkat tangan saya untuk menggaru. Saya terpaksa sangga dan tolak siku kanan dengan lengan kiri barulah tangan kanan saya berupaya sampai ke hidung saya. Masa tu badan rasa ok lagi. Kebetulan dah tengahari jadi setelah kering peluh saya pun mandi. Selesai mandi dan solat zohor dan tentunya dah makan tengahari (saya lupa saya masak apa hari itu tapi pastinya hidangan ringkas saja sebab salah tinggal seorang diri).

Tau apa jadi?
Saya tidur pengsan sampai ke asar. Bila terjaga seluruh badan saya terasa sakit-sakit yang teramat sangat seperti kena rotan. Saya tak boleh bangun. Badan saya terasa berat seperti melekat di lantai. Dalam usia begini mungkin pekerjaan ini terlalu berat buat saya. Tau tak? 3 hari saya menderita kesakitan dan keletihan yang amat sangat. Mungkin kerana goncangan mesin tersebut yang mengejutkan otot-otot saya yang sudah terlalu manja. Tapi saya tak beritahu sesiapa. Bila abang saya telefon, saya kata saya sihat... alhamdulillah. Bila anak saya sms bertanya khabar, jawapan saya tetap sama... sihat alhamdulillah...usah risau :p

Itu kisah beberapa bulan lalu. Sambung semula kisah saya minggu lalu.

Hari Sabtu hari tu saya mesin rumput tak lama sebab anak kakak pulang anak beranak. Jadi tak seronoklah kan anak cucu datang kita buat tak tau pulak. Jadinya hari itu daripada tengahari dipenuhi dengan aktiviti makan tanpa henti, bermain dan menyakat cucu-cucu hingga ke petang.

Ahad.

Pagi-pagi lagi saya menyambung kerja saya yang terbengkalai. Saya memesin rumput di halaman hingga ke belakang rumah. Manakala kakak pula dalam pada sakit lututnya itu sempat pula membersihkan longkang yang dipenuhi tanah yang dikuis ayam di tepi longkang. Pastu sempat pula menguis sampah kat bwh pokok rambutan di tepi beranda. Harum bau sampah yang kakak bakar. Kerja-kerja saya selesai sebelum zohor. Petang nnt saya rancang nak kaut daun-daun dan rumput yang telah saya potong tu pula.

Petang tu cuaca panas dan saya rasa tak berdaya nak buat apa-apa. Nampaknya terpaksalah saya tinggalkan semuanya dalam keadaan tidak begitu sempurna sehingga ke minggu seterusnya. Dalam pukul 6 sementara menunggu anak kakak datang menjemput kami, kakak masih sempat mengaut sampah di halaman. Saya tegur akak, "nyempat lagi tu!" Akak sengih "Rimas tengok daun-daun kering ni,"

Aduhai kakakku... siapalah yang tak rimas? Tapi untuk mengemas dan membersihkan sekeliling rumah ni bukan cukup dalam 2 3 hari. Tengoklah daun dan pelepah pisang kering yang bergayutan tu. Banyak benda yang nak dibuat kalau duduk kampung kak. Kudrat kita berdua memang tak cukup untuk membuat semua tu. Dulu sewaktu saya tinggal berseorangan, saya melakukannya beransur-ansur. Sedikit demi sedikit.

Kami meninggalkan rumah kira-kira jam 6.45 petang. Rumah pusaka ini saya tinggalkan dengan doa agar sentiasa dipelihara dan dilindungi ALLAH daripada sebarang kerosakan dan kebinasaan.

Kami tiba di rumah kakak sebelum mahgrib. Malam itu memang masing-masing sudah keletihan. Kakak tidur awal selepas isyak. Manakala saya walaupun keletihan, sakit-sakit badan namun sukar melelapkan mata. Dalam pukul dua atau tiga pagi baru saya terlena. Minggu depan pulang ke kampung lagi ke tidak? Tiada kepastian... insyaAllah :)

Nota: Secantik dan seindah mana pun rumah yang pernah saya huni dan kunjungi...tidak akan pernah sama dengan rumah pusaka arwah bapa yang sederhana dan seadanya... di rumah itulah saya menemui diri dan kebahagiaan saya.


Ahad, Mei 10, 2009

Selamat Hari Ibu...



Selamat Hari Ibu Untuk Semua Ibu di dunia!

Ibu saya telah tiada...yang tinggal hanya makam bonda serta untaian doa yg takkan pernah putus untuk ibunda tercinta.


Ibu saya telah tiada...yang tinggal hanya makam bonda serta untaian doa yg takkan pernah putus untuk ibunda tercinta.

Ke Makam Bonda

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan

Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan

Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan

Puisi Sasterawan Negara Usman Awang



Selasa, April 21, 2009

Cermin




Setiap hari kita bercermin. Dalam sehari entah berapa kali kita bercermin kan? Tapi apakah sebenarnya yang kita cerminkan saban hari? Wajah kita? Kulit kita? Garis-garis halus yang mula terlukis dibawah mata, hidung dan bibir kita? Apakah yang kita cerminkan itu luaran semata-mata? Bagaimana dengan hati dan jiwa kita? Minda kita? Rasa kita?

Cermin yang saya maksudkan bukanlah cermin yang biasa kita buat cermin untuk mencermin wajah kita tiap hari. Cermin yang saya maksudkan di sini ialah cermin diri.
Adakah kita telah mencermin diri kita? Mencermin peribadi kita? Atau kita hanya suka menghala cermin itu ke arah orang lain sahaja?

Mungkin anda tertanya-tanya apa yg saya melalut pasal cermin ni kan? Hehehe. Sebenarnya dah lama saya nak menulis pasal cermin ni. Sebab sekian lama saya memerhatikan fenomena manusia di sekeliling saya yang amat suka menghalakan cermin memerhatikan setiap gerak dan tingkah orang lain. Meneropong segala keburukan, segala kekurangan dan kelemahan. Berbicara dengan suara sombong dan lantang seolah diri mereka sempurna.

