-->

Isnin, Januari 31, 2011

Pindang Ikan Sembilang

Sudah lama benar saya tidak memasak. Saya gemar memasak bila ada ramai orang di rumah dan ramai yang kaki makan. Dulu ketika duduk di kampung dan arwah mak masih ada, abang-abang dan kakak rajin pulang menjenguk mak. Jadinya saya pun rajin ke dapur memasak lauk-pauk untuk mereka. Tetapi sejak duduk di bandar ni...aktiviti memasak saya terhad. Kerja-kerja memasak di monopoli oleh kakak yang memang tidak suka orang 'mengacau' dia di dapur. Samalah macam saya, tidak suka diganggu ketika sedang memasak. Pendek kata...ketika kami memasak pergilah main jauh-jauh! Kecuali kalau ada yang nak tau, nak belajar, nak tengok bolehlah...tiada pantang larangnya.

Malam semalam anak saya muncul bersama Miq membawa 'seperiuk' ikan sembilang yang masih hidup. Katanya diberi oleh jiran. Jirannya itu pula mendapat ikan sembilang itu daripada seorang ustaz. Alhamdulillah. Tidak pasti samada ikan sembilang belaan atau ikan sembilang kampung. Memandangkan sudah malam...saya malas nak menyiang. Kalau terus masukkan dalam peti sejuk, dah keras nanti susah pla menyiangnya. Lalu saya masukkan garam kemudian saya tutup dengan tudung periuk dan menghimpit tudung periuk itu dengan lesung batu. Bedebash debush bunyi ikan-ikan itu menggelepar keasinan. Kejamnya saya kan?

Selang dua jam kemudian setelah pasti kesemua ikan itu telah mati, saya masukkan ikan dengan periuk itu sekali ke dalam peti sejuk kakak saya yang besar itu. Keesokan harinya pagi-pagi sebelum subuh saya keluarkan periuk ikan tersebut dan merendamnya supaya lembut. Selepas subuh sebelum Miq sampai,saya sudah siap menyiang dan membersihkannya dengan garam dan limau kasturi. Saya kira ada tigapuluh ekor kesemuanya. Alhamdulillah tidak ada bau hanyir.

Saya bagi dua ikan itu separuh untuk di masak pada hari itu, separuh lagi saya simpan. Kakak kata dia teringin nak masak pindang ikan itu.Selalunya masak lemak cili api saja. Memang dah lama tak makan pindang ikan.

Masak pindang ni tak jauh bezanya dengan masak lemak cili api. Cara masaknya sama. Bezanya cuma masak pindang ini, kuahnya di keringkan. Dalam proses pengeringan kuah itu, ikannya agak hancur sedikit. Bila makan kenalah sabar dan berhati-hati mencari tulang. Kalau gelojoh nanti tercekik. Memang sedap sangat kakak masak pindang ikan sembilang tu. Setelah dibahagikan sana sikit sini sikit. Baki yang tinggal cukuplah untuk lauk kami selama dua hari. Untuk pengetahuan anda, gulai ikan masak lemak cili api tidak kira ikan apapun, bila dipanaskan dan dikeringkan kuahnya, makin kering makin sedap. Buat lauk dua tiga hari pun tidak menjemukan. Amat berperisa sekali!

Cara masak pindang ini lain orang lain caranya. Kalau saya, saya akan kecutkan dulu ikan tu dengan menggaulkan cili api dan garam yang telah ditumbuk (sekarang blender saja). Masukkan asam keping dua tiga keping. Bila ikan dah kecut sikit, balikkan. Bila dua-dua belah dah kecut skit, masukkan santan. Kacau supaya tidak pecah minyak. Masak dengan api yang sederhana. Bila gulai dah menggelegak sikit, masukkanlah apa-apa campuran yang anda suka. Samada petai yang telah dikikis, jantung pisang atau pisang muda, terung pipit (terung belimbang)ke atau daun asam terpulang.

Saya lebih suka menggunakan limau kasturi atau limau nipis sebagai ganti asam keping atau asam jawa sebab lagi umphh rasanya ;) Kalau hendak lauk yang berkuah, biarkan bersangai sekejap. Maksudnya, bila dah menggelegak dan terasa asam garamnya, kecilkan api...biarkan seketika dalam lima minit macam tu. Selepas itu baru padamkan api. Ada orang suka masukkan serai tapi saya tidak menggunakan serai dan bawang untuk masak lemak cili api saya.

Kalau nak pindang kering, biarkanlah kuah itu terus menggelegak. Kacau selalu supaya tidak melekat. Hendak makan masak pindang kena sabar menunggu sampai kuah kering. Sesekali kacau supaya tidak lekat...nanti lain pula rasanya. Selain daripada ikan sembilang dan ikan haruan, ikan puyu dan ikan sepat juga sedap dimasak pindang. Cumanya makan kena cermat sebab memang banyak tulang. Tahap kekeringan kuah gulai itu terpulanglah kepada anda. Pada saya, lagi kering lagi sedap. Makan dengan nasi panas, memang meleleh. Kalau pagi-pagi makan dengan nasi sejuk, memang kenyang sampai ke petang. Cubalah!

TELUR IKAN

Telur ikan itu kalau nak masukkan terus ke dalam gulai pun boleh. Tapi pastikan kuah gulai tu dah menggelegak supaya telur itu tidak hanncur. Kalau nak lagi sedap, bungkus dengan daun kunyit. Bau dan rasanya memang amat menyelerakan! saya seronok sebab di rumah ini ramai yang tak suka makan telur ikan. Maknanya ada banyak telur ikan untuk saya! Seronoknya!

Rabu, Januari 26, 2011

Jering

Tangkai jering. Memang ramai yang tahu apa ertinya peribahasa tangkai jering kan? Maknanya kedekut! Tapi mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana rupanya pokok jering dan buah jering. Tidak tahu mengapa ia dikaitkan dengan sikap orang yang kedekut. Orang kedekut memang susah hendak mendapatkan apa saja daripadanya. Liat dan keras hati serta kurang belas kasihan. Kaitannya dengan jering? Pokok jering lazimnya tinggi. Tangkainya liat dan memang agak susah untuk dipisahkan dari batangnya. Kalau menggunakan galah memang jenuhlah memulas  sebelum tangkainya putus dari dahannya. Itulah sebabnya ia digunakan sebagai perbandingan dengan sikap manusia.

