-->

Rabu, Jun 18, 2008

Ajib...Miss U So Much Dear!


Aku sayang budak ni! Sayang sangat. Amat sayang...terlalu sayang. Dia umpama anak bongsu yang menjadi pelita hatiku. Katalah aku pilih kasih, aku tidak peduli! Dia adalah salah seorang daripada beberapa insan yang paling aku kasihi. Aku sanggup apa saja demi dia!

Dia mengajar aku menjadi seorang yang lebih pengasih. Dia begitu istimewa di hatiku. Ketika dia dalam kandungan ibunya, abangnya jatuh sakit. Ketika itu abangnya baru saja berusia lapan bulan dan disahkan mengidap leukimia. Dia pula sudah hampir lima bulan bermastautin di dalam perut ibunya. Aku masih ingat ayat yang aku lontarkan pada kakak iparku. "Kak, bila akak dah bersalin nanti; dah habis pantang, biarlah adik jaga baby tu. Sian akak kena ulang-alik ke hospital. Sian gak kat nenek. Nak jaga budak-budak kat rumah lagi, nak jaga baby lagi. Adik tolong jaga aja. Nanti bebila akak nak ambil dia, ambillah. Adik bukan nak 'punya'kan dia."

Beberapa bulan kemudian Ajib lahir kemudian sehabis cuti bersalin ibunya, aku mula menjadi pengasuhnya. Aku masih ingat lagi betapa comelnya dia. Walaupun sudah sebelas tahun berlalu, aku masih mampu mengingati betapa manis dan lembut wajah ketika dia masih bayi.

Dia begitu comel sekali. Dia sering saja menumbuk mukanya sendiri bertalu-talu. Tak tau mengapa dia begitu. Aku bimbang kalau-kalau dia sakit dgn tumbukan lembutnya itu lalu aku masukkan kedua belah tangannya ke dalam seluar. Hehehe...kiut betul dia! Setiap malam bila aku terjaga, aku akan peluk dia...cium-cium lembut pipinya, sengaja meletakkan hidungku di mulutnya utk mencium bau nafasnya yang harum. Aku akan duduk merenung wajah syurga itu yg sedang lena dengan penuh rasa tenang. Bila menatapnya begitu, kasih sayangku terasa begitu kudus untuknya dan rasa penat menjaganya langsung tidak terasa.

Aku menjaganya seperti anak sendiri. Aku belikan pampersnya, susunya dan apa saja keperluannya tanpa mengharapkan pemberian abang dan kakak iparku. Dia bagaikan kebahagian baru yang muncul dalam hidupku. Sesekali abang dan kakak iparku akan datang mengambilnya utk tinggal bersama selama beberapa minggu. Tidak ada masaalah bagi aku meskipun dua tiga hari aja saja aku sudah rindu. Aku sentiasa mengingatkan diriku, dia hak ibu-bapanya...bukan hak aku.

Hari dan tahun berlalu...Ajib membesar sihat di depan mataku. Dia memang anak yang baik dan tidak banyak kerenah. Sepanjang menjaganya kebetulan rezkiku murah. Kasih-sayang antara kami kian bertambah.

Terlalu banyak kenangan indah yang Ajib tinggalkan. Dia anak yang patuh, rajin dan jarang membantah. Ibuku amat menyayanginya. Apa saja suruhan uwannya...laju aja dilaksanakan.

"Ajib...tolong isi botol air uwan ni jap yang..."

"Jibbb...tolong ambikkan cermin mata uwan lam bilik"

"Ajib...tolong ambikkan tuala uwan."

"Jib...tolong ambikkan selipar uwan kat depan."

Ajib itu Ajib ini...dan Ajib laju aja bangun tak kira walau apapun yg sedang dibuat ketika itu. Ajibbb....Jibbbb... terngiang-ngiang suara arwah ibuku berlagu lembut memanggilnya.

Bila aku mengemas atau memasak, bila dia melihat bakul sampah sudah penuh; tanpa disuruh dia akan mengikat plastik sampah tersebut beserta dengan kata-kata, "Maksu takyah buang sampah tu tau. Nanti Ajib buangkan. Ajib nak tgk citer kartun ni jap."

Bayangkanlah betapa bahagia dan sejuknya hatiku apabila kanak-kanak berusia lima tahun penuh murni menawarkan budinya begitu.

Ada satu peristiwa yang tak dapat aku lupakan. Suatu hari aku dah lupa kenapa tp mmg hari itu dia agak nakal melakukan sesuatu yang melampau lalu aku memarahinya sambil melepuk montotnya. Dia menangis teresak-esak dan aku buat tak tau. Tidak juga memujuk. Cuma seketika kemudian aku dengar ibuku memujuknya. "Itulah...Ajib nakal sangat, kan maksu dah marah...blablabla"

Pada sebelah malamnya, aku dekati dia yang masih monyok. Aku bertanya, "Sakit ke maksu lepuk (pukul) Ajib siang tadi?"