"Dia tu manjakan sangat anak dia, kalau anak aku..."
"Dia tu bagi muka sangat kat anak dia, kalau anak aku..."
"Kalau anak aku buat macam tu, siaplah..."
"Kalau aku ni emak dia, jangan haraplah..."
"Anak-anak ni kalau tak kena cara didik, macam tu la. anak-anak ni kita mesti blablablabla...."
"Kalau anak aku dah kena dah tu!"
"Anak aku si polan si polan tu bagus. Alhamdulillah mendengar kata. Senyap je tak banyak cakap."
"Anak saya begitu, anak saya begini, dia tak pandai nak melencong sana sini..."
"Anak si polan si polan tu hari tu saya nampak berborak ngan jantan..."
"Anak si anu tu aku dengar dah pandai bertenggek tumpang motor jantan balik sekolah."
"Anak si polan si polan tu...*&$#@&^)()+_&%^..."
"Anak aku kalau keluar rumah tak pakai tudung, siaplah!"
"Kalau anak aku tak boleh suruh macam tu...kalau anak aku begitu, kalau anak aku begini..."

Ketika suara-suara sumbang ini kedengaran, anak masing-masing masih kecil dan ada yang masih bersekolah rendah. Mulut masing-masing bercakap macam mereka sajalah yang pandai mendidik anak. Cara mereka sajalah yang betul. Mereka sajalah ibu dan ayah paling bagus di dunia. Sayangnya apabila anak-anak mereka lelaki dan perempuan mula melangkah ke sekolah menengah, nada mereka sedikit demi sedikit berubah. Mulut mereka seolah-olah telah tersumbat dan kerongkong mereka tercekik dengan kata-kata yang pernah mereka lemparkan.

Mudahkan melihat keburukan anak orang? Senangkan memerhati kejelikan anak orang. Gemarkan melihat anak orang tak jadi orang? Gembirakan melihat anak orang tak sebaik anak kita kononnya?

JANGAN...!

Kalau pernah ada perasaan begitu dihati anda, berisghtifarlah banyak-banyak. Kenapa? Kerana saya percaya segala keburukan dan umpatan yang kita lemparkan kepada anak orang lain, ianya akan berbalik kepada kita. Bukan saja berbalik, malah akan menjadi lebih buruk dari itu. Saya sudah melihat dan melalui pengalaman tersebut. Siapa yang tak makan hati kalau orang asyik mengkritik cara kita mendidik anak-anak? Kritikan yang bukan membina sebaliknya membunuh! Kalau tak betul sama-sama menegur. Kalau silap sama-sama melentur. Bukan mengumpat keji dari belakang, sekilas pandang dijadikan pengukur!

Sekarang anak-anak saya sudah dewasa. Masing-masing menjalani kehidupan yg lebih baik dan mempunyai keluarga. Anak-anak mereka yang serba-pandai itu pula kian remaja. Saya menyaksikan mereka mula sakit kepala. Anak gadis yang dulu sentiasa berkerudung ketika keluar rumah, kini hanya ber t'shirt ketat dan berseluar pendek paras atas lutut. Rambut sentisa berubah warna dan gaya. Sudah pandai berbohong, sudah pandai membawa 'kawan' lelaki ke rumah lalu di katakan 'abg angkat' maka jadilah 'anak angkat'. Anak-anak lelaki sudah hilang kepatuhan. Bila disuruh, muka mengalahkan asam keping dan cuka. Bila ditegur sebaris, di balas dengan ulasan tujuh halaman. Merokok diluar pengetahuan. Semakin liat meghampar tikar sembahyang.

Peliknya...Khilaf anak orang dicaci di cela. Bila terkena pada anak sendiri alasannya,
"Budak-budak muda nak merasa berfesyen dan bergaya,"
"Orang muda jiwa memang selalu memberontak, selalu ingin mencuba,"
"Zaman sekarang bukan lagi macam zaman kita,"
"Budak-budak sekarang tak boleh berkeras sangat,"
"Biarlah...lama-lama dia orang taulah..."
"Kena pakai saikologi tak boleh dimarahkan sangat..."

Kalau anak orang?
Dihempuk muka dengan bantal kalau susah bangun subuh.
Disindir perli 'awak tu perempuan!" bila agak liat membantu didapur.
"Pakai baju macam ppn joget!" Kalau fesyen tak kena pada mata.
"manjakan sangat!" Bila mendengar saya menegur anak dengan baik.
"Degil-degil tu bantai aja!" Bila masih terus bersabar dengan kerenah anak.

Mereka? Terbuat ke mereka begitu pada anak-anak mereka? Jangan mimpi!

Saya? Saya hanya melihat. Saya hanya berfikir. Saya hanya berkata dalam hati... sudah tiba giliran anda! Saya telah melepasi segala onak dan duri itu...alhamdulillah anak-anak saya sudah berada dilandasan yang betul.

Moralnya? Jangan terlalu menjaga anak orang.Kita jaga anak dara kita sendiri. Usah terlalu memantau anak orang, pantau anak bujang anda sendiri. Sebab anak orang yang anda sangka takkan jadi orang itu mungkin akan menjadi lebih 'orang' dan manusiawi. Sebaliknya anak-anak anda yang anda begitu yakin akan menjadi orang mungkin tidak akan menjadi 'orang' seperti mana yang anda impi.

Bersabarlah dengan segala kerenah anak-anak anda. Hati-hati bila bercermin. Bila terlalu asyik mencermin orang, cermin anda akan mempermainkan diri anda sendiri!

Nota: Pandanglah anak orang lain dengan rasa kasih sayang tak kira bangsa dan agama. Kasih-sayang tak pernah gagal merapatkan kita sebagai manusia.



Jumaat, April 10, 2009

Voices Of Gaza

28 Mac ...Petang Sabtu yang berdarah...

28 March 2009.

Paginya bermula dengan gembira. Saya, kakak serta akak ipar ke rumah jiran yang mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya. Bekal kami dengan 'boko' berisi berasa serta pisau tajam sorang satu. Membawa pisau itu amat perlu. Kalau tidak kita akan terlopong hanya memerhati kerana ketiadaan pisau untuk sessi potong memotong bawang cili kentang nenas timun karet dan seumpamanya ehehehe. Saya paling benci jadi orang yg hanya melopong memerhati semata-mata kerana tidak ada pisau. Jadi saya akan pastikan ketika menghadiri kenduri kendara saya akan membawa pisau kecuali jika saya datang hanya sebagai jemputan yang bila kenyang terus pulang.

Saya di rumah kenduri sehingga pengantin datang kira-kira pukul 1 tghari. Perut dah kenyang, dah puas tengok pengantin yg sama cantik sama menawan di pelamin, berbekalkan sedikit lauk buah tangan tuan rumah, kami pulang.