Jering memang sedap dibuat ulam (bagi yang menggemari) tidak kira ketika masih muda dan lembut atau sesudah tua dan keras. Selalunya buah jering yang sudah keras di 'tanam' untuk lebih menyedapkan lagi rasanya. Buah jering yang telah dikupas itu, di tanam di dalam tanah tidak kira di dalam pastu atau bekas berisi tanah atau di atas tanah biasa. Setelah dibiarkan beberapa hari, ia akan bercambah dan berwarna kehijau-hijau. Buah jering itu bolehlah diambil mengikut keperluan samada untuk dijadikan ulam atau untuk di buat perencah masakan. Bagi orang tua yang sudah tidak bergigi, selalunya jering itu akan ditumbuk dulu sebelum dibuat ulam.

Jering juga sedap dibuat sambal. Digoreng kering dengan cili kering dan ikan bilis. Jering yang masih mudah memadai dibuang kulit nipisnya sebelum dicampurkan dalam masakan. Manakala jering yang sudah tua ditumbuk terlebih dahulu supaya naik rasa dan bau.
Amaran! Jika buang air kecil mahupun besar jangan lupa jirus banyak-banyak dan bersih-bersih agar baunya tidak semerbak ke seantero alam :p

Selasa, Januari 25, 2011

Pokok kekabu

Ketika balik kampung sempena cuti Tahun Baru Raya Cina dulu, saya sempat merayau naik ke kebun yang tidak lagi seperti belukar tempat harimau mengaum. Setelah mengupah orang menebas dan meracun sebelum raya puasa tahun lepas. Kemudian saya turuti dengan meracun sekali lagi,barulah kemas kaki melangkah. Itu pun kalau tidak betul caranya tersandung juga dengan akar-akar palas yang degil mula menghijau semula daunnya. Barulah saya berani berpusing keliling bagaikan mandur dusun durian. Di kebun saya ini ada lapan batang pokok durian yang selalunya tidak serentak berbuah. Ada banyak pokok kelapa. Beberapa batang pokok jering. Sebatang pokok petai yang tinggi menculin tapi hanya baru tiga kali berbuah. Ada empat lima batang pokok nangka, pokok cempedak, belimbing besi, mangga, rambutan masam, pokok cemperai (pucuknya sedap di buat sayur), beberapa batang pokok pinang serta beberapa pokok hutan yang saya tidak tahu namanya.

Antara pokok-pokok tersebut, ada sebatang pokok kekabu yang diapit oleh dua batang pokok durian.Daripada pokok inilah kekabu diambil untuk dibuat tilam dan bantal. Memang nyaman kalau dapat tidur berbantal dan bertilamkan kekabu. Tilam dan bantal kekabu masih ada dijual tetapi harganya agak mahal.

Setelah sekian lama barulah saya perasan rumah bentuk batang kekabu ini. Saya menyangka pokoknya sama seperti pokok hutan yang lain. Rupa-rupanya agak berbeza dengan kehadiran benjolan yang berupa duri-duri besar yang tidak tajam. Itu menjadikan pokok kekabu agak unik berbanding pokok yang lain. Sewaktu saya kecil dahulu, saya masih ingat arwah mak membeli kekabu di kedai cina di pekan dengan beberapa ela kain nipis yang murah. Emak menjahit sendiri sarung bantal dan bantal peluk. Ditinggalkan sedikit jahitan yang terbuka di sudut sarung untuk disikan dengan kekabu. Setelah kekabu siap diisi mengikut keperluan secukup dan sesedap meletakkan kepala, emak akan menjahit bantal itu dengan cantik dan sempurna.

Sekarang orang sudah jarang menggunakan bantal atau tilam kekabu. Mereka lebih suka menggunakan tilam dan bantal dunlopillo yang lebih lembut dan beralun. Tidak perlu dijemur seperti bantal dan tilam kekabu yang akan melepet jika sudah lama tidak dijemur untuk menggebukan semula kekabunya :)

Zaman berubah...tilam dan bantal kekabu kian menjadi barangan nostalgia!

Sabtu, Januari 22, 2011

Saat manis...

Selamat datang ke dunia baru wahai Ahmad Alawi Al-Muhtadee bin Naizam. Semoga
lekas sembuh dan kembali ke rumah bersama ibumu ya sayang. Semoga membesar menjadi anak yang soleh, bijaksana, budiman dan penuh keimanan. Amin. Sayanggg dia! :)

Catitan: "...kan dia cucu mama juga..." Terima kasih nak. Terharu dan menitis airmata ini...

Rabu, Januari 19, 2011

Anakku...

Hidupilah kehidupanmu nak...usah biarkan hatimu mati meratapi cinta yng telah jauh pergi...keagungan cinta manusia hanyalah cerita semu. Ingat lagi bicara kita dulu tentang cinta Illahi? Itulah yang harus kita cari. Itulah sebenarnya cinta yang sehabis tulus dan abadi.

Sabtu, Januari 15, 2011

Kelahiran...

Hari ini saya menerima berita kelahiran yang amat menggembirakan. Anak angkat saya yang berada di bumi Brunei Darussalam selamat melahirkan seorang bayi lelaki comel setelah beberapa kali keguguran. Alhamdulillah. Saya tahu kehadiran bayi ini amat berarti kerana inilah impian dia sejak dulu...mempunyai zuriatnya sendiri. Terima kasih Ya Allah kerana mengabulkan doa dia...doa saya serta doa-doa insan-insan yang menyayanginya. 

Walaupun lahir secara pembedahan, bayi yang dilahirkan pada jam 12.40 p.m dan seberat 2.52 kg ini serta ibunya selamat. Alhamdulillah. Itu yang lebih penting.