"Tak sakit..." jawabnya lembut.

"Habis tu nape Ajib nangis?"

"Sebab maksu jerit..."

Aku terkedu. Sekaligus hiba bertamu. Bukan pukulanku yg memuatkan dia sedih tetapi jeritan aku. Aku pasti mesti aku jerit lebih kurang begini. "Berapa kali maksu dah cakap? nape degil sangat? Blablablabla..."

Demi Allah aku menyesal! Menyesal kerana tidak memberi teladan yang baik. Padahal aku selalu mengingatkan dia... cakap elok-elok...jangan jerit-jerit, tak baik. Dia ingat segala pesanan aku...aku sediri yang mecabuli didikanku sendiri. Sejak itu aku serik dan tak pernah lagi menjerit padanya. Itulah kali pertama dan terakhir.

Aku tak boleh lupa akan belaiannya. Dia memulangkan kembali setiap kasih sayang yg aku berikan. Terutamanya ketika malam. Ketika hendak tidur. Dia akan mememeluk dan membelai-belai rambutku ketika melayan matanya sebelum terlelap. Dia akan memeluk dan mencium-cium lenganku, kadang-kadang menepuk-nepuk bahuku, mengucup tanganku penuh kasih-sayang. Amat bahagia apabila anak sekecil itu memperlakukan aku begitu.

Lima tahun berlalu. Hari terasa terlalu singkat. Sudah tiba masanya Ajib harus ke tadika. Sebenarnya dia lebih suka tinggal dan bersekolah di sini. Tapi aku tak mahu. Dia ramai adik beradik. Aku tak mahu dia menjadi seorang yang mementingkan sendiri. Dia memang manja denganku dan aku tak mahu kemanjaan itu akan merosakkan dirinya kelak. Lagipun aku tak mahu memisahkan kasih-sayang dan kemesraan dia dengan keluarganya.

Aku masih ingat...pakaiannya sudah siap aku kemaskan. Sebelum itu aku dah ibu sudah lama memujuknya dan nampaknya dia faham dan tidak membantah. Namun pada saat akhir ketika saat akan berangkat, dia enggan bersalaman denganku. Dia lari ke tangga lalu menangis. Kakak ipar dan abangku memujuknya. Dia terus lari ke belakang rumah. Abg dan kakak iparku mati akal. Abangku lebih lagi tak sampai hati. Dia berkata pada isterinya "Ma, tahun depan ajalah kita sekolahkan dia. Bagilah dia masa setahun lagi." Kakak iparku nampak agak keberatan tetapi akur. Dia memanggil Ajib untuk mencium dan mengucapkan selamat tinggal. Tapi Ajib tetap tak mahu munculkan diri hatta melambai meskipun aku pujuk. Setelah kereta papanyaberlalu, barulah Ajib munculkan diri. Masih basah bekas airmata di pipinya. Aku memeluknya dan mengajak dia naik ke rumah. Aku dan ibu berpandangan. Dalam hati, bukan Ajib saja malah aku dan ibu juga lega. Malamnya Ajib kembali ceria.

Sayangnya, setahun bukanlah tempoh yang lama.Sudah sampai masanya Ajib harus ke tadika. Kali ini dia memang tidak ada sebarang pilihan. Sudah enam tahun. Panggilan tadika mesti disambut.

Peristiwa setahun lalu berulang. Namun kali ini tidak ada lagi peluang dan tolak ansur. Dia harus pergi tinggal bersama keluarganya.

Pujuk secara baik tak jalan. Segala bahasa indah sudah tak berguna. Sehingga kaka iparku terpaksa mengugutnya..."Kalau Ajib tak nak ikut mama balik, lain kali mama tak kasi Ajib balik rumah uwan lagi!

Masih jelas macam mana kakak iparku menarik Ajib masuk ke kereta dengan deraian airmata. Ajib mengeraskan tubuhnya, berdegil tidak mahu mengikut. Aku tak sanggup melihatnya. Dalam marahnya, airmata kakak iparku berderaian. Dia tahu betapa kasihnya Ajib pada kami, betapa Ajib tak sanggup berpisah dengan kami. Jauh disudut mata dan hatinya sendiri tak sanggup memisahkan kami.

Ketika itu airmata aku, ibuku, kakak iparku...airmata Ajib cukup menggambarkan perasaan kami masing-masing. Aku cuba tahankan diri daripada menangis, tapi aku tak boleh. Aku cukup sedih.

Aku cuba pujuk Ajib dengan janji-janji manis bersalut madu. Bila cuti Ajib leh balik sini...kita leh gi berkelah blablabla...ntah ayat apa lagi aku gulakan dia aku pun tak tau. Akhirnya dengan pipi yang basah dengan airmata, Ajib akur. Ibu menyuruh aku meludah sedikit belakang Ajib supaya dia tak merana merindui aku. Petua tu...ludah belakang supaya dia tak rindu ;-) Aku angkat bajunya lalu ludah skit belakang dia. Kemudian aku peluk dia menuju ke toyota unser papanya. Bila dia dah duduk, aku pegang tangannya. Waktu itu aku terigat sesuatu.