Di rumah, setelah masing-masing selesai solat zohor maka tibalah sessi berbaring-baringan bertidur-tiduran melepaskan lelah. Di rumah saya ini sudah menjadi tabiat semulajadi, tak ada siapa yang suka landing dalam bilik kecuali saya. Masing-masing dengan gaya bebas akan bergolek-golekan di atas rumah atau di ruang dapur bergelimpangan bagaikan askar yang berkaparan terkena tembakan membabi buta. Saya lebih selesa baring di katil di bilik arwah mak yg kini telah saya kuasai sepenuhnya. Cewahhh!

Selepas asar kira-kira jam 4.45, ketenangan kami menghirup nyaman aroma rumput basah sesudah hujan dibingitkan oleh deringan hp kakak saya. Saya tak ambil pot...tentu anak-anaknya yg menelefon. Namun seketika kemudian saya merasa cuak bila mendengar suara kaget kakak. "Ye ke?! Bila?! Kat mana"!!!... Innalillahi wainna lillahi rojiun. Yalah yalah nanti kakngah bgtau semua,"

"Nape ngah?" Cepat suara saya menerpa sebaik saja kakak selesai.
"Along Ahmad accident dengan isteri dia. Kena langgar lori. Cedera parah. Dua-dua meninggal."
"Innalillah wa inna lillahi rojiun..." dan saya terus terdiam selepas itu. Ya Allah... dugaan apa lagi yg Engkau anugerahkan kepada kami?

Along Ahmad adalah bapa saudara dua pupu saya. Arwah ayahnya adik beradik dengan arwah nenek saya. Kami tidaklah begitu rapat kerana tinggal berjauhan. Namun jikalau ada kematian atau pun kenduri kendara kami akan saling menghadiri majlis satu sama lain. Hari terakhir saya berjumpa dengannya ialah ketika dia dan isterinya datang menziarahi arwah abg ipar saya kurang lebih sebulan yang lalu. Beliau bertubuh besar dan tinggi dan sajak bergelar peneroka. Bila saya bersalaman dengan dia serta mencium tangannya, telapak tangannya penuh menggengam tangan saya dan saya harus mendongak untuk melihat wajahnya. Arwah memiliki sepasang mata yang cantik dengan alis yang lentik.

Oleh kerana jenazah mereka berdua di bawa ke hospital untuk post mortem dan sebagainya, saya adik beradik memutuskan untuk menziarahi mereka pagi-pagi keesokan harinya kerana kami mengandaikan mesti jenazah mereka akan dikebumikan sebelum pukul 12 tghari.

Keesokan harinya, saya akak anak menantu akak, abang dan kakak sepupu serta abang-abang bertolak seawal pukul 9 pagi. Kami tidak terus pergi ke rumah arwah kerana kami difahamkan arwah masih lagi dihospital, belum dibedah lagi. Masih menunggu giliran kerana kes dahulu didahulukan. banyak yang perlu diperbuat kerana kecederaan mereka amat teruk sekali. Tak perlulah saya ceritakan disini betapa ngerinya keadaan mereka. Hanya Allah yang tahu apa hikmah disebaliknya.

Apabila sampai di rumah abang sepupu saya yang rumahnya berada di kawasan yang sama, saya lihat kakak sepupu saya dan menantunya sedang sibuk hendak mula memasak kerana sudah tentunya nnt saudara yang datang jauh dan dekat akan berkumpul di situ. Setelah diberitahu yang jenazah akan sampai petang, saya meminta t'shirt dan kain batik dari kakak sepupu saya. Setelah menyalin 'uniform' saya pun mulalah bersila di lantai dapur. Menyiang pucuk keledek, membuang tangkai pucuk ubi yangs egar-segar dari kebun mereka sendiri. Saya, menantu sepupu saya, akak dan kakak sepupu saya berpencah di dapur. Saya langsung tidak bangun dari bersila. Memandangkan ikan rebus telah digulai bersama terung telunjuk, pucuk keledek pula digoreng, pucuk ubi direbus, lalu saya mencadangkan kami membuat sambal gesek (sambal tumbuk ikan bilis).
Mula-mula saya menumbuk cili menggunakan lesung batu kecil. Tapi kakak sepupu saya menghulurkan lesung batu yg gedang (besar) yg belum pernah saya tengok sebelum ini. Hehehehe. Makanya dengan penuh bersemangat saya tumbuk cili kemudian masukkan ikan bilis yang saya tumbuk 80% lumat. Kemudian saya perahkan limau nipis, campur sedikit garam dan sedikit gula. Saya gaulkan dengan penuh bergaya ala-ala chef popular ekekekeke.
Menantu sepupu saya kata, "Arwah mak dulu dia tak suka sambal yg basah-basah. Dia buat kering aja."
Saya menjawab. "Maksu suka yang basah-basah...yang nampak berair dengan asam limaunya."

Ok...Ikan rebus masak lemak cili api campur terunf telunjuk dah siap. Ikan masing goreng dah tersedia. Pucuk keledek telah digoreng. Pucuk ubi sudah direbus. Kacang bendi pun dah direbus. Sambal gesek sudah sedia, apa tunggu lagi?

"Akak nak makan dulu la dik. Lapar lak rasanya." Kakak sepupu saya yakni isteri tuan rumah merasmikan sambal gesek saya bersama pucuk ubi rebus. "Uihhh! Sedap sambal gesek kau dik. Akak makan ni aja dah rasa perisa." Fuhhh kembang kuncup hati saya tapi saya mantain ayu. Hahahaha. Sebelum itu akak pun dah mengulas..." mak aih bau sambal kau dik." Tp saya tak suka riak, saya cuma katakan baunya je ngah. Rasanya entah." Cehwahh pandai btol saya kaver. Hikhikhik.

Makanya setelah juadah semua tersedia di meja, kami mempersilakan para tetamu menikmati hidangan. Masing-masing makan dengan senyap macam tikus jatuh ke beras. Tak ada sebarang komen. Tapi bila masing-masing dah kenyang, dah berpeluh-peluh, dah membasuh tangan, "Fuhhhh! Sambal gesek kau menyelerakan dik. Sedap betul." Aku hanya tersengih dan biasalah kan kontrol ayu sentiasa. Kahkahkah. Dengan rendah hati saya berkata, "Alaa sesekali bertukar air tangan, tu la rasa sedap padahal biasa aja".

Akak si puan rumah siap mengambil sedikit sambal utk disimpan buat mkn ptg/mlm takut kehabisan. Asingkan sikit untuk abang kau. Kang tak merasa pulak dia."

Komen I daripada anak tuan rumah "Sedap laaaa sambal maksu,"
Komen II dari anak ke 2 tuan rumah, "Kalau ada lagi karang, saya nak bawak balik skit."