Rasa ingin terbang ke sana sekarang juga untuk mencium si comel itu serta ibunya. Saya sudah pun mempunyai tiket pergi balik ke sana dengan tarikh yang masih belum ditetapkan. Anak saya menempah tiket itu untuk bulan tujuh tetapi tarikh itu boleh diubah guna tarikhnya sehingga ke hujung tahun. Walau apapun saya merasa amat bahagia. Apatah lagi melihat kebahagiaan anak saya yang selalu gusar dengan kesihatan dan keselamatan kandungannya. Selamat menjadi ibu anakku! Tahniah Naizam kerana telah menjadi seorang ayah. Semoga kebahagiaan kalian berkekalan ke akhir hayat. Amin...

Catatan: Syukur. Alhamdulillah! Brie...ingat apa yang pernah mama kata dulu? Suatu ketika apabila tiba masanya... setelah puas diduga... Allah akan memberikan kita bahagia :)

Khamis, Januari 13, 2011

Puisi Kesedihan

Kesedihan

ada kalanya dirasakan
tiada berhujung tiada berpangkal

siang terasa terlalu singkat
dan malam ditarik-tarik memanjang
dalam ribuan mimpi gelisah
gunung tiba-tiba jadi lebih tinggi
dan hutan semakin menebal
di sungai air tidak lagi mengalir
langit diliputi gumpalan awan merah
bulan telah ditelan ular
dan bintang-bintang ketakutan
tiada apapun kulihat dalam kegelapan ini

di manakah matari
aku merindui sinarmu

Said Zahari 1968

Puisi indah ini mengingatkan saya pada allahyarham Mustafa Noor. Masih terngiang-ngiang di telinga saya allahyarham menyanyikan lagu ini merdu dan syahdu...penuh penghayatan dengan kesedihan yang jelas pada wajah dan suaranya. Al-Fatehah untuk allahyarham Mustafa Noor, aktivis teater  yang saya menghormati dan menghargai jasanya pada perkembangan teater negara suatu ketika dahulu.

Catatan: Terima kasih kepada Pak Zaid Zahari kerana menghasilkan puisi yang indah ini.

Rabu, Januari 12, 2011

1/1/11... Innalillah...

Ttarikh yang cantik ini membuka tirai kepada satu lagi kehilangan dalam keluarga kami. Kali ini giliran bapa saudara saya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah kegagalan jantung, paru-paru dan buah pinggang. Saya masih ingat...beberapa hari selepas arwah abang ipar saya meninggal dunia dua tahun lalu, arwah bapa saudara saya berada di icu. Dia pulih. Allah memberikan dia tempoh sehinggalah ke tarikh ini. Hampir dua tahun masa berlalu. Serangan yang datang tiba-tiba sekaligus meragutnya nyawanya. Beliau tidak merokok... berbanding arwah abang saya yang meninggal dunia tujuh bulan yang lepas yang memang merupakan perokok tegar. Namun...begitulah...maut menjemput tidak kira siapa kita dan bagaimana cara hidup kita. Tidak lewat juga tidak cepat walaupun sesaat. Pabila denting jam tepat pada takal usia...berakhirlah riwayat manusia.

Tiga kucupan di dahi ketika saya menatap wajahnya buat kali terakhir pada malam itu menutup rasa hampa saya yang agak  lewat tiba siangnya ketika menghadiri  pengkebumian. Ketika sampai, jenazah sudah di bawa turun untuk di masukkan ke dalam van jenazah sebelum dibawa ke masjid untuk disembahyangkan kemudian dibawa ke kawasan perkuburan.Kebetulan pada hari yang sama, paginya saya adik beradik ada janji temu dan angkat sumpah di Pejabat Tanah. Selesai saja urusan tanpa berlengah kami terus bertolak ke sana.

Entah mengapa airmata saya kali ini agak mahal harganya. Meskipun masih berlinang namun tidaklah selebat kehilangan yang lalu. Saya percaya bukan kerana hati sudah keras tetapi mungkin kerana saya sudah letih menangisi pemergian seorang demi seorang saudara terdekat. Saban tahun saya pasti kehilangan beberapa orang ahli keluarga terdekat. Keredhaan itu barangkali sudah semakin tebal lalu mampu mengilas sebak di dada.

Semoga Allah mengurniakan cahaya terang serta meluaskan 'rumah' arwah di alam sana. Kita juga akan ke sana. Bila di mana dan bagaimana....hanya Allah yang ada menyimpan jawapannya.

Catitan: Dari Allah kita datang kepadaNyalah juga kita kembali...

Selasa, Januari 11, 2011

Emel Dari Seberang...

...Saya pergi kerana merasa amat terluka.Sudah berulangkali saya dicampakkan dan dilupakan. Hanya dikutip dan diingati apabila diperlukan.Sebelum saya dicampak untuk kali ke tiga,biarlah saya pergi. Jauh dari dia mungkin lebih menenangkan saya walaupun jarak takkan mampu memujuk hati saya untuk melupakan dia. Sekurang-kurangnya memutuskan segala hubungan serba sedikit dapat mengubati luka. Dekat tapi membisu lebih sakit daripada jauh dan menyepi. Saya tak kisah jika diletakkan ditepi-tepi..walau sekadar di pinggiran.Tapi saya bukan dipinggir atau disisihkan tetapi telah dicampakkan!

Saya pernah dicampakkan oleh seorang yang bernama kekasih. Saya tak rela dicampakkan pula oleh seorang sahabat yang sangat saya sayangi, yang akan saya berikan apa saja jika dia memerlukan!

Dia pernah kata nak cakap sesuatu pada saya. Saya kata cakaplah. Dia kata dia akan cakap bila tiba masanya. Saya menunggu tapi dia terus menyepi dan membisu.Tak ada panggilan, tak ada sms.Dia terus menyepikan diri sehinggalah saya pergi. Kini samada dia atau saya sama-sama tidak akan tahu apa-apa. Sampai bila-bila saya takkan tahu apa yang dia ingin katakan dan sampai bila-bila pun dia takkan mendapat jawapan pada soalan yang ingin dia tanyakan. 