Aku masuk ke rumah mengambil sehelai kain batik basahanku. Aku berikan kain itu padanya dengan pesanan. "Kalau Ajib rindu maksu, Ajib cium kain ni ya nak ya? Buat selimut ke..." Dia cepat-cepat menyambar kain tersebut lalu memeluknya. Waktu itu airmata kami sama-sama laju. Aku hampir tak mampu berkata-kata. Kami sama-sama mengesat airmata untuk entah kali yg ke berapa.

Ketika papanya menghidupkan engin kereta...ntah berapa kali sudah kami berpelukan dan saling berciuman. Akhirnya aku segera tutu pintu kereta. Sudah tiba masanya untuk aku melepaskan dia. Aku tahan airmata. Aku cuba kuatkan hati dan semangat yg sememangnya tak kuat pun detik itu. Kereta mula bergerak. Aku menutup pintu pagar sambil melambai. Kami salig melambai. Putih mata Ajib memandang aku sehinggalah tubuh kami hilang dari pandangan. Aku bungkam... sebahagian daripada diri ini rasanya telah hilang...telah pergi. Aku dan ibu berpandangan tanpa kata. Kebisuan melengkapkan seluruh gambaran perasaan.

Malam itu aku tidur bertemankan sehelai baju basahan Ajib yang ku cium-cium tak henti-henti. Aku amat rindu membelainya. Setiap hari setiap malam selama enam tahun ini aku tak pernah jemu membelainya.

Malam-malam seterusnya aku menangis dalam diam..

Kini lima tahun telah berlalu. Ajib dah darjah lima pun. Tapi setiap cuti sekolah walaupun seminggu papa dan mamanya pasti akan menghantar dia pulang ke sisiku. Itulah saat yang paling aku tunggu-tunggu.

Kakak iparku bercerita... "Memang tak sabar hantar dia balik ni. Akak cakap kat abang, Ajib ni dah expired ni pa. "

Maksud "expired" di sini ialah : Rindu Ajib dah tamat tempuh dan harus diperbaharui dengan cara menghantar dia pulang menemuiku. Ehehehehe.

"Memang seminggu dua ni serba tak kena je dia. Sikit-sikit nak mengamuk. Dah faham sangat dah dia tu. Bila dah meragam camtu mesti dah expired!"

Aduhai Ajib aduhai!

Ajib dah besar. Skrg dah pandai malu-malu hendak manja-manja macam dulu kalau ada org lain bersama kami. Kalau tidur ramai-ramai dia tak nak peluk aku walaupun mesti tidur di sebelah aku. Kami ni jenis yang suka tidur bersepah-sepah, beramai-ramai. Tak ada yang suka tidur di bilik. Eheh Tapi bila tidur berdua aja dengan aku, mesti siap peluk dan cium macam selalu... Dia tetap seperti dulu ;-)

Kelakarnya kalau nak balik, Ajib akan duduk di bahagian belakang kereta mengadap tingkap. Dia akan melambai-lambai tetapi bila nak balas flying kiss aku dia akn pandang kiri-kanan dan sorok-sorok membalas flying kiss aku ehehehe. Kasih sayang kami tetap sama macam dulu. Kain basahan aku tetap setia menemani dia, menjadi selimut mengubati rindunya. Katanya mamanya, kalau kain tu hilang atau dia cari tak jumpa...siaplah dia mengamuk-ngamuk. Hahahaha. Ajib...Ajib...

"Kalau dia tertidur awal sebab letih sekolah pagi petang, bila terjaga tengah-tengah malam tak kira pukul 1 ke pukul 2 ke... dia akn mengamuk-ngamuk mengejutkan akak, minta tolong tunjukkan nak buat kerja sekolah. Selagi tak siap tak senang hati dia. Dia memang macam tu. Kalau abang-abang dia, siap tak siap kalau dah tidur tu takkan ada bangunnya. Dia ni memang lain sikit!" Kakak iparku bercerita. Lalu aku tersenyum bangga. That's my Ajib! Ucapku dalam hati.

Ajib dah besar sekarang nak...tp kasih maksu tetap sama macam dulu...Ajib tetap anak kesayangan maksu. Ajib tetap pelita hati maksu... buah mimpi maksu... terima kasih atas kasih sayang Ajib yang tak pernah padam itu anakku... Ajib adalah sesuatu yang indah yang pernah muncul dalam hidup maksu... Terima kasih Ya Allah kerana melimpahkan kasih-sayangMu kepada kami untuk saling mengasihi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tulis je la apa nak tulis :p

.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~