Aduhhh! Hingga ke petang hati saya kembang berbunga-bunga dengan pujian demi pujian kesedapan sambal gesek saya. Oleh kerana saya dan akak yang terakhir makan, adalah secoet yang tinggal. Akak ambil sikit saya ambil skit dan penamatnya saya masukkan nasi ke dalam bekas sambal tu dan gaulkan sehingga licin ekekekeke.

Setelah itu ada pula yang bersuara. "Sambal gesek dah abis ke?"
Minta maaf ya tuan puan...tunggulah air tangan saya pada tahun-tahun yang akaan datang :p

Selingan ceria berakhir.

Bila diberitakan jenazah dalam perjalanan pulang, kami bersiap-siap untuk ke sana. Saya menyarung semula baju kurung lavender dan tudung saya bagi menyerlahkan lagi keayuan dan kesopanan saya yang berbeza dengan t'shirt dan kain batik saja. Perhatian: Ini bukan memuji diri sendiri, sekadar gurauan yang bermakna ;) Kenyataannya saya tidaklah seayu mana pun tp saya bersyukur dgn kejadian diri saya apa adanya :D

Detik pilu bermula...

Sejurus selepas kami sampai di rumah arwah, jenazah pun tiba. Dua van jenazah membawa dua jasad berdarah diiringi sedu sedan anak-anak yang menunggu. Ketika jenazah dibawa masuk ke rumah dan dibuka sedikit wajahnya utk anak-anak melihat utk kali terakhir, saya menyelit dicelah bahu abg dan dpt melihat sekilas wajah mereka. Saya hanya melihat sekilas kerana tak sanggup melihat lama. Saya terus beredar sambil tak henti-henti beristifar. Hati saya sayu, terharu, insaf. Tenang dalam debar.

Saya keluar. Akak bertanya, "Kau tengok jenazahnya dik?" Saya mengangguk."Macam mana?" Saya diam sediam-diamnya.

Daripada cerita abg sepupu saya, iaitu tuan rumah tempat kami memasak tadi, dia dan anak lelakinya segera ke tempat kejadian setelah mendapat berita kemalangan. Ketika itu mayat masih belum dialihkan. Lori dan motosikal yang arwah tunggangi bersama isteri bertembung secara berdepan. Arwah diseleret jauh oleh lori tersebut. Isterinya pula berada di bawah tayar lori. Motosikal tidak lagi berupa motosikal. Lauk pauk bekal daripada majlis kenduri yang mereka hadiri bertaburan disepanjang jalan. Kejadian berlaku sewaktu hujan panas berderai.

Selepas kedua-dua jenazah selesai disembahyangkan (sudah siap-siap dimandikan dihospital), saya dan abang-abang menghantar kedua-dua jenazah ke tanah perkuburan. Kakak tak ikut sebab hendak ke tanah perkuburan tersebut terpaksa naik ke kawasan yang agak tinggi dan berbukit. Jadi dia, akak sepupu serta menantu yg sedang hamil hanya menunngu di dalam kereta.

Saya menunggu sehingga jenazah selamat disemadikan di dalam satu lubang dua lahad. Menunggu hingga selesai talkin dibacakan. Menunggu hingga semua pulang. Saya dah abang-abang masih tinggal di situ memerhatikan anak-anak arwah yang masih pegun bagaikan tidak mahu meninggalkan pusara ibu bapa mereka. Saya amat mengerti perasaan mereka. Siapa yg semudahnya mampu menerima kehilangan ibu dan ayah dalam sekelip mata? Saya memandang abang. "Ajak bebudak tu balik dik," ujar abang.

Abang merapati anak sulung arwah mengajak pulang.
Saya mendekati anak perempuan arwah, "Ayu...ajak adik-adik balik. Dah petang ni."
Mereka bangun. Sebelum itu sempat mencium nisan sementara ayah dan bonda mereka. ayu memeluk dan menangis di bahu saya.
"Sabar...ayu kena kuat...kena kuatkan adik-adik. Sabar, semua ni ujian Allah. Mungkin ada hikmah disebaliknya."
"Tapi ayu sedih. Keadaan jenazah mereka tak sempurna,"
"Itu urusan Allah...jangan fikir yang buruk. Fikir yang baik-baik je. Bayangkan segala yg baik saja tentang mereka. Sedekahkan al-Fatehah banyak-banyak. Itulah yang mereka perlukan sekarang."
"Patutlah diorg (arwah ibu dan ayahnya) sejak kebelakangan ni selalu bercerita tentang arwah-arwah yang telah pergi. Agaknya mereka tau mereka tak lama lagi,"
Saya mendengar luahan demi luahan. Saya memberi semangat demi semangat yang mampu saya berikan. Separuh daripadanya agak klise. Tapi apa yang mampu saya katakan dalam suasana duka di petang yg muram itu?

Saya dan abang-abang mengiringi mereka turun menuju ke kereta. Saya sempat menoleh pada dua pusara sepi yang kami tinggalkan. "Pak long, maklong, selamat tinggal...bersemadilah dengan tenang," Hati saya sempat berbisik. Saya menghela nafas dalam-dalam, cuba menelan segala kesedihan. Ayu memeluk pinggang saya sampai ke bawah. Kami bersalaman berciuman dan berpelukan. "Terima kasih maksu," Saya mengangguk. "Jaga diri dan adik-adik baik-baik". "InsyaAllah maksu."

Kami bertolak pulang dalam suram petang yang sedang merangkak ke senja. Saya terbayang wajah kedua-dua jenazah yang saya lihat tadi. Saya tidak mahu membayangkan itu. Saya akan terus membayangkan wajah sempurna mereka di minda saya. Wajah kacak arwah paklong dengan sepasang mata yang menawan serta wajah manis arwah maklong. Bersemadilah dengan tenang...Semoga Allah mengampunkan Pak Long dan Mak Long dan menempatkan mereka di kalangan hamba-hambaNya yang diampuni, dikasihi dan diselamatkan. Amin. Al-Fatehah.

Nota: Hari demi hari saya semakin belajar untuk menerima dan akrab dengan segala rasa kehilangan...

Khamis, April 02, 2009

Jawab TAG

Si eni budak bertuah tu telah mengetag saya. Jadi kenalah saya jawab tag tu kan? Sblom balik kampung ptg ni biarlah syg jwb tag ni dulu. Tak jawab kang majuk pulak! Ehehehe... eni jgn marah...kalau marah mama buat menantu :p

TAG tentang BLOG

1)Apakah nama blog anda sekarang dan kenapa anda memilih nama itu?