Tak apalah. Tentu sekarang semua itu dah tak penting lagi pada dia. Sebagaimana saya tak lagi penting dalam hati dan hidupnya. Saya rasa dia dah cukup bahagia. Jadi biarlah dia kekal dengan kebahagiaannya. Saya bahagia melihat dia bahagia. Saya akan sentiasa mendoakan kebahagiaan dia. Cuma saya terluka dan berkecil hati. Kalau pun saya bukan lagi sahabat yang pernah dia cinta, salahkah untuk saling menghubungi? Tapi dia telah memilih jalan untuk menyepi. Agaknya dia terlalu sibuk dengan cinta baru sehingga tak ada masa menghantar pesanan ringkas atau meluangkan waktu 5 minit dalam sebulan untuk 'bekas' sahabatnya ini. Atau dia sudah lupa tentang kewujudan saya :)Biarlah asalkan dia bahagia. Perasaan saya? Lupakan saja. Hati dan perasaan saya tak penting pada sesiapa.

Catitan: Saya hanya mampu menyeka airmata selepas membaca. Begitulah pabila takdir berbicara...

Isnin, Januari 10, 2011

RAHSIA DI SEBALIK NOMBOR – PERSEPSI & VERSI ISLAMIK


“Dan segala sesuatu pada sisi-Nya ada ukurannya.”
(Q.S. Ar-Ra’du 13 : 8 )

Kata ‘ukuran’ membawa kita kepada pengiraan. Manakala di dalam ilmu pengiraan kita akan bertemu dengan simbol nombor atau angka. Tidak kiralah apa bentuk ‘bahasa’ sesuatu angka itu tertulis, setiap simbol angka ini merujuk kepada sejumlah bilangannya. Tidak kiralah ‘bahasa’ apa sebutan yang digunakan untuk memanggil angka ini, ia merujuk kepada ‘perkara’ (jumlah) yang sama. Samada anda menamakan ia SATU atau WAHIDUN atau ONE atau EIN (bahasa Jerman) atau UNO (bahasa Itali), UNE (bahasa Perancis) atau berbagai bahasa-bahasa lainya yang ada dalam dunia ini; ia merujuk kepada maksud bilangan jumlah yang sama iaitu 1 (satu). Ia adalah simbol universal. Ia adalah BAHASA ALAM.

Maha hebat penciptaan ALLAH, simbol ini TERTULIS pada alam dalam berbagai ragam ‘wajah’ atau bentuknya. Wajah-wajah Allah ada yang tertulis dalam kitab suci Al Quran sebagai ayat-ayat yang nyata dan terselindung (tersirat), dan ada pula yang tidak tertulis di dalamnya, iaitu yang terbentang di seluruh jagat raya. Ada yang terhitung dan ada yang tidak. Lihatlah jumlah matahari yang ada di langit. Lihat juga jumlah bulan. Bukankah jumlahnya 1. Lihat pula bintang-bintang. Terhitungkan jumlahnya? Tidak perlu terlalu jauh, lihat sahaja yang terbentang pada alam diri. Satu hidung dengan dua lubangnya. Satu mulut dengan satu lidahnya. Dua telinga, dua tangan, dua kaki, 20 jari jemari, satu unit kepala, satu leher, satu dubur, satu kemaluan dan sebagainya. Yang tak terhitung pula; rambut, bulu roma, kening dan berbagai bulu-bulu lagi pada diri. Malah yang ‘terbina’ di dalam tubuh juga ada jumlah-jumlah bilangannya.

Ayat 8 dari surat ke-13 di atas menjelaskan bahwa Allah menciptakan segala sesuatu dengan kadar ukuran yang telah ditetapkan. Dengan kata lain, tidak ada ‘wajah’ atau ayat Allah, baik yang tertulis maupun yang terbentang itu ada atau terjadi begitu saja, tanpa disengaja. Semuanya sudah direncanakan, diperhitungkan, dan diatur oleh-Nya, bukan merupakan sesuatu yang kebetulan. Apabila disengaja, tentu ada maksud dan tujuannya.

Ada ‘wajah’ atau ayat yang mampu difahami secara tersurat namun ada juga yang memerlukan penafsiran untuk merungkai yang tersirat. Ada yang jelas bentuk rupanya namun ada juga yang tersembunyi atau RAHSIA. Malah ada yang memiliki yang tersurat dan tersiratnya. Di saat sesuatu itu mampu difahami dari berbagai penafsiran, makna sebenarnya dari ayat-ayat Allah itu mula tersingkap, tetapi mungkin juga penafsiran itu tidak atau belum mencapai makna sebenarnya. Hanya yang maha tahu yang tahu. Namun yang pasti, manusia memang diperintahkan untuk terus menelaah dan mengkaji ‘wajah-wajah’ atau ayat-ayat Allah.

Begitu jugalah ‘sesuatu pada sisi-Nya’ yang bersifat UKURAN iaitu NOMBOR. Allah ‘berbicara’ tentang nombor secara jelas (tersurat) dan tersembunyi (tersirat) melalui kalam-Nya di dalam Al-Quran. Ada yang mampu ‘terlihat’ dan jelas terbentang namun ada juga yang tersembunyi dan harus direnungi dan dihayati makna yang tersembunyi. Benarlah firmanNya yang bermaksud: “Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui.” (Q.S. Yunus 10: 5)

RAHSIA Surah Al-Fatihah

“Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al Quran yang agung.” (Q.S. Al Hijr 15: 87).

Sebagian besar ulama menafsirkan bahawa tujuh ayat yang diulang-ulang itu adalah surat Al Fatihah. Hakikatnya memang benar, 7 ayat dalam surat Al Fatihah ini memang diulang-ulang baca oleh seluruh umat Islam ketika melakukan solat. Hakikatnya juga ayat 1 hingga 7 surah Al-Fatihah ini diulang-ulang baca dalam 17 rakaat pada 5 kali solat sehari semalam. Surah inilah yang dibaca ketika berdoa. Surah inilah yang dibaca di majlis-majlis.