Sebelum Mata Terpejam

Saya namakan blog saya sebegitu kerana mata adalah objek dan pancaindera yang paling saya suka sejak kecil lagi. Sejak zaman kanak-kanak saya suka melukis gambar mata. Pada saya mata adalah jendela bagi manusia menikmati keindahan ciptaan Tuhan. Kejernihan jiwa juga selalunya terpancar pada pandangan mata. Sebelum Mata Terpejam lebih kepada maksud dan keinginan untuk meluahkan segala apa yg saya fikir, saya rasa, saya lihat yang mungkin tidak mampu saya zahirkan secara berdepan. Pada saya menulis adalah merupah wadah untuk saya melepaskan tekanan dan membuat saya berasa tenang. Makanya insyaAllah saya akan terus menzahirkan perasaan itu, akan terus menulis disini sementara saya masih hidup di dunia ini.

2) Apakah link blog anda sekarang dan bagaimana boleh timbul idea untuk menamakannya seperti itu?

http://rafikasastras.blogspot.com

rafi - adalah singkatan nama arwah anak saudara saya yang amat akrab dan begitu dekat di hati saya yang telah meninggal dunia 12 tahun yang lalu ketika berusia 19 tahun.

fik - adalah singkatan nama anak asuhan kesayangan saya sejak kecil iatu fikri yang kini sudah berusia 12 tahun.

Saya tambah a di hujungnya untuk menyedapkan sebutan dan melengkapkan ritmanya agar berbunyi kewanitaan. Kalau letak nama rafik nanti orang ingat saya lelaki pula kan ;)

Penambahan sastras dihujungnya kerana saya adalah peminat dan penggiat sastera. Jadi ianya memang mempunyai erti dan hubungkait antara satu sama lain.


3) Apakah 'method' penulisan dalam blog anda?

Tak ada ciri yang khas kerana saya menulis mengikut hati dan jari berpandukan apa yg saya fikir dan rasakan pada ketika itu. Selain daripada itu saya isikan dgn link serta copy paste sebagai wadah sampingan yang saya rasakan bermanfaat untuk dikongsi bersama.


4) Pernah terasa nak hapuskan blog anda? Sebabnya?

Tak ada sebab untuk menghapuskannya. Kerana di situlah terletak pemikiran, ilmu, dan kenangan yang mungkin boleh memberi iktibar pada tiap pelayar web yang singgah. Apa rasionalnya menghapuskan sesuatu yang telah kita bina? Kan pembaziran namanya. Kalau dah merajuk tak mau org baca...set to private je :D


5) Apakah pendapat anda mengenai blog kepada pemilik blog yang tag anda ini?

Eni...saya kenal dia on the net dah lama dah. Dah banyak tahun dah rasanya. Lepas tu bila saya menghilangkn diri dr dunia chatting, lama gak kami tak berkomunikasi hinggalah saya kembali aktif berym bbrp bulan kebelakangan ini. Pada saya beliau merupakan seorang gadis yg baik, penyayang, gigih, berdikari dan sentiasa berdaya maju dalam kehidupan. Seorang yg agak sensitif kadang-kadang kelakar dan rasanya dia ni seorang yang agak degil juga orangnya hahahaha :D

6) Senaraikan 5 orang yang akan anda tag.

*** yOnna
*** sha
*** hanim
*** kak e
*** embun pagi

Rabu, April 01, 2009

Ikan saya



Ini ikan puyu saya yang buta sebelah matanya dan kini telah pun meninggal dunia :(

Si tompok

Meja kerja saya

Kerabu pucuk paku.



Saya masih ada satu lagi entri yang menyayat hati tapi sebelum itu biarlah saya melarikan diri sejenak daripada suasana pilu itu dengan memaparkan juadah kegemaran saya ini. Kerabu pucuk paku :D

Isnin, Mac 30, 2009

7 Mac - Petang Sabtu Yang Duka

4 Mac 2009.
Pagi yang tenang dibolosi panggilan daripada anak adik bongsu arwah abang ipar saya memberitahu ayahnya dimasukkan ke hospital. Ayahnya dikatakan tiba-tiba longlai di awal subuh lalu dikejarkan ke hospital dengan ambulan. Wahai Maha Pencipta... dugaan apa lagi yang ingin Engkau anugerahkan kami? Buruk dan baik kami akan persiapkan diri untuk menerima.

Adik ipar kakak saya terus koma sejak dimasukkan ke hospital. Doktor kata jantungnya lemah dan dkhuatiri otaknya dijangkiti kuman. Hari ke 3 dia di hospital, saya kakak anak dan menantunya berempat bertolak dari rumh dengan niat menziarahinya di hospital. Ketika sampai, adik beradik ipar kakak serta anak saudara sudah ramai ada di situ.

Ketika saya masuk ke wad rawatan rapi, abg saya yg sudah sampai dulu sudah ada di situ. Pada mulanya saya ingatkan adik ipar kakak saya sedang mengangguk apabila abg saya mengatakan sesuatu padanya kerana wajahnya terlindung dengan kepala abg saya. Rupa-rupanya dia bernafas dengan payah menggunakan tiub sehinggakan kepalanya terdongak ke atas ke bawah ketika bernafas. Abg saya rupa-rupanya sedang membacakan sesuatu di telinganya. Saya bersalaman dan berpelukan dengan isteri adik ipar kakak yangs setia menunggu suaminya. Kami berpelukan. Dia menangis dalam pelukan saya. Saya memujuknya dengan kata-kata yang positif. Saya memerhatikan wajah lesu biras saya dengan hiba. Walaupun dia hanya adik arwah abg ipar saya dan tidak begitu rapat, saya menganggap dia seperti abang saya sendiri. Lagi pula kami pernah membesar bersama ketika arwah bapa saya dan arwah ayahnya tinggal di berek polis yg sama ketika di Lurah Bilut sewaktu kami kecil dahulu. Di sanalah juga kakak saya bertemu jodoh dengan abangnya. Sayalah yang menjadi org tengah yang sentiasa di usung ke sana sini apabila arwah abang ipar saya nak berdating atau membawa kakak saya menonton wayang. Bila bkesempatan waktu petang arwah abg ipar saya akan membawa saya berjalan dengan motosikal bertangki besar yang saya dah lupa namanya. Saya masih ingat saya duduk atas tangki minyak itu ketika kami bersiar-siar.

Saya usap belakang isteri adik ipar kakak. Tangannya sebelah diletakkan di bawah tangan suaminya lalu ditutup dengan selimut suaminya. Dia sedikitpun tidak melepaskan pegangannya kecuali bila ada yg datang bersalaman dengannya. Saya keluar untuk memberi ruang kepada yang lain masuk menziarahi.