“Surah ke 1 jumlah ayat 7 dibaca 17 kali”

Allah mengajar ILMU NOMBOR kepada kita di dalam SURAH PERTAMA (Al-Fatihah) ini. Umumnya, walaupun sejarah menyatakan bahawa ayat 1-5 surah AL-ALAQ merupakan WAHYU PERTAMA untuk rasulullah SAW namun di dalam penyusunan Al-Quran, Al-Fatihah dijadikan UMMUL QURAN atau sebagai PEMBUKA Al-Quran. Surah inilah yang bakal ditemui oleh sesiapa juga yang memulakan bacaan kitab Al-Quran ini. Jika diamati, surah ini nyata unik dan berbeza dengan surah-surah yang lain dimana ayat pertamanya adalah BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Walaupun kita bakal bertemu kalam Bismillah di permulaan seluruh surah (kecuali surah Al-Taubah), namun Bismillah tersebut bukanlah ayat yang bertanda. Ini bermaksud, ia bukanlah sebahagian dari ayat-ayat dalam surah-surah yang diawalinya. Ia adalah ‘adab’ membaca ayat-ayat Al-Quran. Berbeza dengan Bismillah di surah Al-Fatihah, ia adalah ayat pertama di surah pertama ini. Tidak membacanya bermaksud gugurlah surah (tidak lengkap) yang seterusnya akan mengugurlah ibadah yang didirikan (contohnya solat). Adakah fenomena ini kebetulan atau ada ‘ilmu’ yang tersirat di sebaliknya? Mengapa Bismillah di surah Al-Fatihah ini bertanda ‘ayat 1’ manakala Bismillah pada awal surah yang lain tidak bertanda??

“Dan segala sesuatu pada sisi-Nya ada ukurannya.”

Allah seolah memberi PERTUNJUK PERTAMA di AYAT PERTAMA dalam SURAH PERTAMA ini.

Tatkala diteliti kalimah Bismillah di dalam susunan huruf-huruf arab, ia terbina dengan 19 huruf. Fenomena angka 19 dan kelipatannya di dalam Al Quran memang sudah cukup lama dibicarakan namun tidak semua ‘minda muslim’ mahu melihatnya dan menghayatinya. Menariknya, pengkaji-pengkaji ilmu nombor rata-rata bersetuju bahawa SIMBOL NOMBOR hanya ada Sembilan Angka kesemuanya iaitu 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8 dan 9. Dimulai dengan simbol angka 1 dan di akhiri dengan simbol angka 9. Maka, MESEJ ALLAH melalui kod metamatik 19 huruf yang membina kalimah Bismillah ini seolah menggambarkan SEGALANYA DI ANTARA 1 dan 9, yakni “DIALAH YANG AWAL DAN YANG AKHIR” sejajar dengan firmannya dalam surah Al-Hadid ayat 3 yang bermaksud:

“Dialah Yang Awal dan Yang Akhir dan Yang Zahir serta Yang Batin dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” QS 57:3

Kod metamatika 19 pada Bismillah ini juga memperlihatkan suatu formula metamatik agung yang membuktikan MUKJIZAT Al-Quran yang dipenuhi dengan KERANGKA KEKUNCI METAMATIKA ULUNG yang tak mampu dicipta oleh manusia. Jika dicampurkan angka yang kelihatan ini (iaitu 1 dan 9) ia akan membawa kita ke satu nilai akhir iaitu SATU (1+9 = 10 seterusnya 1+0= 1). Bukankah ayat Bismillah merupakan AYAT PERTAMA (SATU) yang tersusun di dalam Al-Quran??!.

Tidak cukup dengan itu, penemuan-penemuan oleh mereka yang mengkaji al-Quran telah menemui berbagai Rahsia Keajaiban yang membukti ALLAH adalah GURU METAMATIK melalui kitabnya Al-Quran. Antaranya:

AL-QURAN mengandungi 114 surah iaitu 19X6
Ada 6346 rangkap ayat (termasuk 112 Bismillah yg tidak bertanda iaitu 19X334 (menariknya 6+3+4+6 = 19)
BISMILLAH disebut 114 kali, walaupun ianya mudah dilihat ketiadaannya disurah 9 (ianya disebut dua kali didalam surah 27) & menjadikan 114 =19 x 6.
Dari surah 9 yang tidak ada Bismillah sampai kesurah 27 yang mempunyai ekstra Bismillah, jaraknya genap 19 surah surah.
dan banyak lagi….

RAHSIA METAMATIKA DALAM AL-QURAN

KERANGKA KEKUNCI METAMATIK ini tidak habis hanya pada angka 19. Banyak pertunjuk-pertunjuk lain yang jelas dan tersembunyi. Contoh lainnya adalah; perkataan-perkataan yang memiliki maksud yang berlawanan di bawah ini ditemui dalam al-Quran pada JUMLAH YANG SAMA.


AL-HAYAH (HIDUP)
145X
MAWT (MATI)
AN NAF’ (MANFAAT)
50X
AL MADHARRAH (MUDARAT)
AL HAR (PANAS)
4X
AL BARD (DINGIN)
AS SHALIHAT (KEBAJIKAN)
167X
AS SAYYI’AT (KEBURUKAN)
AL THUMA’NINAH (KETENANGAN)
13X
AL DHIQ (KESEMPITAN)
AR RAHBAH (CEMAS)
8X
AL RAGHBAH (HARAP)
AL KUFR (KEKUFURAN)
17X
AL IMAN (KEIMANAN)

AL IMAN (KEIMANAN)
Jumlah yang seimbang di atas menggambarkan suatu kerangka kekunci metamatik yang begitu unik. Ia juga BUKTI bahawa Al-Quran bukanlah dogengan Rasulullah SAW seperti yang dituduh oleh kaum Quraisy pada masa hayat baginda. Banyak lagi contoh yang lain. Semuanya ini akan membukakan JENDELA PEMAHAMAN bahawa Al-Quran juga memiliki ILMU METAMATIKA yang tinggi. Rahsia di sebalik Nombor di dalam ISLAM ternyata mampu memberi MAKNA dalam pengibadatan sekiranya dihayati dan difahami. Contohnya, apabila kita menghitung ruas tulang jari-jari tangan dan kaki kita maka masing-masing memiliki 19 ruas tulang. Kita memiliki dua tangan dan dua kaki, jumlah ruas tulang tersebut adalah 19 x 4 = 76. Adapun surat ke-76 di dalam Al-Quran adalah Surah Al Insan yang bererti manusia. Adakah ini kebetulan atau “BERADA DALAM UKURAN-NYA”??.

Contoh lain pula, apabila kita perhatikan kembali fenomena al-Fatihah dengan 7 ayat yang akan di baca berulang-ulang kali, kita akan bertemu dengan RAHSIA 7 lainnya.

“Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak menuju langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Q.S. Al Baqarah 2: 29)

Di dalam ayat tersebut, Allah menyebut tentang adanya tujuh langit. Dan ternyata ayat yang membicarakan tentang tujuh langit di dalam Al Quran jumlahnya juga tujuh ayat iaitu dalam surah:

Al Baqarah 2: 29,
Al Mukminuun 23: 17,
Fushshilat 41: 12,
Ath-Thalaq 65: 12,
Al Mulk 67: 3,
Nuh 71: 15, dan
An Naba’ 78: 12.

Persoalan RAHSIA NOMBOR dalam Islam tidak hanya terhenti dalam meneliti ayat-ayat Al-Quran. Islam diwarnai dengan ILMU NOMBOR. Lihat sahaja contoh-contoh ini:

5 Rukun Islam
6 Rukun Iman
5 Rukun Umrah
6 Rukun Haji
5 X Solat
7 X tawaf
7 X larian Sa’ie
30 Juzuk
114 Surah
17 Rakaat
17 X Ruku
34 X Sujud
4 Kitab Allah
99 Nama Allah
99 Nama Rasul
20 Sifat Allah
25 Rasul
dan sebagainya…

Cabaran untuk kita adalah untuk terus membongkar rahsia-rahsia tersebut demi mencapai MAKSUD & MAKNA dalam pengabdian kepada yang SATU.

RAHSIA DI SEBALIK SOLAT - Ruku’ & Sujud

Seharian kita menjalankan ibadat solat 5 kali sehari semalam. Ia terbina dengan 17 rakaat iaitu 2 bagi solat Subuh, 4 untuk Zohor, Asar dan Isya’ dan 3 untuk Maghrib. Pada setiap rakaat pula kita membaca Al-Fatihah yang mengandungi 7 ayat, melakukan 1 X Ruku’ dan 2 X Sujud dengan 1 X duduk diantaranya.

Di dalam buku Metamatika Islam karangan KH. Fahmi Basya, beliau menjelaskan bahawa ketika kita telah melakukan 1 rakaat dalam solat, sesungguhnya kita sudah melakukan satu putaran yang terdiri atas satu kali ruku’ dan dua kali sujud. Saat ruku kita membentuk sudut 90° posisi berdiri tegak. Sedangkan saat sujud kita membentuk sudut 90°+45°=135° dari posisi tegak. Maka tatkata kita lengkap melakukan 1 ruku’ dan ditambah dua sujud, jumlah sudutnya adalah 90° + 135° + 135° = 360° atau satu lingkaran penuh. Umpama TITIK AWAL yang melingkar penuh lalu menemukan TITIK AKHIR dengan awalannya. PENUH bermaksud SEMPURNA.

Pada setiap rakaat, melalui lingkaran yang penuh ini rakaat itu menjadi sempurna lalu kita ulanginya lagi dan lagi mengikut perkadaran jumlah rakaat solat yang ditunaikan. Bukankah solah itu membentuk KESEMPURNAAN. Melatih energi dalaman agar terjana penuh. Umpama PUSARAN KIPAS yang lengkap putarannya. Lalu, 17 rakaat sehari semalam ini membawa kepada 17 lingkaran penuh (BULATAN 360°) atau PUSARAN LENGKAP KIPAS YANG MENJANAKAN ENERGI TUBUH. Jika dihalusi lagi, angka 1 dan 7 (pada jumlah 17 ini) akan membawa kepada angka 8 (iaitu 1+7=8) dan 8 adalah satu-satunya angka yang TIDAK PUTUS (titik awal bertemu titik akhir). Ia juga seumpama bentuk BILAH KIPAS yang digambarkan tadi.

Rasullullah sebagai UTUSAN ilmu-ilmu ALLAH. Manakala, “Dan segala sesuatu pada sisi-Nya ada ukurannya.” (Q.S. Ar-Ra’du 13 : 8 ). Menariknya untuk kita renungi lagi, sewaktu berlakunya GERHANA MATAHARI iaitu pada masa BUMI, BULAN DAN MATAHARI BERADA PADA SATU GARISAN LURUS, kita disunatkan melakukan Solat Gerhana. Aisyah r.a. berkata, “Pada masa Rasulullah saw. masih hidup pernah terjadi gerhana matahari. Maka Rasulullah saw. menyuruh orang banyak solat berjamaah. Setelah mereka berkumpul, Rasulullah saw. datang lalu bertakbir dan solat dengan 4 kali ruku’ dan 4 kali sujud dalam dua rakaat.” (Sahih Muslim)

Kembali ke kajian tentang ruku dan sujud di atas tadi, perputaran dalam Solat Gerhana yang terdiri atas dua rakaat dengan 4 ruku dan 4 sujud itu dihitung sebagai berikut:

Rakaat 1 = 360º + 90º (kerana 2 x ruku’) = 0º + 90º = 90º

Rakaat 2 = 360º + 90º (kerana 2 x ruku’) = 0º + 90º = 90º

Maka, 90º +90º = 180º = iaitu SAMA DENGAN SATU GARIS LURUS. Hal ini sama duduknya dengan peristiwa gerhana iaitu posisi matahari, bumi, dan bulan membentuk satu garis lurus.