Saya beredar ke koridor di belakang wad tersebut di mana dari situ saya dapat melihat orang keluar masuk ke wad tersebut melalui cermin yang tidak diturunkn langsirnya. Ketika hampir 2/3 surah yassin saya baca, saya nampak doktor bergegas masuk. Tirai disekeliling katil ditarik. Masing-masing nampak cemas dan gelisah dan ada yang sudah mula menangis. Saya berusaha menyudahkan bacaan yassin saya dengan deraian airmata. Beberapa minit kemudian saya melihat doktor keluar menemui ahli keluarga yang sesak menunggu di luar wad. Apabila saya melihat doktor menggelengkan kepala, hanya innalillah INNALILLAH WA INNA ILLAIHI ROJI'UN ... hanya itu yang mampu saya lafazkan separuh berbisik. Ketika itu lebih kurang jam 6.20 ptg. Detik itu saya teringat...setelah subuh tadi ketika saya berdoa kepada Allah memberikan apa yang terbaik untuk arwah, wajah arwah terbayang jelas di minda saya. Wajah yang bersih dan tenang.

Saya mengimbas kembali pertemuan terakhir saya dengannya selepas pengebumian arwah abang ipar saya dua minggu yang lepas. Dia kata pada saya isterinya berminat dengan jam antik yg dilihatnya di tgh rumah. Saya katakan padanya " Eh mana boleh...sayang jam tu..antik tu. Blom sempat nak repair." Kemudian dengan nada gurauan dia menjawab, "Kalau dah minta tapi tak bagi, boleh curi tu!" Lalu kami ketawa. Itu saya komunikasi kami pada hari itu dan menjadi perbualan dan gurauan terakhir. Setelah itu kami pulang ke rumah kakak di Seremban. Sewaktu di sana dia tidur hingga ke maghrib. Memang wajahnya agak lesu waktu itu. Diam tak byk cakap walaupun dia sebenarnya peramah dan penuh dengan gurauan. Ketika dia dan keluarganya pulang pada mlm itu setelah kenduri tahlil, saya tidak menemuinya kerana saya tertidur selepas makan ubat kerana sakit kepala.

Saya menatap wajah isteri arwah yang tiba-tiba muntah-muntah. Mungkin kerana terlalu banyak menangis dan perut masuk angin akibat berhari-hari tak berselera makan. Saya melihat wajah anak-anaknya yang penuh tangisan seorang demi seorang. Saya melihat wajah sendu adik-adik arwah abang ipar saya yang harus menerima kenyataan kehilangan saudara sulung dan bongsu mereka dalam jarak hanya dua minggu. Saya perhati wajah Along, Angah, Anum, adik serta empat orang lagi anak angkat arwah. Rasa kehilangan mereka bagaikan meresap jauh ke dasar hati saya mengajak saya turut berkongsi kesedihan dan keperitan mereka. Perjalanan ayah mereka tamat di usia 48 tahun.

Selepas itu kami pulang ke rumah abg saya. Memandang kami hanya datang sehelai sepinggang, maka habislah pakaian kakak ipar saya yang lebih kurang sama saiz dengan kami menjadi mangsa. Kami tak membawa pakaian kerana tujuan kami hanya menziarahi arwah di hospital dan pulang semula ke Seremban selepas itu. Pada sebelah malamnya kami pergi ke rumah arwah untuk menghadiri tahlil. Selesai bertahlil kami lembali bermalam di rumah abang.

Keesokan harinya jenazah arwah selamat dikebumikan kira-kira pada jam 11 pagi. Satu-satunya anak perempuan arwah yg berusia 12 thn buat hal tak mahu meninggalkan tanah perkuburan. Puas di pujuk barulah dia menurut. Setelah itu kami kembali ke rumah arwah utk menghadiri majlis tahlil yang dibuat selepas zohor. Setelah semuanya selesai, tibalah sesi perpisahan.

Ketika bersalaman dengan angah, dia memeluk saya erat. Saya katakan padanya, "Angah kena kuat. Jaga mak baik-baik. Tengokkan adik-adik." Angah mengangguk-angguk laju sambil mengesat airmata. Ketika aku menghulurkan tangan kepada Along, Along terus mendakap saya erat. anak muda yang masih belajar di uia itu tersedu di bahu saya. Saya usap lembut belakangnya, saya katakan pada dia, "Along mesti kuat. Along kena kuat. Kalau along tak kuat, macam mana Along nak kuatkan emak dan adik-adik. Sabar, ini ujian Allah pada Along." Along mengangguk-angguk. Sebenarnya saya tidak menyangka mereka akan bertindak balas begitu terhadap saya walhal kami amat jarang bertemu. Pada ketika itu saya merasakan amat dekat dengan mereka. Anum dan adik mendakap saya dengan rentak yang sama. Begitu juga dengan isteri arwah. Saya memberikan pesanan dan nasihat yang mampu lahir dar bibir saya ketika itu. Meskipun saya sedar, kata-kata saya itu tidak setimpal dengan rasa kehilangan dan keperihan yang mereka rasai, saya amat berharap ia mampu membantu mereka membina ketabahan dan kekuatan baru untuk meneruskan kehidupan.

Mengimbas kembali kehidupan arwah... beliau merupakan seorang insan yang begitu mulia hatinya. Selain daripada 4 orang anak kandung yang ada, arwah juga membesarkan 4 orang anak arwah abang iparnya 3 orang lelaki seorang perempuan. Kerana itu dia harus bekerja keras untuk menampung kehidupan mereka. Dulu mereka memiliki kedai makan tapi sudah menjadin kelaziman segelintir golongan berniaga yang penuh dengki dan hasad, perniagaan mereka di peragamkan orang dan akhirnya tutup. Setelah itu isteri arwah bekerja dengan ibu saudaranya memasak untuk katering. Manakala arwah pula membuka perniagaan menjual pakaian bundel di uptown. Dengan sumber rezeki itulah mereka menampung keperluan keluarga besar mereka. Menurut isteri arwah, arwah tak pernah merungut penat atau berkeluh kesah dengan kehidupan mereka walaupun terpaksa bekerja keras sehingga ke awal pagi mencari rezeki.

Semoga Allah merahmati dan mengampuni roh arwah dan ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang dikasih, diampuni, dimuliakan dan diselamatkan. Amin...

Catatan: Sejak pemergian ibunda tercinta, saya semakin rajin menziarahi handai taulan yang sakit, yang meninggal dunia dan seboleh-bolehnya saya akan cuba menghadirkan diri ke tanah perkuburan sehingga selesai pemakaman. Ia mengakrabkan saya pada kesedaran bahawa kehidupan ini tidaklah abadi untuk dibanggakan, untuk diriakkan kerana akhirnya nanti pakaian kita hanyalah kain putih tak berjahit manakala rumah kita cumalah tanah asal kita dijadikan.

21 Februari ... Sabtu yang muram ... Malam minggu yang suram...Selamat jalan...

Abang ipar saya sudah lama tak sihat. Kemuncaknya apabila dia dimasukkan ke hospital pada 2hb Februari 2009. Keluar masuk hospital bukanlah sesuatu yang asing baginya. Sejak beberapa tahun ini lebih-lebih lagi setelah menjalani pembedahan jantung, kesihatannya tidak lagi seperti dulu. Apatah lagi setelah penyakit darah tinggi dan kencing manisnya mengekori. Paling malang apabila penglihatannya teruk terganggu setelah menjalankn rawatan mata menggunakan laser. Kalau sebelum itu dia masih boleh melihat menggunakan cermin mata, tetapi setelah rawatan tersebut penglihatannya semakin teruk sehinggalah penglihatannya terus kabur.

Dengan segala penyakit dan ragam orang sakit, kakak saya terus sabar melayani kerenahnya. Kakak mmg sabar hinggakan saya sendiri kurang sabar melihat kesabarannya. Saya tahu kakak penat. Sepanjang usia perkahwinannya kakak mmg sudah terlalu banyak berkorban. Untuk suami, untuk anak-anak. Untuk keluarga. Walaupun kadang-kadang dia mengadu penat kerana dia sendiri tak begitu sihat, dia tetap sabar meneruskan kewajipannya. Jantung kakak dimasukkan bateri bbrp tahun lagi bagi membantu kelancaran jantungnya mengepam darah. Selain drpd itu, hempedu kakak pun telah dibuang.

Saya sejak dulu mmg kurang ngam dgn abg ipar. Kurang ngam bkn bermaksud tidak suka. Saya sayangkan dia. Dia telah menjadi abg ipar saya berpuluh tahun lamanya. Cumanya mungkin antara kami kurang ada keserasian dgn cara berfikir serta berbeza sudut pandangan. Keserasian antara kami hampir tidak ada pada beberapa tahun kebelakangan ini. Saya tidak tahu sama ada saya yg bersalah atau sebaliknya. Barangkali kerana dia tidak lagi dpt melihat, bibirnya menjadi mata baginya meluahkan apa saja yang ada dalam fikirannya walaupun kadangkala ianya berbaur prasangka dan menyakitkan hati. Barangkali dia tertekan dgn keadaannya manakala saya pula agaknya tidak prihatin dengan situasi tersebut.

Setelah seminggu dimasukkan ke hospital, kakak meminta saya menemaninya. Waktu siang dia akan menunggu abg ipar saya di hospital. Pulang sebelum mahgrib lalu digantikan oleh 2 org anak lelakinya silih berganti. Bermakna saya menemaninya pada waktu malam sahaja.

Setelah sepuluh hari di wad biasa, abg ipar saya di masukkan ke ccu kerana masaalah jantung. Keadaannya agak serius. Ketika melawatnya, hanya 2 org saya diizinkan masuk utk satu masa. Ketika saya melihat keadaannya, airmata saya jatuh berderai. Situasinya amat menyedihkan. Mulut, hidung, dada n perutnya berselirat dengan wayar dan tiub. Pada ketika itu dia masih sedar. Bila saya berbicara dengannya dia mendengar dan mengangguk. Saya genggam tangan dengan airmata bercucuran. Tak sampai hati saya melihat dia dalam keadaan begitu. Saya keluar apabila doktor masuk untuk membuat pemeriksaan. Apabila masuk semula, saya pegang tangan abang ipar saya. Saya katakan padanya... "abang, walaupun adik tak selalu datang melawat, tp adik selalu mendoakan abang. Adik mendoakan abang akan sembuh seperti dulu. Abang sabar ya? Bertahan. Banyakkan istighfar, berselawat... ingatkan Allah, ya bang?" Aku melihat dia mengangguk. Dari bibir matanya yg terpejam jatuh butir-butir airmata. Dia menggenggam tangan saya erat. Ketika mahu pulang, aku dekatkan muka ke telinganya. "Abang, adik balik dulu ya? InsyaAllah nanti adik dtg lagi. Adik nak kuar ni. Nanti akak masuk." Saya beredar sambil mengelap airmata dengan hujung lengan baju.

Beberapa hari kemudian hati saya meronta-ronta untuk menziarahinya semula. Saya mengikut kakak menziarahinya pada waktu tengahari. Kakak pergi lewat hari itu sebab kakak tak sihat. Kasihan melihat kakak yang jalan pun tak bermaya keletihan. Pada hari terakhir saya menziarahinya itu, keadaan abang ipar saya sudah kritikal. Doktor hanya meletakkan harapan 25% untuk dia pulih. Sepanjang hari itu saya keluar masuk wad tersebut bergilir ganti dgn kakak. Sudah beberapa hari abang ipar saya demam panas. Katilnya basah. Mungkin sengaja dibasakan untuk menurunkan suhu badannya. Kakak tak mahu meninggalkan dia sendirian tanpa teman. Kakak tak boleh berdiri lama. Sebelum pulang, saya agak lama bersendirian dengan abg ipar saya. Saya usap pipinya lalu sempat mensasasrkan jari saya ke telinganya. Telinganya sejuk dan layu. hati saya berdetik. Saya genggam tangannya yang bengkak itu. Saya dekatkan muka saya ke wajahnya. Saya kuatkan hati untuk berbicara walaupun airmata saya sudah berderai-derai mendahului kata-kata. "Abang, adik minta maaf kalau adik ada buat salah pada abang. Halalkan segala makan minum adik. Walaupun adik agak kasar ngan abang, tapi adik sayang abang. Abang sabar ya? Ini ujian Allah pada abang." Abang ipar saya membuka matanya. Matanya merah. Mungkin kerana demam panasnya itu.
Tapi matanya tidak memandang pada saya. Matanya berkelip-kelip dan ada air yang bergenang. "Maafkan adik ya bang. Ampunkan adik. Adik sayang abang. Nanti insyaAllah adik datang lagi ziarah abang ya?" Dia seperti ingin mengatakan sesuatu tapi tiub di dalam mulutnya membuatkan dia tidak mampu berbuat begitu. Saya cium tangannya yang terikat dingin itu tiga kali. Airmata saya bagai air terjun ketika itu. Tangan abg terpaksa diikat pada katil bagi mengelakkan dia mencabut wayar-wayar ditubuhkan. Ketika sampai di pintu saya menoleh sekali lagi. Hati saya berdetik...adakah saya akan ada kesempatan menemuinya lagi?