Manakala jikalau diamati pula senario Solat Jenazah yang tiada ruku’ dan sujud melalui diskusi kaedah di atas, kita akan mendapati TIADA LINGKARAN PENUH atau PUSARAN LENGKAP terbentuk. Ini adalah kerana tiada posisi ruku’ dan sujud yang dilakukan. Jika lingkaran penuh ini dikaitkan dengan penjanaan PUSARAN ENERGI HIDUP (roh), maka kaedah solat jenazah ini menggambarkan tiadanya lagi PENJANAAN ENERGI berlaku kerana hakikatnya roh si mati telahpun meninggalkan tubuhnya. Solat jenazah adalah himpunan doa-doa yang dilakukan secara berjemaah untuk dihadiahkan kepada si mati seperti bacaan doa selepas takbir ketiga iaitu:

“Ya Allah! Ampunilah dia dan kasihanilah dia dan sejahterakanlah serta ampunilah dosa kesalahan dia. Dan muliakanlah kedatangannya dan luaskanlah tempat masuknya (kuburnya) dan bersihkanlah dia dengan air salju dan embun, bersihkanlah dia dari segala dosa dan sebagaimana kain putih yang bersih dari segala kotoran dan gantikanlah baginya rumah yang lebih baik dari rumahnya dan gantikanlah isteri yang lebih baik dari isterinya dan gantikanlah keluarga yang lebih dari keluarganya dan peliharalah (hindarkanlah) dia dari seksa kubur dan seksa neraka.”

Dan bacaan doa selepas takbir ke empat:

“Ya Allah ! Janganlah kiranya pahala tidak sampai pada kami dan janganlah Engkau memberi pada kami fitnah sepeninggalannya dan ampunilah kami dan dia dan bagi saudara -saudara kami yang telah mendahului kami dengan imam dan janganlah menjadikan gelisah (dengki) dalam hati kami pada orang-orang yang beriman, Ya Allah! Ya Tuhan kami sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

NOMBOR DAN TARIKH ISLAM


Ilmu Numerologi (ilmu nombor) adalah ilmu yang membicarakan tentang nombor (angka) dan makna-makna kehadirannya. Setiap satu digit nombor memiliki MAKNA DAN NILAI. Makna ini hadir dari kajian tentang SIFAT-SIFAT yang disandarkan pada digit nombor tersebut. Sifat-sifat ini memampukan seseorang untuk mentafsir. Maka, sejumlah nombor umpama sejumlah skrip cerita yang mampu diolah dan difahami. Ilmu Numerologi amat berkaitan dengan TARIKH KELAHIRAN. Ini kerana tarikh adalah susunan nombor-nombor.

Tarikh adalah PENGUKURAN PEREDARAN MASA. Tarikh adalah PENANDA PEREDARAN MASA (kalendar). Tarikh adalah JUMLAH PEREDARAN MASA. Susunan tarikh dimulakan dengan bilangan hari diikuti dengan bilangan bulan dan diakhiri dengan bilangan tahun. Kita juga maklum set bilangan hari adalah antara 1 hingga 28 atau 29 atau 30 atau 31 hari. Manakala set bilangan bulan adalah antara 1 hingga 12 bulan. Manakala bagi tahun adalah jumlah penggiraan bilangan tahun yang berlalu sejak tahun 1 sesuatu kalendar dimulakan (dicatatkan penggiraannya). Ringkasnya susunan tarikh akan ditulis sebagai: HH / BB / TTTT.

Zaman ini, kita telah diperkenalkan sejak seawal usia lagi akan KALENDAR MASIHI yang merujuk kepada PEREDARAN MATAHARI. Perhitungan kalendar inilah yang kita ‘sandar’ dan gunakan untuk penetapan perjalanan hidup seharian kita. Bermula dari TARIKH KELAHIRAN yang dicatatkan dalam Sijil Kelahiran kita hinggalah penetapan untuk segala agenda hidup kita adalah berpandukan KALENDAR MASIHI. Kita di’program’kan dengannya dan kita mengaplikasikannya secara terus dalam hidup kita. Malah kita terlalu bergantung kepadanya!!

Dalam masa yang sama kita sedia maklum akan kehadiran KALENDAR HIJRAH yang merujuk kepada kalendar ISLAM. Sebagai orang Islam, kita juga didedahkan kepada perhitungan KALENDAR HIJRAH yang merujuk kepada PEREDARAN BULAN. Kira turut aplikasikannya untuk pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan Islam termasuk di dalam soal ibadat. PUN BEGITU, ‘PROGRAM’ ini terhad hanya tujuan itu. Aplikasinya tidaklah semaksima kalendar masihi.

MENGAPA HARUS BEGITU???

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa-apa yang mereka tidak ketahui.” (QS 36:36)


Hakikatnya kita menerima bahawa setiap sesuatu ALLAH jadikan BERPASANG-PASANGAN. Siang – malam, lelaki – perempuan, syurga – neraka, kebaikkan – kejahatan, kiri – kanan dan sebagainya lagi. Begitulah halnya dengan MATAHARI – BULAN! Bukankah ia berpasangan! Siang dengan mataharinya dan malam dengan kehadiran bulannya. Justeru itu, MENGAPA TARIKH ISLAM dipinggirkan aplikasinya dalam hidup kita??. Mengapa hanya digunakan pada waktu-waktu tertentu?? Cuma ambil kisah dan tahu bila perlu??

Sedarkah kita bahawa KALENDAR HIJRAH memainkan PERANAN BESAR dalam IBADAH kita. Dan ibadah kita adalah PENGUKUR kedudukan kita sebagai abdi-Nya. Malah ibadah adalah PEMBENTUKKAN DAN PENJANAAN ENERGI (ROH) HIDUP untuk menentukan kualiti kehidupan kita. Sedarkah kita bahawa kita menggunakan KALENDAR HIJRAH untuk:

Sambut Awal Muharam
Maulidul Rasul
Hari Nisfu Syaaban
Nuzul Al-Quran
Berpuasa di bulan Ramadhan
Hari Raya Eidul Fitri – Zakat Fitrah
Hari Raya Eidul Adha – Ibadah Qurban
Menentukan WAKTU-WAKTU SOLAT
Menentukan tarikh mula PUASA
Menentukan tarikh HARI RAYA Eidul Fitri
Menentukan Hari Wukuf di Arafah