Hari khamis kakak meminta saya mengambil karpet di rumah kampung kerana semua karpet besarnya telah di angkut ke kampung ketika majlis perkahwinan tahun lalu. Pada malam jumaat hati sayang berdetik untuk pulang mengambil karpet keesokan hari sambil melihat rumah yg sudah seminggu ditinggalkan. Saya mensms abg saya meminta dia menghantarkan saya pulang setelah menghantar anaknya ke sekolah pagi esok.

Hari sabtu petang. Saya sedang berbaringan seorang diri. Ketika itu hari berpetir tapi tak hujan. Hanya mendung. Hampir maghrib tiba-tiba suis besar di kotak letrik menyentak. Saya jadi bingung. Sekejap lagi hari gelap dan saya bersendirian di rumah.
Kalau di rumah saya, saya taulah di mana suis yang patut di onkan semula. Saya mencari kotak suis pun tak jumpa :( Saya sms Apek (gelaran untuk anak kedua kakak saya). Apek ketawakan kebimbangan saya. "Takpe, sekejap lagi angah sampai." Saya ingatkan dia dalam perjalan pulang dari hospital menjemput kakak saya. Rupanya-rupanya dia baru hendak ke hospital mengambil kakak saya. Setelah dia onkan semula suis besar kemudian menunjukkan saya apa yang patut dibuat kalau suis itu menyentak lagi, dia dan isterinya terus ke hospital. Saya di rumah bersendirian.

Ketika menonton siaran Buletin Utama di TV3, isteri Apek menelefon saya, "Maksu...siti ni. Maksu, papa dah tak ada." Innalillah wa inna lillahi rojiun... Saya terpaku dan terdiam seketika. Sambil menghadiahkan Al-Fatehah pada roh abang ipar saya, saya pasang semua lampu mundar mandir di dalam rumah seorang diri. Tak tahu nak buat apa. Seketika kemudian jiran kakak saya datang. Dia membantu saya mengemaskan rumah, menurunkan kerusi ke bawah, membentangkan kapet dan persediaan yang patut dibuat sementara menunggu jenazah tiba.

Hampir pukul 11 mlm jenazah tiba di rumah. sudah siap di mandi dan dikapankan di hospital. Saudara mara sudah mula tiba. Adik-adik arwah, adik beradik saya, sepupu serta ahli keluarga yang tahu. Malam itu dipenuhi dengan bacaan Al Quran dan yaasin hingga ke pagi.

Hari ahad. Pukul sembilan pagi, jenazah di bawa ke surau berhampiran untuk di sembahyangkan. Ramai juga yang menyembahyangkannya kerana kebetulan pada waktu itu Imam baru saya selesai dengan kuliah subuhnya. Setelah di sembahyangkan, jenazah di bawa ke kampung saya untuk disemadikan. Perjalan memakan masa lebih kurang 45 minit. Setina di kampung, jenazah di naikkan ke rumah kami di kampung. Memberi peluang kepada jiran tetangga dan saudara mara di situ memberikan ziarah terakhir. Sekali lagi jenazah ditahlilkan.
Saya tidak menyangka begitu ramai yang menziarahi jenazah abang ipar saya pada hari itu walaupun berita kepulangannya ke rahmatullah diumumkan dalam waktu yang singkat di corong mikrofon masjid. Rumah saya penuh dari atas rumah sampai ke dapur. tak termasuk yang ada di bawah.
Setelah itu jenazah dibawa ke masjid yang tidak jauh dari rumah saya. Di sana sekali lagi jenazah disembahyangkan. Alhamdulillah kebetulan pada hari itu balai raya bersebelahan dengan masjid ada membuat majlis dan mereka memasak di masjid. Maka agak ramai jugalah orang yang menyembahyangkan jenazah abang ipar saya untuk kali kedua. Sebaik saja selesai disembahyangkan, jenazah di bawa ke tanah perkuburan yang juga letaknya berhampiran dengan masjid. Alhamdulillah walaupun pada mulanya kubur yang digali itu kelihatan agak kecil seperti tidak muat, tetapi jenazah dengan mudah dimasukkan ke liang lahad. Cantik terletak. Ketika talkin bibacakan, saya melihat abang saya memeluk kakak dengan erat. Menenangkan kesedihan atas perpisahan seumur hidup itu. Setelah selesai pengkebumian, kami dijemput untuk menghilangkan dahaga dan menjamah makanan di masjid.

Alhamdulillah. Segalanya berjalan dengan lancar dan mudah. Selamat jalan abang, bersemadilah dengan tenang... Al-Fatehah. Satu-satunya abang ipar yang saya ada telah dijemput Illahi.

Catatan: Banyak yang saya mempelajari daripada sekian banyak kehilangan dan kematian dalam kehidupan saya. Salah satu daripadanya ialah... kematian mengajar saya untuk memaafkanm, menerima, redha serta mengikhlaskan segala kekhilafan dan kesalahan yang pernah dilakukan oleh mereka yang telah pergi itu terhadap saya.

Jumaat, Mac 27, 2009

Nape tak update?

Bz dan tak sihat manjang. Ni nak balik kampung. Minggu depan insyaAllah saya updatekan. Byk cerita suka duka tangis tawa yg belum sempat saya berkongsi dengan sahabat semua. Jaga diri baik-baik. Salam bahagia :)

Khamis, Mac 12, 2009

Yang Selesai...Yang Terbengkalai...

Menyiapkan "Serakah' merupakan satu kepuasan. Menekuni 'Sebelum Tuhan Menjemputku Pergi' adalah satu keterujaan. Manakala mengumpul rencah dan bahan untuk 'Neraka Untuk Isteriku' merupakan satu cabaran yang membaurkan hiba marah dan sedih dalam secangkir keinsafan. Semoga Allah memberkati setiap titik, huruf dan bait dari ketik jemari, detik hati, titis ilham dan bijaksana yang dipinjamkan kepada saya.

Nota: Beberapa naskah tanpa judul masing terbengkalai. Mudah-mudahan saya punya cukup waktu untuk menanganinya sehingga selesai.
.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~