JUGA…

Memahami tarikh PERISTIWA SIRAH RASUL
Mengetahui tarikh TURUNNYA AL-QURAN
Mengetahui tarikh ‘ISRA’ MIKRAJ’
Mencari malam LAILATUL QADAR
dan sebagainya lagi…

MAMPUKAH KITA MENAFIKANNYA. Hanya menerima aplikasinya untuk tujuan tertentu sedangkan di masa yang lain kita membiarkan diri (minda) ‘diikat’ dengan ‘software’ kalendar masihi. Atau mungkin kita ‘ambil tahu’ tarikh-tarikh hijrah semata-mata nak tahu bila nak CUTI UMUM sedangkan ia tidak terkesan (memberi bekas) pada penghayatan dalam ibadah kita. Apakah ibadah (agama) itu terpisah dengan realiti kita di bumi ini?? Atau apakah ini suatu HELAH atau PERDAYA yang telah secara sulitnya diatur untuk MELEMAHKAN MINDA MUSLIM??? Ayuh renung dan fikirkan…

MENGAPA ISU INI PENTING?? APA KAITANNYA DENGAN KITA???

Dewasa ini BICARA RAHSIA TARIKH LAHIR menjadi TOPIK HANGAT. Seminar besar-besaran dianjurkan untuk mengajar ILMU NUMEROLOGI dan RAHSIA TARIKH LAHIR bagi membongkar POTENSI DIRI. Melalui tarikh lahir, banyak rahsia diri dapat dibongkarkan. Umpama ilmu mengenal diri!. Hipotesis ini tiada salahnya, malah ia amat PERLU dan BERGUNA. Ia mampu mengajar kita akan sesuatu yang sedia ada namun masih tersembunyi untuk minda kita tafsirkan atau hayati. Tak kenal maka tak cinta. Tak cinta maka tiadalah PENGHASILANNYA atau kadang-kala menjadi sia-sia. Tatkala formula kejayaan tidak dibongkar akibat tidak mengenal potensi yang ada, maka kejayaan tidak berhasil atau tidak maksima. Lebih malang jika segala langkah mencipta kejayaan berlangsung dalam kekelaman. Yang berlaku hanyalah kemalangan atau bertemu tembok penghalang.

Namun, sedarkah kita BAHAWA ADA BAHAGIAN DIRI YANG MASIH BELUM HABIS DIBONGKAR kerana KETERBATASAN KAEDAH dan PEMAHAMAN (ILMU) untuk MEMBONGKARNYA. Jika KAEDAH RAHSIA TARIKH LAHIR kita sandarkan pada tarikh mengikut KALENDAR MASIHI, RAHSIA yang ditemui barulah SEPARUH dari segenap POTENSI yang sememangnya SEDIA ADA pada alam diri kita. Ini kerana, kita BELUMPUN MELIHAT TARIKH KELAHIRAN KITA mengikut KAEDAH NUMEROLOGI ISLAMIK yang terasnya berpandukan KALENDAR HIJRAH. Bolehkah kita menafikan bahawa pada tarikh kita dilahirkan, kalendar hijrah tidak wujud??? Umpama menafikan adanya sang bulan di tarikh tersebut. Bolehkah kita hanya nak terima apa yang kita rasa nak terima sahaja semata-mata ketololan kita sendiri??

Tentulah tidak.. justeru itu, kita harus MENELAN HAKIKAT INI PERLAHAN-LAHAN. Kita harus belajar untuk menerima, apa yang ada di tarikh kelahiran kalendar masihi kita adalah BARU SEBAHAGIAN dari RAHSIA POTENSI KITA. Ada bahagian yang masih TERSIMPAN dan TERSEMBUNYI namun MENANTI UNTUK DIBONGKAR. Dan setiap bahagian ini memiliki pengkhususannya sendiri iaitu ada yang mempengaruhi urusan fizikal (jasmaniah) dan minda kita serta ada yang mempengaruhi aspek emosi dan spiritual (roh) kita. Seperti mana kita tak dapat menafikan bahawa ENERGI HIDUP (roh) kita berjiwakan ISLAM, seperti itulah juga kita tak dapat menafikan bahawa KALENDAR HIJRAH itu adalah NADI ISLAM.

Soalnya kini, adakah anda TAHU (INGAT) TARIKH HIJRAH HARI INI?? Bulan Islam keberapakah bulan ini?? Tahun Hijrah keberapakah tahun ini??

Soalnya kini, adakah anda TAHU (INGAT) TARIKH LAHIR HIJRAH ANDA??

(jawaplah secara jujur… janganlah menipu diri sendiri)

Jika tak tahu atau tak pernah ambil tahu, bagaimana mahu mencarinya??

Sesudah itu, apakah MAKNA NOMBOR-NOMBOR YANG TERBINA pada tarikh lahir Hijrah anda ini? Bagaimana mahu mentafsirkannya?? Adakah cara menganalisanya sama seperti ilmu tarikh lahir Masihi?? Apakah kelebihan-kelebihan yang anda miliki?? Apakah ada kaitannya dengan nombor-nombor dalam Islam?? Apakah pula nilai GEMATRIKAL ISLAMIK pada tarikh lahir dan nama anda?? Bagaimana mahu mencarinya?? Apakah kaitannya dengan ibadah?? Apakah ada kaitannya dengan asma ALLAH dan RASUL??

“Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, dan perbedaan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang-orang mengetahui. ” (QS 30:22)

Artikel ini saya ambil dengan izin di http://mastershifoo.wordpress.com/

Sabtu, Januari 01, 2011

Selamat Datang 2011


Selamat Menyambut tahun baru 2011 Masihi kepada semua. Semoga tahun baru menjadikan kita lebih matang dan dewasa, lebih berjaya, lebih gigih berusaha serta lebih berwaspada. Lebih mengasihi sesama insan, lebih mengenali diri dan lebih mengenali Tuhan. Semoga kita semua terus tabah menghadapi segala dugaan...Mudah-mudahan kita semua sentiasa dalam perlindungan  rahmat dan kasih sayang Allah. Amin...
.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~